Tuesday, May 31, 2011

Laluan bukit runtuh berbahaya


ANTARA kawasan tanah runtuh yang merisaukan pengguna jalan raya di Jalan Dabong-Sungai Sam dekat Kuala Krai yang tidak dibaiki sehingga semalam.


KUALA KRAI – Para pengguna jalan raya Dabong-Sungai Siam di sini diselubungi kebimbangan setiap kali melalui jalan berkenaan sejak setahun lalu.

Runtuhan demi runtuhan di sepanjang tebing bukit di laluan tersebut yang tidak dibaiki menyebabkan mereka seolah-olah menempah maut terutama di malam hari.

Ia kerana jalan alternatif dari Kuala Lumpur menuju ke Jeli dan Gerik, Perak itu tidak ada papan tanda amaran.

Cuma yang ada hanya kon-kon dan itu pun tidak mempunyai lampu.

Tinjauan ke lokasi tersebut semalam mendapati banyak batu bukit runtuh dan kawasan berkenaan dibiarkan begitu sahaja dan ia berbahaya kepada pengguna jalan raya.

Seorang penduduk, Wan Hasnorhafizi Wan Hassan, 23, berkata, dia sering menggunakan laluan tersebut untuk ke bandar Gua Musang atau ke Kuala Krai dan mengaku bimbang setiap kali melaluinya pada musim hujan.

Menurutnya, tanah bukit itu runtuh sejak setahun lalu namun tidak dibaiki sehingga sekarang.

“Memandangkan laluan itu sahaja yang paling dekat untuk menuju ke kedua-dua lokasi, jadi saya terpaksa melaluinya walaupun risau.

“Apabila malam, kawasan itu menjadi berbahaya keran gelap dan banyak selekoh tajam,” ujarnya ketika ditemui semalam.

Menurut Wan Hasnorhafizi, ramai orang menggunakan laluan yang sama terutama musim cuti persekolahan dan cuti umum.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: