ZAMAN kanak-kanaknya, Bettina (Tina) Malone jarang sekali menghabiskan masa di kampung halaman sendiri di Ashville, Carolina Utara. Sebaliknya, sebagai anak kepada kakitangan Bank Dunia selama lebih 30 tahun, Tina amat beruntung kerana berpeluang mengelilingi dunia dan menyelami budaya asing pada awal perkembangan mindanya.
“Sejak dahulu lagi saya ingin bekerja di luar Amerika Syarikat (AS). Mengikut bapa ke pelbagai destinasi asing menguatkan lagi kecenderungan untuk menjelajah apabila dewasa.
“Malah peluang bercuti di tanah air setahun sekali juga jarang saya gunakan. Sudah tiga tahun kami sekeluarga menyambut Hari Natal di Malaysia,” kata Pegawai Media dan Maklumat Kedutaan Besar AS itu kepada Mingguan mStar baru-baru ini.
Tina, 48, ditugaskan sebagai pegawai diplomat di Kuala Lumpur sejak Jun 2008 untuk mengendalikan Bahagian Hal Ehwal Awam setelah ditukarkan dari Kedutaan AS di Addis Ababa, Habsyah pada 2004 hingga 2007.
Sebelum itu, beliau yang memiliki Ijazah Sarjana dalam Hal Ehwal Antarabangsa, Perubahan dan Pembangunan Sosial John Hopkins University School of Advanced International Studies (SAIS) Washington, DC pernah ditugaskan di Islamabad, Pakistan dan Manila, Filipina.
Tina juga memegang Ijazah Sarjana Muda dalam Pengajian Dunia Ketiga William Smith College yang membakar semangat beliau untuk mengubah nasib masyarakat dunia ketiga menerusi penghayatan dan pemahaman terhadap peradaban setempat.
“Sebelum bekerja sebagai pegawai diplomat, saya pernah bergiat aktif dalam bidang pembangunan antarabangsa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan menjadi sukarelawan Peace Corps di Niger, Afrika Barat pada 1989 hingga 1990,” ujarnya yang mahir bertutur dan menulis dalam bahasa Malaysia selain fasih berbahasa Perancis.
Tina dengan yakin mengakui bahawa dia memiliki tugas paling menarik berbanding rakan sejawat lain di kedutaan. Ini jelas tergambar pada raut wajah beliau ketika menjelaskan peranannya sebagai pegawai yang menguruskan pihak media dan berdepan pelbagai isu ‘hangat’ berkaitan hubungan dua hala AS-Malaysia.
“Pendedahan banyak memberi ilmu kepada saya untuk melaksanakan tugas dengan efektif. Sebagai pegawai yang memantau perkembangan sosial, ekonomi, hubungan politik dan isu-isu semasa berkaitan Malaysia, ia banyak membantu saya lebih memahami keunikan negara ini dalam mengembangkan strateginya tersendiri.
“Kepelbagaian kaum di negara ini mengelirukan saya pada peringkat awal. Sukar bagi saya membezakan penduduk tempatan dengan asing lebih-lebih lagi di pusat bandar.
“Pernah saya membuat pesanan di restoran dalam bahasa Malaysia, rupa-rupanya pekerja Bangladesh itu tidak faham apa yang saya katakan dan memandang saya dengan pelik!” ujarnya sambil ketawa.
Setelah tiga tahun menjalani kehidupan di Kuala Lumpur, jiwa Tina dipenuhi cinta terhadap keunikan unsur seni tempatan terutama legenda Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
“Saya mempunyai citarasa eklektik terhadap muzik antarabangsa. Selain Anuar Zain dan Dewa, lagu-lagu cinta P Ramlee adalah kegemaran saya,” kata ibu kepada remaja lelaki kembar berusia 12 tahun ini.
Menurutnya, sejak berusia sembilan minggu, anak-anak kembarnya itu dijagai suaminya. Ini kerana ketika itu Tina masih berkecimpung dalam NGO.
“Bila mereka besar sedikit, saya dan suami lebih stabil tetapi masih mengelilingi dunia untuk mencari rezeki. Lalu, kami mengambil keputusan agar suami bersara daripada pasukan tentera Perancis dan membawa anak-anak ke mana sahaja kami pergi.
“Kini, kami mementingkan pendedahan positif demi pendidikan anak-anak. Kediaman kami sentiasa hampir dengan sekolah agar mereka selesa belajar walaupun di negara asing,” jelas Tina yang bakal menghakhiri tugasnya di Kuala Lumpur dan ditukarkan ke Manila mulai Jun ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: