Tuesday, May 31, 2011

Penguatkuasaan sivil

LEBIH BERISIKO ... kajian dapati tahap penyakit akibat rokok atau berkaitan rokok lebih teruk di kalangan wanita.
LEBIH BERISIKO ... kajian dapati tahap penyakit akibat rokok atau berkaitan rokok lebih teruk di kalangan wanita.
HIDUP SIHAT...aktiviti fizikal boleh bantu alihkan perhatian pada rokok.
HIDUP SIHAT...aktiviti fizikal boleh bantu alihkan perhatian pada rokok.

APA reaksi anda apabila orang yang duduk di sebelah anda menyalakan rokok ketika berada di tempat awam yang mempunyai tanda larangan merokok?

Adakah anda bertahan dan berdoa dalam hati supaya dia berpindah
ke tempat lain atau bangun menjauhi perokok itu sambil memberikan jelingan kurang senang?


Beranikah anda menyuarakan hak anda dengan menegur perokok berkenaan? Rasanya ramai seperti penulis agak keberatan untuk membuka mulut. Malah, masalah yang sama turut dialami ramai bukan perokok di seluruh dunia kerana bimbang teguran itu akan membuatkan perokok marah, malu atau kurang senang.

Tahukah anda kajian mendapati sembilan daripada 10 perokok akan mendengar teguran dan menghormati hak orang yang tidak merokok jika ditegur dengan baik, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Dr Sallehudin Abu Bakar.

“Syaratnya kena tegur secara baik dan sopan. Jika ditegur dengan baik, perokok akan memadam�kan api rokok atau pergi ke ruang yang dibenarkan merokok. Malangnya di negara kita, perkara ini jarang dilakukan.

“Biasanya jika ada orang merokok di tempat awam, biasanya individu yang tidak merokok akan menjauhkan diri atau meninggalkan tempat berkenaan. Kaedah ini tidak akan menyedarkan perokok. Sebaliknya kitalah yang perlu tegur untuk mengingatkan perokok dan biasanya selepas ditegur, mereka akan memadamkan api rokok.

“Apabila kita tegur, perokok akan sedar dan ingat bahawa dia perlu mematuhi larangan merokok di satu-satu tempat pada masa akan datang. Sudah sampai masa kita menyuarakan hak kita untuk mendapat udara bersih yang bebas daripada asap rokok. Kita hanya mahu oksigen, bukan karbon monoksida dan gas beracun lain dalam asap rokok untuk masuk ke dalam badan kita,” katanya.

Selepas senarai tempat larangan merokok diwartakan, banyak operasi dijalankan khususnya di bandar besar untuk memastikan larangan dipatuhi dan beribu-ribu kompaun dikenakan pada perokok yang ingkar. Namun sejak akhir-akhir ini, jumlah operasi bagai boleh dibilang dengan jari. Adakah langkah penguatkuasaan ini hanya hangat-hangat tahi ayam?

“Tidak. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) contohnya masih giat menjalankan operasi tetapi apa yang kita mahu rakyat sendiri yang menguatkuasakannya dengan cara me�nyuarakan hak mereka untuk mendapat udara bersih dan kaedah ini dipanggil penguatkuasaan sivil. Maknanya, kita boleh tegur perokok jika mereka merokok di tempat yang dilarang.

“Saya gembira kerana sejak akhir-akhir ini orang ramai sudah mula menyuarakan hak mereka dengan memberi teguran kepada perokok yang merokok di tempat dilarang. Kaedah penguatkuasaan sivil ini terbukti berkesan,” katanya.
Mengikut Seksyen 11(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2005 melarang tegas aktiviti merokok di:

  • Semua kawasan awam yang tertutup contohnya klinik, hospital, semua pejabat kerajaan, kompleks beli-belah, pusat sukan, stadium, pusat kecergasan, gimnasium dan semua tempat yang berkaitan dengan sukan kecuali pusat hiburan (pub, disko, kelab malam atau kasino).

  • Semua tempat makan berhawa dingin tetapi ada kelonggaran memperuntukkan satu pertiga daripada restoran untuk ruang makan yang boleh merokok dengan syarat ruang tidak merokok dan merokok diasingkan (berdinding). Selain perlu meletakkan tanda yang jelas, pengusaha dikehendaki memasang alat untuk menyedut keluar asap rokok di ruang makan yang dibolehkan merokok.

  • Hentian pengangkutan awam (stesen bas, stesen kereta api, lapangan terbang).

  • Tempat ibadat atau suci (masjid, surau, gereja, kuil).

  • Kenderaan awam (bas, bas sekolah, kereta api, teksi, LRT dan kapal terbang).

  • Seluruh kawasan institusi pengajian awam dan swasta (taman asuhan kanak-kanak, tadika, sekolah, pusat pengajian tinggi).

  • Seluruh kawasan pejabat kerajaan dan tingkat yang mempunyai kaunter perkhidmatan dalam bangunan.

  • Kawasan digunakan untuk aktiviti perhimpunan di dalam sesuatu bangunan selain bangunan kediaman atau persendirian.

  • Lif dan tandas awam.

  • Stesen minyak.


    Mereka yang melanggar subperaturan (1) itu melakukan kesalahan dan jika disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun.

    Setakat ini kompaun yang dikenakan ialah RM200 dan perlu dibayar dalam tempoh dua minggu. Kegagalan berbuat demikian, perokok boleh dihadapkan ke mahkamah.

    Pemilik mana-mana premis perniagaan terutama restoran yang tidak mematuhi peraturan larangan merokok seperti sengaja membenarkan pelanggannya merokok di ruang tidak merokok boleh dikenakan kompaun sebanyak RM400.

    “Pemilik boleh menegur pelanggan untuk tidak merokok atau memindahkan mereka ke ruang yang dibenarkan merokok. Jika tiada sebarang langkah diambil, pelanggan lain boleh membuat aduan kepada pihak berkuasa tempatan.

    “Hasil penguatkuasaan sivil maka wujudlah panggung wayang yang bebas asap rokok. Malah dua pusat beli-belah di Kuala Lumpur, The Garden dan Jusco Alpha Angle sudah berikrar menjadikan kawasan mereka bebas rokok. Pemilik perniagaan sebenarnya ada ‘kuasa untuk bersuara’ bagi melarang pelanggannya merokok. Ini adalah langkah penting untuk sama-sama mendidik masyarakat,” katanya.

    Pada 2004, kerajaan melancarkan kempen ‘Katakan Tak Nak’ untuk mengekang tabiat merokok. Ada pihak berpendapat kempen yang menelan belanja RM20 juta itu tidak berjaya mengajak rakyat berhenti merokok tetapi berdasarkan kajian yang dilakukan pada 2006 didapati peratusan perokok di negara kita turun sedikit daripada 24.8 peratus (1996) kepada 22.8 peratus (2006).

    Perbezaan dua peratus ini mungkin dianggap kecil bagi sesetengah pihak berbanding wang yang dibelanjakan tetapi langkah ini perlu dilihat daripada skop yang lebih luas iaitu untuk memberi pendidikan dan kesedaran.


    E-rokok, cerut dan sisha

    Ramai sedar bahaya merokok dan mencuba pel�bagai cara untuk berhenti. Malangnya bukan mudah untuk berhenti merokok. Pakar perubatan mengkategorikan ketagihan rokok dikategorikan sebagai penyakit yang memerlukan rawatan doktor.

    Desakan merokok pada waktu pagi (selepas bangun tidur) adalah keinginan yang paling sukar dikawal dan antara sebab utama orang kembali menyedut asap beracun itu terutama bagi mereka yang dalam usaha berhenti.

    Dalam usaha ini ada yang beralih kepada rokok elektronik atau e-rokok. E-rokok yang menggunakan kuasa bateri akan memanaskan cecair dan mengeluarkan asap apabila dihisap. Ia diilhamkan oleh ahli farmasi China, Hon Lik pada 2003 dan mula meng�eksportnya pada 2005.


    Adakah e-rokok lebih baik?

    Kata Dr Sallehudin, ia adalah antara cubaan pe�ngeluar rokok untuk meng�galakkan orang merokok. Rokok adalah perniagaan yang sangat menguntung�kan kerana kos menghasilkan sebatang rokok hanyalah dua sen dan dijual pada harga 50 sen.

    “E-rokok ada dua jenis iaitu mengandungi nikotin atau tanpa nikotin. E-rokok yang ada nikotin lebih popular. Bagi pengeluar dan perokok sendiri, e-rokok dianggap cara bijak untuk mengatasi masalah ketagihan rokok yang akan mengurangkan kesan buruk merokok.

    “Perokok masih boleh menikmati rokok (nikotin) tanpa 4,000 bahan kimia berbahaya. Kesan kepada kesihatan tidak seburuk rokok biasa sebab ia hanya mengandungi nikotin,” katanya.

    Bagaimanapun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak mengiktiraf e-rokok sebagai salah satu kaedah terapi penggantian nikotin kerana tiada kajian klinikal dilakukan untuk membuktikan keberkesanannya sebagai terapi untuk berhenti merokok. Kaedah yang diiktiraf setakat ini adalah tampalan nikotin, inhaler atau gula-gula berubat (lozeng).

    Malah, ada banyak kajian mendapati e-rokok mengandungi bahan kimia lain yang boleh membahayakan kesihatan walaupun kesannya tidak sehebat rokok biasa.

    Bahaya cerut sama seperti rokok yang boleh menyebabkan anda ketagih nikotin. Kandungan bahan kimia berbahaya daripada sebatang cerut bersamaan dengan beberapa batang rokok. Sisha pula lebih berbahaya kerana ia turut mengandungi bahan lain. Kajian mendapati sisha menghasilkan 35 hingga 70 peratus lebih karbon monoksida berbanding rokok!


    Kesan pada kesihatan

    Meskipun ramai orang tahu kesan buruk rokok, tetapi tidak salah rasanya jika ia diulang lagi sebagai peringatan bersama. Antara kesannya ialah:


  • Merokok mempercepat�kan kemerosotan mental.

    Kajian yang dilaporkan dalam Jurnal Neurologi (Mac 2010) mendapati perokok mengalami kemerosotan mental lima kali lebih cepat berbanding orang yang tidak merokok. Ini bermakna merokok akan mempercepatkan seseorang mengalami masalah dementia atau Alzheimer (nyanyuk).


  • Merokok meningkatkan risiko mendapat penyakit lupus.

    Lupus ialah sejenis pe�nyakit autoimun yang boleh menyebabkan keradangan, kesakitan dan kerosakan tisu di seluruh badan. Pe�nyelidik di Universiti Harvard mendapati merokok boleh meningkatkan risiko sese�orang mendapat penyakit lupus.


  • Merokok membuat anda nampak lebih cepat tua.

    Merokok akan menyebab�kan kulit kehausan oksigen dan nutrien. Kulit kelihatan pucat dan perkara ini turut berlaku pada perokok muda. Pada masa sama, kulit akan lebih cepat kendur, sumbangan daripada 4,000 bahan kimia berbahaya dalam asap rokok.


    Kebanyakan bahan kimia ini merangsang proses kemusnahan kolagen dan elastin pada kulit yang membuatkan kulit hilang kekuatan dan keanjalannya. Kesannya, kulit akan menjadi kendur dan kedut yang terhasil biasanya lebih dalam atau jelas.

    Kehilangan keanjalan dan kekuatan kulit ini tidak hanya pada muka bahkan membabitkan seluruh badan terutama di bahagian lengan dan payudara.


  • Kedutan tepi mata.

    Bagi perokok kedutan tepi mata muncul lebih awal dan nampak jelas. Ini adalah kesan haba daripada api rokok dan kekerapan mengejipkan mata untuk mengelakkan asap rokok memasuki mata. Bahan kimia daripada asap rokok juga menyebabkan kerosakan dalaman pada struktur kulit dan salur darah di sekeliling mata.


  • Gigi dan gusi rosak.

    Antara kesan asap rokok yang nyata ialah warna karat pada gigi. Kerosakan dalam mulut ini tidak berhenti di situ kerana perokok juga berpotensi mengalami penyakit gusi, nafas berbau dan masalah kebersihan mulut yang lain. Perokok mempunyai kebarangkalian dua kali ganda mengalami kehilangan gigi awal berbanding bukan perokok. Malah kajian membuktikan rokok adalah penyebab utama kepada kanser mulut.


  • Kuku, gigi dan kulit terutama di celah jari menjadi kuning. Ini adalah kesan daripada asap rokok. Berita baiknya warna kekuningan ini akan pudar apabila anda berhenti merokok.

    Kajian menunjukkan jika anda berada dalam lingku�ngan 90 sentimeter (tiga kaki) daripada orang yang merokok di tempat terbuka, kesan asap rokok sama seperti jika berada dalam bangunan.

    Perokok sekunder juga berisiko 25 hingga 30 peratus mendapat penyakit koronari arteri dan kanser paru-paru. Malah perokok tertier (iaitu individu tidak merokok, tidak menghidu asap rokok tetapi tercium bau asap rokok) juga berisiko mendapat kanser dan penyakit jantung.


    Merokok dan pening�katan risiko kesihatan berbanding individu tidak merokok:

  • Penyakit jantung koronari - dua hingga empat kali lebih tinggi

  • Kanser paru-paru - 23 kali ganda (bagi lelaki) dan 13 kali (bagi perempuan)

  • Penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD) - 12 hingga 13 kali lebih tinggi
    Berdasarkan laporan Pusat Kawalan Penyakit (CDC), di Amerika Syarikat saja penyakit berkaitan rokok membunuh kira -kira 178,000 wanita setiap tahun. Secara purata, wanita berkenaan meninggal 14.5 tahun lebih awal kerana rokok.


    Perokok wanita berhadapan dengan penyakit yang sama dengan perokok lelaki, tetapi kajian menunjukkan perokok wanita mendapat penyakit berkenaan lebih cepat. Maknanya tempoh mereka merokok adalah lebih pendek untuk mendapat penyakit berbanding perokok lelaki. Malah, tahap penyakit akibat rokok atau berkaitan rokok juga lebih teruk pada wanita.

    Senarai masalah bagi wanita perokok sebenarnya lebih panjang kerana merokok juga dikaitkan dengan masalah ketidaksuburan (sukar mendapat anak), kelahiran tidak cukup bulan, kematian bayi ketika dilahirkan, bayi terlalu kecil dan tidak cukup berat serta sindrom bayi mati mengejut (SIDS).

    Malah ketumpatan tulang wanita yang merokok lebih rendah berbanding wanita tidak pernah merokok. Wanita merokok juga mempunyai risiko lebih tinggi mengalami keretakan tulang pinggul.

    Jika dulu tumpuan hanya diberikan kepada perokok primer dan sekunder, kini pakar perubatan mula bimbangkan kesan asap rokok pada perokok tertier. Ini adalah kumpulan yang boleh mendapat kesan negatif daripada pengumpulan bahan dalam asap rokok yang melekat pada perabot rumah atau bangku kereta misalnya.

    Ramai ibu bapa perokok tidak sedar bahan-bahan beracun ini boleh menjejaskan kesihatan anak kecil kerana setiap batang rokok mengandungi 4,000 bahan kimia berbahaya. Ada pakar berpendapat menurunkan cermin kereta untuk merokok tidak membantu mengurangkan bahaya asap rokok pada penumpang lain.

    Sempena sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia hari ini, tanamkan azam untuk berhenti merokok. Di negara kita ada 300 klinik berhenti merokok dan 992 perunding kesihatan bertauliah yang boleh membantu anda. Hubungi talian 03-88834400 untuk sebarang pertanyaan me�ngenai perkhidmatan klinik berhenti merokok.



    Kaedah melawan keinginan merokok

  • Lengahkan merokok. Apabila terasa mahu merokok, beritahu diri sendiri untuk tunggu 10 minit dan lakukan sesuatu untuk mengalihkan perhatian anda daripada rokok. Ulang kaedah ini selagi anda terdaya.

  • Jangan kata ‘hanya sebatang saja’. Jangan terperangkap dengan pujukan keinginan merokok kerana biasanya anda tidak akan berakhir dengan sebatang saja.

  • Elakkan perkara yang boleh merangsang keinginan merokok. Ini termasuk melepak dengan kawan perokok.

  • Bersenam. Aktiviti fizikal boleh membantu mengalihkan perhatian anda pada rokok. Malah senaman dalam pejabat atau rumah dengan naik turun tangga atau senaman ringan lain juga sangat berguna khususnya jika anda kerap merokok kerana bosan.

  • Amalkan teknik berehat. Jika dulu rokok menjadi teman rehat anda, kini ia boleh ditinggalkan kerana rokok akan membuat badan lebih ‘tertekan’ dan sakit. Cuba yoga, urut, teknik pernafasan, senaman atau hipnosis.

  • Mengunyah. Setiap kali anda mahu merokok, kunyah gula-gula getah atau kulum gula-gula keras. Anda juga boleh makan buah-buahan, lobak merah atau batang saderi.

  • Cuba kaedah terapi penggantian nikotin - sama ada tampalan, inhaler atau lozeng. Dapatkan bantuan dan sokongan daripada mana-mana klinik berhenti merokok yang berdekatan.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: