|
|
SETIAP pelukis pastinya mengidam untuk mengadakan pameran solo yang disifatkan sebagai satu pengiktirafan terhadap karya yang telah dihasilkan selama ini.
Begitu juga dengan Datin Lynda Ghazzali, yang telah mengabadikan diri selama 15 tahun dalam lukisan porselin.
Biarpun sedang sarat mengandung tetapi itu semua tidak menghalang Lynda untuk memperlihatkan koleksi lama dan terbaru dalam pameran solo bertajuk How I Met You.
Pameran sehari itu diadakan sempena Gala Makan Malam Amal Diraja oleh Hawa Ghazzali Holdings (HGH) di Hotel Mandarin Oriental di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Bagaimanapun pameran ini cuma terbuka untuk orang kenamaan sebagai jemputan khas.
Dalam ucapan pelancaran majlis ini, Lynda berkata, lebih 100 lukisan porselin seperti pasu, pinggan-mangkuk, set hidangan makan adalah himpunan dari koleksinya.
‘‘Setiap koleksi ini menggambarkan luahan perasaan saya yang meliputi kisah suka-duka, kasih-sayang dan juga rasa marah,’’ katanya.
Biarpun nampak sukar tetapi Lynda berjaya merealisasikan setiap ilham itu dengan penuh daya kreativiti yang indah dan mengasyikkan.
Ujar wanita yang mendapat jolokan ‘Ratu Porselin’ ini; ‘‘Perasaan begini sentiasa memberikan inspirasi kepada saya untuk digarapkan dalam lukisan yang memerlukan ketekunan dan kesabaran ketika dihasilkan.”
Lulusan dalam bidang seni dari Universiti Oxford ini bukan sahaja menjadi pelukis tetap di HGH malah juga sebagai Naib Pengerusi di HGH dan Ketua Pegawai Kreatif di Azzalyn Entertainment.
Sementara suaminya, Datuk Ali Ghazzali selaku Penaung dan Ketua Eksekutif Kumpulan Hawa Ghazzali Holdings (HGH) dalam ucapannya berkata, setiap lukisan porselin yang dihasilkan oleh isterinya itu mempunyai cerita di sebalik itu termasuk kisah percintaan mereka berdua.
Beliau yang berbangga dengan apa yang dihasilkan oleh isterinya percaya seni porselin akan terus berkembang dengan baik di negara ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: