BERJAYA...gandingan mantap penyelidik lama dan muda boleh menghasilkan kejayaan lebih tinggi untuk manfaat bersama.
TIMBUL desas-desus kurang enak apabila ada segelintir pihak mempertikaikan kemampuan penyelidik muda yang dikatakan kurang menyengat berbanding penyelidik lama.
Bukan bertujuan menyangkal kemampuan golongan terbabit, namun jika dibandingkan dengan orang lama, hasilnya pasti berbeza.
Apatah lagi, bidang penyelidikan negara baru saja menjengah frasa baru dalam industri tempatan dan global, justeru, tanggapan itu boleh mencacatkan pandangan dan mempengaruhi pemikiran mereka yang dangkal.
Persoalannya, adakah benar penyelidik muda kurang pengalaman, tidak matang serta mudah putus asa ketika menjalankan tanggungjawab?
Atau adakah penyelidik lama masih mampu memberi ‘ sentuhan ‘emas’ sehingga menenggelamkan kemampuan penyelidik muda di mata masyarakat.
Pengarah Pejabat Penyelidikan dan Inovasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan, Pahang, Profesor Madya Dr Muhammad Nor Omar, berkata tidak perlu mempertikaikan soal kemampuan penyelidik muda atau lama kerana bidang penyelidikan bukan pentas mencipta kepentingan peribadi.
Beliau berkata, bidang itu menjadi platform mereka berbakti kepada kehidupan sejagat melalui sumbangan ilmu dan penemuan terbaru yang sentiasa dipertingkatkan bagi manfaat bersama.
“Apabila masyarakat mempersoalkan kemampuan penyelidik muda, ia boleh menimbulkan konflik dan ketidakadilan sedangkan yang perlu ditekankan ialah kesanggupan serta tang�gungjawab mereka berbakti untuk masyarakat.
“Pengkelasan itu juga akan menimbulkan impak negatif seolah-olah hasil sumbangan tidak bagus dan boleh dipersoalkan.
“Bukankah ini tidak adil dan boleh mengendurkan semangat sedia ada?
“Banyak yang boleh diberikan oleh golongan ini kerana mereka muda dan penuh dengan idea serta inspirasi.
“Jangan patahkan cita-cita penyelidik muda ini dengan melabelkan mereka mengikut kelas tertentu,” katanya.
Dari segi pengalaman, mung�kin tidak setanding penyelidik lama, namun gandingan bersama membantu mereka belajar dan melonjakkan lagi hasil penemuan.
Malah, tidak perlu menimbulkan isu sama ada penyelidik muda boleh melakukannya atau tidak sebaliknya keperluan perlu dinilai melalui pengalaman, semangat serta kemahuan untuk berjaya.
“Dari segi pengalaman, mungkin masih tidak setanding penyelidik lama, namun tidak bermakna mereka tidak boleh melakukan.
“Masyarakat harus sedar, tanpa penyelidik muda, bidang ini mungkin tidak boleh berkembang pantas kerana majoriti penyelidik hari ini terdiri daripada golongan itu,” katanya.
Konflik antara penyelidik muda dan lama meskipun tidak sehangat isu lain masih mampu mengundang dilema apatah lagi masyarakat sering memberi penilaian kontra terhadap dua golongan terbabit.
Dikatakan penyelidik muda meskipun bertenaga, berinovasi dan bercita-cita tinggi, namun masih tidak berupaya mencapai standard diingini.
Manakala penyelidik lama pula dilihat lebih matang, berpengalaman serta mampu membawa nama institusi ke peringkat dibanggakan selain sering menjadi pilihan.
Sekali gus ditakuti bakal mewujudkan konflik serta pilih kasih hingga menjejaskan dunia penyelidikan negara.
Mengulasnya, beliau berkata pandangan skeptikal seperti itu perlu dihapuskan bagi memastikan setiap penyelidik tidak tertindas atau dimanipulasikan.
“Walaupun masyarakat berhak menyatakan setiap pandangan, biarlah berasas supaya penyelidik ini tidak ditindas dengan pandangan skeptikal sekali gus membantutkan kerancakan dunia penyelidikan negara.
“Mengapa mesti membuat penilaian begitu sedangkan kemampuan mereka masih belum teruji sepenuhnya.
“Apatah lagi, untuk membina pengalaman perlu melalui jalan panjang.
“Penyelidik lama juga bermula sebagai penyelidik baru.
“Perlu diingat, setiap penyelidikan bukan melihat kepada kepakaran atau pengalaman semata-mata, namun banyak aspek perlu dinilai,” katanya.
“Jika dilihat hasil penemuan dunia penyelidikan hari ini, tidak semuanya datang dari hasil penyelidik lama malah ada juga penyelidik baru memberi idea luar biasa.
“Pandangan setiap penyelidik berbeza namun perbezaan itu bukan halangan sehingga menimbulkan konflik peribadi,” katanya.
Sama ada penyelidik muda atau lama, akuinya, masing - masing mempunyai cita - cita tinggi untuk menghasilkan penemuan baru yang boleh membantu antara satu sama lain.
“Andaian untuk membolot nama hanyalah satu pandangan salah.
“Sebagai penyelidik, bukan kemasyhuran yang dicari, sebaliknya hasrat membantu orang lain dengan penemuan baru lebih utama.
“Justeru, tidak perlu menimbulkan andaian bahawa penyelidik muda atau lama berkonflik hanya semata - mata untuk menunjukkan siapa yang terbaik.
“Sebagai profesional dan ahli akademik, penggabungan ilmu untuk melahirkan masyarakat ilmuwan adalah lebih penting dari segalanya, bukannya mencari nama semata-mata demi kepentingan diri sendiri,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan ada penyelidik baru berlagak diva dan tidak menghormati orang lain namun jumlahnya sangat kecil.
“Penyelidik juga manusia biasa yang tidak dapat lari daripada konflik emosi, namun kebanyakannya masih lagi waras untuk berbuat demikian.
“Sebaliknya kami sering bergabung kerana untuk menghasilkan idea atau penemuan baru bukan mudah.
“Kelebihan yang ada dimanfaatkan sepenuhnya.
“ Dalam dunia penyelidikan, bukan status menjadi taruhan sebaliknya kepuasan dan kejayaan menghasilkan penyelidikan baru adalah sasarannya.
“Justeru jangan jadikan isu ini untuk melagakan satu sama lain,” katanya.
INFO
DALAM mencapai sasaran menambah nisbah saintis, penyelidik dan jurutera dalam bidang sains dan teknologi yang kini berjumlah 26 orang bagi setiap 10,000 tenaga kerja, kerajaan menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) khususnya, tampil dengan beberapa program dalam memupuk budaya penyelidikan dan pembangunan (R&D) di kalangan rakyat.
Antaranya memperkenalkan tiga bentuk geran seperti yang diumumkan dalam RMK-9 antaranya Geran TeknoFund khusus untuk Industri dan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) berjumlah RM1.5 bilion.
Dua lagi geran lain ialah Geran ScienceFund untuk IPTA/IPTS dan institusi penyelidikan berjumlah RM1.2 bilion yang turut memperuntukkan penyelidik yang layak dengan royalti bagi R&D yang dikomersialkan serta Geran InnoFund yang dikhaskan untuk industri kecil dan sederhana, individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berjumlah RM200 juta.
Kesemua geran-geran R&D yang dipohon itu turut me�ngambil kira kos mempaten penyelidikan yang dijalankan sekali gus meletakkan negara di landasan yang tepat dalam mencapai nisbah 60 orang penyelidik dalam 10,000 tenaga kerja menjelang 2020.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: