|
|
SEBUT saja hutan mana yang belum diredahnya? Demi mendapatkan madu lebah tualang, Mohd. Hanapi Ramli sanggup meredah gunung dan belantara.
Tidak ada apa yang mampu menjadi penghalang untuk dia mendapatkan madu meskipun terpaksa berdepan dengan sengatan lebah yang boleh membunuh.
Mohd. Hanafi yang berasal dari Temerloh, Pahang boleh dikatakan sudah meredah hampir semua hutan di Semenanjung demi madu lebah tualang.
Selain hutan di Pahang, dia turut memburu madu lebah tualang bagi mendapatkan madu asli di seluruh negara, antaranya ialah di Negeri Perak, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Bersama rakan-rakannya seramai 10 hingga 15 orang pencarian sarang lebah tualang bermula seawal pukul empat atau lima pagi.
Biasanya mereka akan mengambil masa antara tiga hingga empat jam untuk sampai ke lokasi lebah bersarang.
Tetapi Mohd. Hanafi ada kriteria sendiri dalam memilih sarang yang sesuai untuk mendapatkan madu.
"Saya hanya akan mengambil madu daripada pokok yang mempunyai sekurang-kurangnya terdapat lima sarang ke atas.
"Kerja-kerja mengambil madu biasanya bermula pada pukul lapan pagi dan berakhir pada pukul enam petang," katanya.
Selama terbabit dalam kerja-kerja mencari madu lebah itu sejak umur 16 tahun dia sudah berhadapan dengan pelbagai situasi cemas.
Pengalaman paling perit apabila disengat sehingga 12 sengatan di hutan Kemasul sehingga terkena serangan jantung.
"Masa itu saya rasa seperti macam nak mati, saya tak ada ubat ketika itu dan akhirnya saya minum madu.
"Lebih kurang 15 minit selepas itu saya mulai pulih dan rasa segar semula seperti biasa," katanya.
Dia dan rakan-rakannya juga pernah sesat di hutan Lanchang apabila tidak menemui jalan keluar sehingga pukul dua pagi semasa hendak membawa keluar madu.
"Puas kami berjalan dan berpusing-pusing, balik-balik di situ juga kami berada.
"Akhirnya saya mengambil keputusan untuk meninggalkan sahaja madu yang dipungut hari itu barulah kami dapat temui jalan keluar," kata Mohd. Hanapi.
Menurutnya, dia memberi upah RM300 setiap seorang kepada rakannya yang terdiri daripada penduduk setempat bagi setiap madu seberat 50 kilogram (kg) dan juga pernah memperoleh madu seberat 500kg.
Setiap pokok kebiasaannya terdapat antara 10 hingga 30 sarang yang mampu menghasilkan antara dua hingga 10 kilogram setiap sarang dan kadang kala mencecah sehingga 30kg.
"Madu tualang asalnya hanya bersarang di pokok tualang sahaja. Tetapi hari ini ia bersarang di mana-mana pokok besar seperti pokok pulai kerana pokok tualang sudah berkurangan dan hampir pupus akibat ditebang.
"Lebah tualang ini sangat istimewa kerana ia akan datang bersarang di pokok yang sama berpuluh-puluh tahun dari satu generasi ke generasi berikutnya," katanya.
Apabila telah menemui sarangnya, pada masa akan datang dia tidak lagi bersusah payah untuk mengesan sarang lebah tualang di kawasan yang sama.
Dia menggunakan paku enam inci sebanyak 10kg untuk memanjat setiap pokok bagi mengambil sarang lebah yang mempunyai madu di dalamnya.
Mohd. Hanapi memerlukan sekurang-kurangnya 300 kg sebulan untuk memproses madu asli dalam pelbagai jenama, antara ialah King Honey, Black Honey, Wild Jungle, Power Men dan Kick Women.
Ia dipasarkan dalam pelbagai bentuk ukuran botol, berat dan termasuk dalam bentuk paket.
"Madu asli keluaran kami juga terdapat dalam jenama edisi Kelate untuk pasaran Kelantan, edisi D'Ganu untuk pasaran Terengganu dan juga dipasaran untuk edisi Sarawak dan Brunei
"Kami juga turut membekalkan madu asli kepada beberapa peniaga farmasi di Kuala Lumpur yang ingin memasarkan madu tualang atas jenama mereka sendiri," kata Mohd. Hanapi.
Antaranya ialah Tualang Honey Kuala Lumpur, Genting Strawbery dan Sun Season.
Dia juga mendapat permintaan dari Singapura, Thailand, Filipina dan Indonesia apabila mereka mendapat maklumat mengenai pemasaran madu tualangnya itu daripada Internet.
Dia bagaimanapun terpaksa menolak kerana tidak mampu membekalkannya berikutan kesukaran untuk mendapatkan bekalan madu tualang secara konsisten.
Katanya, madu tualang yang sedia di hutan di seluruh negara tidak mampu untuk memenuhi permintaan bagi permintaan penduduk negara ini sendiri.
Anak-anaknya turut membantu kerana mereka melihat potensi perniagaan madu tualang yang mempunyai masa depan yang cerah.
Mohd. Hanapi yang mempunyai lima orang anak berusia antara 22 hingga 28 tahun banyak membantu beliau dari aspek pemasaran.
Anak ketiga, Monaliza, 26, yang kini bertindak sebagai pengurus dan pemasaran telah melebarkan perniagaan mereka menerusi Internet.
Manakala anak keempatnya, Mohd. Ridwan, 24, memasarkan produk madu tualangnya itu di sekitar Lembah Klang.
FAMA turut membantu Mohd. Hanapi memasuki pasaran di beberapa buah stesen minyak Petronas di Gambang, Kuantan dan juga gerai-gerai di kawasan rehat dan rawat (R &R) Lebuhraya Pantai Timur (LPT).
Dia berharap perniagaannya itu akan diteruskan oleh anak-anaknya di masa depan bagi meneruskan legasi produk madu tualang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: