Tuesday, May 31, 2011

Konsert tribute Jamal untuk P. Ramlee


KEUNGGULAN Jamal Abdillah sebagai penghibur unggul negara memang tidak dapat dinafikan lagi.


BIARPUN usia pembabitannya dalam bidang seni lebih tiga dekad, penghibur unggul negara, Jamal Abdillah masih lagi terus diminati dan disayangi peminatnya.

Ke mana sahaja dia membuat persembahan waima persembahan pentas sekali pun, jumlah peminat yang hadir sememangnya di luar jangkaan.

Begitu juga dengan kemunculan Jamal di pentas besar seperti konsert juga meraih perhatian yang cukup meluas sehingga tiket-tiket persembahannya laris bagai pisang goreng panas.

Menyedari populariti Jamal masih terus utuh, pihak Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sudah pun merancang untuk menganjurkan konsert sulung Jamal di lokasi yang sering kali menjadi perhatian ramai pihak itu.

Ini disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif PWTC,, Maxson Abdullah Jaafar yang memberitahu pihaknya memang mahu membawa Jamal mengadakan konsertnya di Dewan Merdeka, PWTC.

“Perancangan itu memang sudah lama kerana kami percaya dengan kredibiliti Jamal sebagai seorang penghibur dan dia mampu untuk menarik audiens yang ramai untuk menonton persembahannya.

“Sepatutnya konsert itu dijadualkan berlangsung pada bulan Julai ini tetapi memandangkan ia begitu hampir dengan bulan Ramadan, maka, ia akan dibawa ke tahun hadapan.

“Insya-Allah, jika tiada aral melintang, berkemungkinan besar ia akan diadakan pada Januari 2012. Semuanya bergantung kepada kelapangan jadual Jamal dan Dewan Merdeka juga,” ujarnya ketika sidang akhbar selepas berakhirnya persembahan Kasihnya Ibu di PWTC, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Trek rekod cemerlang Jamal mengadakan konsert berskala besar memang tiada apa yang perlu dipertikaikan lagi dan buktinya, Istana Budaya sudah beberapa kali menjadi saksi kepada kejayaannya.

Berbekalkan lagu-lagu popular serta kemantapan suara jantan yang dimiliki Jamal itu sudah cukup untuk menghiburkan peminatnya.

Peluang yang sering diberikan kepadanya secara tidak langsung menimbulkan perasaan iri hati dan cemburu kepada segelintir artis lain yang masih tidak pernah diberi peluang mengadakan konsert besar.

Bagi Jamal, dia sendiri mahu mencari peluang untuk mengadakan konsert di lokasi lain dengan konsep persembahan yang berbeza.

“Kalau ditanya kepada saya, seboleh-bolehnya saya mahu mengadakan konsert di PWTC sekitar Oktober bersempena dengan Perhimpunan UMNO.

“Jika tidak, saya akan meneruskan hasrat saya itu pada Januari 2012 dan kali ini, konsepnya memang berbeza dengan konsert saya sebelum ini.

“Sudah lama saya menyimpan hasrat untuk mengadakan konsert tribute untuk idola saya, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan itulah yang mahu saya persembahkan dalam konsert ini kelak,” ujar bekas juara Bintang RTM 1979 ini penuh optimis.

Kata Jamal lagi, untuk konsert itu nanti, ia akan dianjurkan oleh syarikatnya, Bintang Channel Sdn. Bhd. dengan kerjasama PWTC.

Pelawaan untuk Jamal mengadakan konsert di PWTC adalah rentetan daripada kejayaan persembahan sempena Hari Ibu yang diadakan di lokasi berkenaan selama dua tahun berturut-turut.

Seperti mana kejayaan tahun lalu yang menyaksikan Jamal digandingkan bersama penyanyi bersuara hebat, Aishah, tahun ini juga PWTC mencatatkan kejayaan yang serupa.

Kesemua 66 buah meja yang berharga RM5,000, RM3,000, RM2,000 dan RM1,000 semuanya habis dijual dalam masa yang cukup singkat.

Menurut Pengarah Komunikasi Pemasaran PWTC, Fadzilah Said, pihaknya sendiri begitu terkejut dan kagum dengan sambutan yang berikan terhadap persembahan Kasihnya Ibu.

“Sehinggakan kami perlu menambah lagi sebuah meja kerana permintaan daripada mereka yang tidak mahu ketinggalan menyaksikan persembahan Jamal.

“Semuanya dilakukan pada saat akhir dan kami pun memang tidak mahukan menghampakan keinginan mereka yang nampaknya merupakan peminat tegar Jamal.

“Insya-Allah, tahun depan kami akan membawa semula Jamal dan mungkin akan digandingkan dengan seorang artis,” katanya yang memberitahu jumlah meja yang dijual itu adalah sama seperti tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: