SERANGAN stigma negatif terhadap mak nyah merupakan faktor utama yang memaksa golongan tersebut terjerumus ke dalam dunia hitam. Prejudis tidak berkesudahan daripada media, pemimpin agama, majikan, dan ahli keluarga sendiri membuatkan golongan transgender itu memilih kelompok salah sehingga terbabit gejala sosial seperti pelacuran dan penyalahgunaan dadah.
Pun begitu, tidak semua transgender (TG) mahu terus sesat dan bergelumang dosa. Sebaliknya, ramai di antara mereka terbuka kepada peluang untuk memperbaiki diri dari aspek fizikal dan kerohanian demi mencari asas menjalani kehidupan normal seperti orang lain.
Justeru tidak hairanlah Program Mukhayyam Bersama Golongan Mak Nyah Siri II anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Majlis AIDS Malaysia (MAC), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Dagang Halal di Kuantan, Pahang minggu lalu mendapat sambutan hangat di kalangan mak nyah sekitar Pahang.
Antaranya, maknyah veteran digelar ‘Kak June’ yang sejak lebih sedekad lalu menanam hasrat untuk membantu ‘adik-adik’ (maknyah generasi baru) membina kehidupan lebih baik dan membuang persepsi masyarakat bahawa golongan itu tidak mempunyai masa depan.
Kak June, 48, yang berasal dari Kuantan berkata, dia bertuah kerana dihormati oleh ‘adik-adik’ lain yang memberi peluang kepadanya untuk mendekati dan membantu golongan itu dengan berkesan.
“Kak June bersyukur kerana mereka hormatkan saya dan rasa hormat itu lebih baik daripada mereka takutkan saya. Saya tidak mahu itu berlaku. Peluang ini yang saya ambil untuk mendekatkan diri dengan mereka dan mengetahui masalah dan cara untuk membantu,” katanya kepada Mingguan mStar.
Memuji program Mukhayyam yang turut mendapat sokongan padu Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Kak June gembira dengan inisatif para pemimpin agama turun padang bagi menarik lebih ramai golongan mak nyah menyertai program seumpama itu.
“Sebelum ini mereka hanya tahu menghukum kami tanpa menyelami sisi lain golongan mak nyah. Syukur pendekatan yang digunakan oleh JAKIM nyata memberi medium kepada golongan ini untuk mengadu nasib dan mendapatkan bantuan.
“Semua 30 orang peserta program ini nyata terkejut dengan pendekatan pihak JAKIM yang mendekati mereka sebagai seorang kawan dan kita semua boleh duduk satu meja untuk berbual-bual sambil meluahkan apa yang terbuku dihati,” ujarnya yang memainkan peranan penting dalam meyakinkan mak nyah menyertai program itu secara sukarela.
Sementara itu, mak nyah berpengalaman mengendalikan kursus motivasi, Miesya, 26, berpendapat, lebih ramai tenaga fasilitator mak nyah diperlukan bagi menjamin keberkesanan program seumpama itu. Ini kerana ‘lelaki sejati’, katanya, sukar memahami sensitiviti maknyah terutama apabila berdepan cabaran fizikal dan modul melibatkan aspek kerohanian.
“Sebahagian aktiviti berjalan dengan baik kerana maknyah suka menonjolkan diri dan bersaing. Namun sesi taklimat perlu penyampaian sesuai kerana maklumat diberikan itu penting untuk membantu mak nyah apabila keluar (dari dunia hitam) kelak,” jelas Miesya yang merupakan urusetia motivasi Nur Insani Training & Consultancy.
Tambah Miesya, antara cabaran mengendalikan kursus bersama maknyah sudah tentu pengisian kerohanian. Pendakwah aktif sebagai guru mengaji Al-Quran, nasyid, berzanji, marhaban dan bekas juara Tilawah al-Quran tidak lama dahulu, Miesya mengambil pendekatan tersendiri bagi menggalakkan golongan maknyah beribadah kepada Allah.
“Seorang peserta malah menangis apabila pertama kali mengambil wuduk. Ramai tidak yakin penerimaan Allah dengan keadaan fizikal dan sejarah hitam yang pernah mereka lalui. Bagaimanapun akhirnya semua peserta sebulat hati bersolat jemaah bersama-sama,” ujar Miesya yang melaungkan azan setiap kali waktu solat dan mengetuai bacaan surah Yasin.
Menurut Mimi, 27, pula, hanya tanggapan positif dan semangat membuak-buak menyelubungi dirinya setelah mendapat jemputan menyertai program Mukhayyam secara sukarela. Ini dipacu keghairahannya terhadap aktiviti luar selain rasa ingin tahu.
Katanya yang berasal dari Johor, fikiran positif penting jika golongan mak nyah yang merupakan bekas pekerja seks sepertinya ingin berubah demi mencapai potensi sepenuhnya dalam menjalani kerjaya dan kehidupan normal di masa depan.
“Memang rugi maknyah yang tidak mengambil peluang ini. Semua perkara yang dibangkitkan berkait rapat seperti jangkitan kelamin, HIV/AIDS, langkah pencegahan dan kaedah rawatan harus disebarkan terutama kepada pekerja seks kerana ramai langsung tidak tahu menahu tentang penyakit berbahaya ini,” kata Mimi yang merupakan jurusolek bebas.
Sahabat karibnya, Anggun, 29, juga bekas pekerja seks ketika berusia belasan tahun antara mak nyah yang sedang membina hidup baru dengan merealisasikan syarikat peragaan fesyen profesional dan komprehensif.
Pengarah Anggun Modelling Academy & Agency itu bercadang mengikuti kursus Sijil Latihan Dual Negara (SLDN) sebagai asas sebelum memperolehi pentauliahan bagi menyediakan latihan kepada bakal jurulatih peragaan di negara ini.
“Cabaran lebih hebat kerana orang sukar memberi kepercayaan kepada golongan mak nyah untuk menjalankan perniagaan. Pun begitu, ini bukan alasan untuk maknyah putus asa dan kembali ke lorong gelap. Kita patut jadikan ia pendorong untuk membina kehidupan lebih baik,” ujarnya.
Seorang lagi bekas pekerja seks dikenali sebagai Mona, 24, berkata, pada awalnya dia enggan mengikuti program selama empat hari itu. Malah suara lantang Mona paling kerap kedengaran ketika aktiviti kembara lasak kerana mengadu keletihan.
“Sebelum ini saya rasa tersisih tetapi layanan Jakim, JAIP dan MAC meyakinkan saya bahawa ada orang yang masih mengambil berat dengan kekurangan kami sebagai mak nyah dan sedia menghulurkan bantuan. Aktiviti yang dijalankan semuanya cukup menyeronokkan dan memberi pengalaman baru kepada mak nyah seperti kami,” katanya yang berasal daripada Sabah.
Mempunyai sijil dalam bidang jahitan, Mona berkata, slot bersama Pusat GIATMARA memberikannya sinar untuk memperbaiki kemahiran yang ada dan berminat untuk meneruskan pelajaran untuk masa depannya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: