Wednesday, May 11, 2011

Tiada niat menghina

pix_gal0
Akhil Hay tidak pandang serong kerjaya dalam dunia hiburan

PERSELISIHAN faham antara penulis lirik, pelakon dan pengacara, Bob Lokman dengan vokalis kumpulan Wings, Awie yang tercetus baru-baru ini mengejutkan banyak pihak.Hubungan yang terjalin lebih dua dekad itu akhirnya goyah apabila Awie nyata tersinggung dengan kenyataan Bob Lokman yang disifatkannya sebagai memburuk-burukkan dunia hiburan hanya selepas dirinya berhijrah ke dunia dakwah.
Kedua-dua pihak saling berbalas kenyataan dan ini sedikit sebanyak memberi gambaran negatif terhadap mereka. Keadaan ini juga memberi peringatan terhadap apa yang pernah berlaku kepada penyanyi dan penceramah bebas, Akhil Hayy.

Ia berlaku disebabkan kejujurannya ketika diminta mengulas oleh wakil media mengenai terdapat ajaran sesat dalam golongan artis. Akibatnya dia terheret dalam kancah kontroversi walaupun apa yang dinyatakan itu disokong dengan fakta dan bukti.

Apabila berlaku perselisihan pendapat seperti ini, ia memberi gambaran seolah-olah sudah menjadi kebiasaan di kalangan artis yang berhijrah untuk cenderung menghentam dunia yang pernah mereka jadikan sebagai periuk nasi itu.

Bagaimanapun ketika diajukan pertanyaan ini, suami kepada penyanyi Waheeda itu berkata, dia menafikan bahawa artis yang sudah berhijrah mempunyai niat untuk menghina artis yang masih aktif dalam dunia seni.
“Saya hanya menjawab pertanyaan wartawan terbabit yang bertanyakan apakah wujud ajaran sesat di kalangan artis. Saya berkata sedemikian berdasarkan pengalaman sendiri dan juga isteri saya, Waheeda yang melihat ada sesetengah amalan yang dilakukan oleh segelintir artis ini menyimpang dari ajaran Islam yang sebenar.

“Tapi perkara itu disensasikan sehingga saya didakwa sebagai celupar kerana memberi gambaran tidak baik terhadap dunia hiburan, khususnya kepada golongan artis,” kata Akhil.

Tambahnya, berdasarkan apa yang berlaku , artis yang sudah melalui proses perubahan itu sekadar berkongsi pandangan peribadinya selepas menerima hidayah dari Tuhan tanpa ada niat untuk memburukkan sesiapa atau berasakan dirinya lebih mulia.

“Hanya mereka yang berada dalam situasi ini saja yang memahami keadaan sebenar. Siapalah kita untuk mengatakan lebih baik, manakala orang lain buruk. Jangan membuat andaian kerana perkara ini boleh memporak-perandakan lagi keadaan,” jelasnya lagi.

Duduk bersembang dengan ustaz ini, banyak topik yang disembangkan termasuk membabitkan perniagaannya yang dikatakan menggunakan sistem piramid dan menggunakan kredibiliti sebagai penceramah untuk ‘cari makan’ dalam perniagaan MLM.

“Apabila gosip seperti ini timbul, tak dinafikan imej perniagaan saya memang tercalar. Tapi saya tahu semua dakwaan itu tak benar sama sekali. Syarikat Akhil Network ini adalah perniagaan keluarga dan perkongsian bersama tokoh korporat. Selain menjual produk kesihatan untuk kaki, minyak wangi, penapis air. Syarikat ini juga mengembangkan operasi dengan memperkenalkan pakej umrah dan haji, selain urusan berkaitan insurans.

“ Biarlah orang hendak kata apa pun, yang penting, saya buat semua ini untuk kebaikan umat Islam, di mana saya menjual produk halal kegunaan seisi keluarga,” jelasnya lagi.

Waheeda cipta dua lagu

DALAM pada itu, Akhil juga kini sedang dalam proses pembikinan album kelimanya bersama In Team Records. Album bertemakan Taubat itu turut mengandungi dua lagu ciptaan Waheeda.

Kata Akhil, walaupun isterinya itu tidak lagi aktif di depan kamera, namun keinginan untuk terus mencipta lagu masih lagi ada dalam jiwanya.
“Dua lagu itu berjudul Ampuni Diriku dan Maha Suci Allah. Untuk lagu ini saya akan mengundang kumpulan The Maulid yang dianggotai oleh Amer Munawer dan rakan-rakannya.

“Amer ini bekas anggota kumpulan Ruffedge. Mereka akan mengiringi nyanyian saya nanti. Album itu nanti akan berada di pasaran sebelum bulan Ramadan nanti,”cerita Akhil.

Bercerita mengenai isteri kesayangannya itu, Akhil ingin memperbetulkan tanggapan khalayak yang mengatakan dia menggunakan hak sebagai suami untuk menghalang Waheeda daripada terus aktif dalam bidang seni.

“Hasratnya untuk bersara dalam bidang seni adalah di atas kehendaknya sendiri. Saya tidak melarangnya. Bagaimanapun, Waheeda masih terbabit dengan aktiviti memberi ceramah dan berkongsi ilmu, jika ada permintaan,” jelasnya.

Penyanyi ini ditemui sewaktu dia menjalani penggambaran klip video lagu Hambamu bersama Mawi dan bekas peserta Imam Muda musim pertama di Masjid Sultan Zainal Abidin, Putrajaya.

Penggambaran selama dua hari ini turut menjadikan Shah Alam, Kuala Selangor dan Sungai Besar, Selangor sebagai lokasi penggambaran.

Klip video arahan Izzudin Yaakob ini berkonsepkan ketuhanan dan ia menceritakan mengenai walau apa pun pekerjaan yang dilakukan, namun kita semua menjadi satu apabila mengerjakan solat.

Selain Mawi dan Akhil, barisan Imam Muda musim pertama yang terbabit dalam pembikinan klip video ini ialah Asyraf, Azhar, Nuri, Miril dan Aran. Hambamu dijangka disiarkan di saluran Astro Oasis, pada 27 Mei depan diikuti di saluran Ria dan Prima.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: