Tuesday, May 31, 2011

Pengajian bukan teknikal 2 tahun


Mohamed Khaled Nordin (tengah) berganding tangan bersama (dari kiri), Fathil Sulaiman Ismail, Jennifer Lopez, Omar Abdul Rahman, Mohd. Nor Yusof, Krishnakumar Guda dan Dr. Adnan Alias selepas majlis menandatangani MoU di PICC, Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 30 Mei - Tempoh kursus pengajian bukan teknikal dan kejuruteraan di semua politeknik akan dipendekkan dari tiga tahun kepada dua tahun atau dua tahun setengah, bermula pengambilan tahun ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah tersebut adalah sebahagian daripada pelan transformasi politeknik agar ia lebih menarik dan efektif dalam melahirkan lebih ramai pekerja mahir tempatan.

Jelas beliau, antara kursus perkhidmatan yang akan dipendekkan tempoh pengajiannya ialah kursus-kursus kemahiran seperti hospitaliti, mengemas, katering dan jahitan.

"Dalam usaha menjayakan pembangunan negara dan mencapai status negara maju tahun 2020, kita perlu beri perhatian soal melahirkan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran.

"Pada masa sekarang, kita hanya memiliki 28 peratus tenaga kerja yang mempunyai kemahiran tinggi berbanding negara maju lain yang memiliki tenaga mahir sekitar 37 hingga 40 peratus," katanya.

Sehubungan itu, katanya, daripada 3.3 juta pekerja menjelang 2020, kerajaan menyasarkan mempunyai 1.5 juta tenaga kerja mahir dengan 680,000 atau 45 peratus daripadanya memiliki diploma.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Pengajian Tinggi dengan empat syarikat iaitu ACCA Malaysia; Ericsson (M) Sdn. Bhd.; Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) dan Mesiniaga Berhad.

MoU itu bertujuan menjalin kerjasama dalam pembangunan dan penilaian kurikulum, pembangunan instrumen penilaian, penyediaan tempat latihan bagi program sangkutan industri pensyarah dan latihan industri pelajar untuk memenuhi keperluan Model Ekonomi Baru (MEB) seiring keperluan industri masa depan.

Mengulas lanjut mengenai MoU yang dimeterai, Mohamed Khaled memberitahu, sektor industri lebih memahami keperluan dan kehendak semasa yang diperlukan seperti pekerja yang boleh mencipta teknologi.

"Politeknik dan industri perlu bekerjasama dan saling memahami kehendak dan keperluan antara satu sama lain, selepas ini pihak industri tidak boleh merungut tak cukup pekerja atau pekerja tak ada kualiti.

"Industri ada peranan, kita perlu berkongsi kepakaran dan menyumbang kepada pembinaan kurikulum yang bukan sahaja memperbaiki kurikulum sedia ada tetapi segera memaklumkan bidang-bidang yang diperlukan mengikut keperluan semasa," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: