Sunday, May 29, 2011

Doa anak-anak yang dizalimi

"TERGERAK hati saya untuk memberi pandangan terhadap masalah yang dihadapi Baizura dalam ruangan ini minggu lalu bukan kerana marah, tetapi jika boleh beliau dapat membandingkan masalah yang dihadapinya dengan apa yang saya lalui sekarang.

“Kita serupa dan menghadapi masalah yang sama, tetapi rasanya masalah saya lebih teruk lagi. Namun kesabaran, keinsafan membuat saya berserah segalanya kepada Allah, kerana Dia lebih tahu.” Demikian cerita Anniehaliza dalam e-melnya.

“Saya kira dunia mungkin sudah sampai ke penghujungnya, sebab ramai suami orang Melayu beragama Islam zaman ini sudah tidak betah lagi hidup bersama isteri yang sah, sebaliknya lebih suka membiak dan membuang zuriat haram, kerana dia merasa lebih bahagia hidup dibuai mimpi indah sambil membelai bini-bini haram.

“Saya katakan demikian sebab itulah nasib yang saya lalui selama 20 tahun hidup bersama suami yang dinikahkan sendiri oleh ayah saya. Kalau boleh dibuat perbandingan, Baizura boleh senyum kerana suaminya masih sayangkan anak-anaknya, tetapi suami saya selalu hilang dan balik bila dia suka. Sejak akhir-akhir ini terus hilang dari pandangan mata kami anak beranak.

“Namun kalau dia balik bukan kerana saya dan anak-anak, tetapi untuk menunjukkan kepada masyarakat keliling bahawa dia ada keluarga. Itu sahaja. Inilah kehidupan kami yang sebenar sejak 10 tahun suami saya Izzie bercinta dengan Mimi.

“Kami anak beranak biasanya dapat melihat Izzie melalui media massa, maklum orang popular. Dia terpikat dan bercinta dengan Mimi melalui kemudahan IT.

“Saya kurang pasti apa punca Izzie berubah hati bencikan saya dan anak-anak kami yang semakin dewasa. Hubungannya dengan Mimi lebih dari suami isteri, malangnya hingga kini mereka masih belum berkahwin. Apakah mereka tak mahu terikat dengan tanggungjawab, ataupun Izzie masih mencari wanita yang lebih baik daripada Mimi.

“Dulu Izzie amat sayangkan anak-anak kami yang tiga orang ini. Katanya, anak-anak adalah nyawanya. Sayangnya pada anak-anak hanya Allah yang tahu. Pantang cuti sekolah, ada-ada sahaja rancangannya untuk membawa anak-anak berjalan, namun kini mereka ditinggalkan tanpa sepatah kata walaupun ucapan selamat hari lahir.

“Sudah 10 tahun kami anak-beranak diketepikan, anak-anak saya lihat perasaan dan jiwa mereka amat tertekan. Tambah kecewa apabila mereka mendapat tahu ayahnya membelikan rumah berharga jutaan ringgit kepada Mimi, sedangkan kami kami anak beranak tinggal di rumah kecil yang saya beli dengan titik peluh sendiri, ketika mula berkahwin dulu.

“Sebaliknya Mimi dilimpahkan dengan kemewahan dan kesenangan hidup. Anak-anak sering bertanya mengapa mereka anak-anak yang sah yang berbin dan berbintikan ayahnya tidak boleh hidup senang seperti anak-anak Mimi dengan suaminya terdahulu. Apa salah mereka? Apa kurang mereka dibiarkan hidup penuh dengan masalah tanpa kesenangan?

“Soalan anak-anak sukar saya jawab. Walaupun saya cuba menjawab, tetapi anak-anak tidak pernah puas hati. Mereka menyalahkan ayah yang mereka dakwa tidak bertanggungjawab. Malah mereka lebih pandai bercakap tentang hak isteri, anak-anak dan apa tugas seorang ayah kepada keluarganya, dan balasan yang ayahnya bakal terima di akhirat kelak.

“Saya tak nafikan mungkin dalam hati mereka terdetik doa membenci ayah sendiri. Walau pun tidak dizahirkan, tetapi dari raut wajah mereka saya boleh meneka perasaan marah dan doa mereka terhadap ayahnya. Ini yang buat saya takut. Puas saya nasihat yang baik, tetapi anak-anak zaman kini mereka lebih berani mencari kebenaran.

“Kedatangan musim cuti sekolah bagaikan tragedi buat anak-anak saya. Semasa mula bercinta dengan Mimi dahulu Izzie sering beralasan dia ambil cuti panjang nak bawa anak-anak bercuti keluar negara. Sedangkan hakikatnya, Izzie membawa Mimi makan angin. Saya hanya tahu bila menghubungi pejabatnya.

“Saya masih bertahan, hanya kerana Allah sebab saya percaya dan yakin hanya Dia tahu apa yang terbaik di sisiNya buat saya. Setiap malam bila mata tidak mahu lena, mengenang perbuatan suami yang tinggalkan saya dan anak-anak, saya dirikan solat malam. Wirid saya panjang kerana suami tiada di rumah, kadang-kadang berbulan tak bersua muka.

“Namun saya panjatkan kesyukuran padaNya, kerana suami tiada di rumah saya dan anak-anak tidak akan dimaki hamun dan sepak terajang dari ayahnya. Biarlah suami tidak bersuara, itukan lebih baik dari perang mulut yang berakhir sepak dan terajang.

“Kepada anak-anak saya selalu berpesan hormati ayah kamu walau apa pun dia lakukan dan jangan ada dendam, kerana memaafkan akan membuat kita akan lebih tenang. Binalah hidup agar kita tidak perlu meminta pada lelaki yang wajib menanggung kita.

“Carilah kehidupan sendiri, jangan terganggu dengan masalah hidup yang sementara ini. Kelak bila kematian tiba, segala derita ini akan kita tinggalkan. Berdoalah, agar kita diberikan kelapangan di sana kelak.

“Kepada anak-anak yang terperangkap dalam mahligai masalah ini, tabahlah dan teguhkan kehidupanmu, ambillah iktibar dari silap dan salah yang terbentang di depan mata dengan positif. Jangan biarkan diri terjebak kekancah negatif, kelak kamu akan lebih derita.

“Selamat hari bapa buat semua bapa termasuk ayah anak-anak saya biarpun Izzie pinggirkan anak-anaknya. Buat ayahanda saya, salam kasih dan doa yang tak pernah putus buatmu. Terima kasih kerana membekalkan saya dengan ilmu hingga saya setabah dan sekuat ini. Mudah-mudahan syurga Firdaus tempat ayah.” Demikian luahan hati Anniehaliza tentang masalah rumahtangga yang dihadapinya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: