Monday, May 30, 2011

Mudah belajar bahasa Inggeris


Dr. Saiful Bahri (kiri) dan beberapa ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan Felda Sungai Tekam melihat demonstrasi kanak-kanak Tadika Felda Jengka1 menggunakan kaedah e-Blocks.


PENGUASAAN bahasa Inggeris di kalangan pelajar sekolah kebangsaan di luar bandar dikatakan agak lemah kerana kegagalan mereka memahami dan menguasai subjek tersebut dengan berkesan.

Namun begitu, kini terdapat satu pendekatan baru yang didapati mampu untuk mendidik pelajar di peringkat taman didikan kanak-kanak (tadika) menguasai subjek bahasa Inggeris dengan betul.

Menerusi kaedah yang dikenali sebagai e-Blocks dan perisian multimedia, pembelajaran bahasa itu menjadi lebih mudah bagi membantu pelajar sekolah luar bandar dan kanak-kanak tadika mempelajarinya.

e-Blocks adalah satu kaedah inovatif yang memberikan satu pengalaman kolaboratif unik dengan gabungan perisian multimedia kreatif dan objek-objek yang sesuai.

Presiden The Oxford Centre For Excellence (Oxcell) Malaysia, Dr. Saiful Bahri memberitahu, menerusi pendekatan baru itu membolehkan pelajar di peringkat tadika melakukan interaksi menggunakan perisian dimensi baru.

''e-Blocks menyasarkan pelajar berusia empat hingga 11 tahun serta pelajar baru berkenalan dengan bahasa Inggeris dan teknologi komputer.

''Sejarah pendekatan baru mempelajari bahasa Inggeris menggunakan e-Blocks bermula di Brazil apabila lapan guru dari United Kingdom mencipta alat untuk membantu kanak-kanak di negara itu dapat menguasai bahasa Inggeris," kata Dr. Saiful.

Beliau berkata demikian kepada Mega selepas majlis penyarahan satu unit e-Blocks bernilai RM18,000 kepada Tadika Jengka 1 di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKK) di Felda Sungai Tekam baru-baru ini.

Pada majlis itu juga Oxcell Malaysia menyampaikan bantuan RM10,000 untuk projek tanaman pisang kepada JKKR Felda berkenaan.

Katanya, melalui pelbagai penyelidikan yang dijalankan terhadap kanak-kanak di negara itu akhirnya mereka mencipta e-Blocks dan perisian multimedia dan mendapati ia sangat berkesan apabila kanak-kanak tersebut dapat mempelajari bahasa itu dengan cepat.

Dr. Saiful memberitahu, E-Blocks boleh digunakan di sekolah-sekolah rendah, program ESL (English as a Second Language), pendidikan khas, program dwi bahasa dan program lepasan sekolah.

''Alat ini adalah satu kaedah inovatif bagi kanak-kanak yang baru mendapat

pendedahan awal dalam mata pelajaran matematik.

''Sasaran yang sesuai penggunaan alat ini ialah kanak-kanak berusia tiga hingga lapan tahun ini merangkumi 11 unit pelajaran dengan pelbagai tajuk, penggunaan nombor dan blok berwarna ungu," kata beliau.

Setiap unit e-Blocks dan perisian multimedia berharga RM18,000 seunit termasuk paparan LCD.

Menurut beliau, pendekatan e-Blocks ini kini mula digunakan secara meluas di negara China sejak tahun 2007 yang membabitkan 300 pelajar dari 30 buah sekolah di beberapa buah bandar utama di negara itu seperti Beijing dan Shanghai.

Pembelajaran e-Blocks mengamalkan pendekatan hands on learning iaitu pendekatan berstruktur, kaedah berinteraksi dengan isi kandungan pembelajaran dan galakan kreativiti pelajar melalui modul.

Di negara ini, Oxcell telah bekerjasama dengan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) bagi memulakan penggunaan e-Blocks di 200 tadika dan pra-sekolah di kawasan pedalaman di Semporna (Sabah), Kuching (Sarawak) dan Dungun (Terengganu).

Bagi melaksanakan tanggungjawab sosial (CRS), Oxcell Malaysia telah memilih Tadika Kemas Felda Jengka 1 bagi melaksanakan pembelajaran bahasa Inggeris menggunakan e-Blocks.

''Kami melatih dua guru Tadikan Kemas Jengka 1 untuk mengajar kanak-kanak menggunakan e-Blocks bagi memperkenalkan teknologi pembelajaran terbaru yang berkolaboratif dan berkumpulan dengan merangkumi 1200 perkataan.

''Pendekatan baru ini mampu melatih kanak-kanak tadika melakukan sebutan dan itonasi dengan tepat selain mampu mewujudkan suasana yang ceria agar mereka tidak merasa bosan," katanya.

Selain negara ini yang merupakan negara pertama di Asia Tenggara menggunakan E- Blocks, Oxcell Malaysia akan memperkembangkan penggunaan alat itu ke beberapa buah negara jiran seperti Indonesia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: