Wednesday, May 11, 2011

Belasungkawa: Abadi di hati P Ramlee

Kenangan bersama penggiat filem tanah air.
Kenangan bersama penggiat filem tanah air.
Gelaran diberi bintang legenda kekal ke akhir hayat

LEBIH separuh daripada hidupnya diabadikan kepada bidang penulisan. Hingga ke akhir hayat juga Allahyarham Omar Puteh atau nama penanya, Aimi Jarr, 73, masih aktif berkarya sekali gus membuktikan bidang kreatif ini sudah sebati dalam dirinya.Lebih dulu berjinak-jinak dengan penulisan cerpen, kerjayanya di arena penulisan bermula sebagai wartawan hiburan pada 1957 disusuli penghasilan skrip drama TV, radio dan filem, selain novel. Malah tidak ketinggalan dia turut bergelar penolong pengarah.
Tidak hairan sebaik memulakan kerjaya kewartawanan di Gelanggang Filem yang juga syarikat penerbitan milik Allahyarham Tan Sri P Ramlee, beliau tidak berpaling lagi, sebaliknya terus gigih menulis sekali pun semakin mendalami bidang seni dengan kerjaya belakang tabir termasuk kerja pengarahan dan penulisan skrip.

Bahkan, nama penanya itu diberikan sendiri oleh P Ramlee dan kekal hingga ke akhir hayat. Lebih daripada itu, beliau sanggup berkelana ke Singapura pada usia 18 tahun semata-mata untuk bertemu dengan bintang pujaannya. Siapa sangka, pertemuan itu akhirnya memberikan ruang untuknya berkhidmat kepada legenda itu, seterusnya bergelar sahabat karib.

Semakin ramai penerbit dan pengarah nampak kelebihan luar biasa pencinta seni yang dilahirkan pada 25 Julai 1939 itu hingga akhirnya pada 1962, Aimi ditawarkan memikul tanggungjawab sebagai penolong pengarah di Merdeka Film Kuala Lumpur, tetapi kemudian kembali ke Singapura sebagai penulis.

Apa pun, penulisan yang kritis terutama berkaitan dunia hiburan membuatkan dirinya disegani ramai, malah anak kelahiran Kuala Terengganu itu juga akrab dengan bekas majikannya, P Ramlee, serta isteri, Allahyarham Puan Sri Saloma ketika hayat mereka.
Memori bersama seniman agung itu membolehkan beliau berkongsi catatan peribadi dengan masyarakat menerusi buku berkisar kisah hidup dan karya P Ramlee yang diberi judul P Ramlee: Lagenda Yang Terus Hidup dari Kaca Mata Aimi Jarr.

Penulis itu juga turut menerbitkan buku biografi Saloma selain dikatakan turut menghasilkan beberapa garapan lain membabitkan nama besar seperti buku mengenai Tan Sri Jins Samsudin dan Datuk Yusof Haslam yang disifatkan wajar dikongsi untuk menjadi idola kepada individu lain.

Menyelak semula repertoirenya, selain dominan dengan nama Aimi Jarr, beliau juga pernah menggunakan nama pena Salfarina, Lia serta Ongas bagi karya kreatifnya. Beliau turut mengalih skrip filem popular keluaran Skop Productions ke novel, seperti Maria Mariana, Tragedi Oktober, Bara dan Sembilu.

Profilnya juga turut dimantapkan dengan beberapa jawatan dalam persatuan khususnya Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia (EJA), selain menerima penghargaan di atas sumbangannya di dalam industri hiburan dengan terbaru, Anugerah Tinta di Anugerah Seri Temasek (AST) 2011.

Penerima trofi Penulis Lakon Layar Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-2 menerusi filem Dia Ibuku itu juga aktif sebagai pelakon dengan membintangi beberapa drama dan filem terutama penerbitan rakan baiknya, Datuk Yusof Haslam, selain drama terkini terbitan Datuk Mustapha Maarof, Pak Kadok.

Walaupun Allahyarham sudah tiada, jasanya terhadap dunia penulisan khususnya generasi baru wartawan hiburan tetap dikenang.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Taman Melawati berikutan sakit tua kira-kira jam 8.20 pagi, semalam dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Klang Gate, selepas solat Zohor.

  • NAMA SEBENAR: Omar Puteh
  • TARIKH LAHIR: 25 Julai 1939
  • PENGALAMAN: Wartawan Gelanggang Filem (1958-1963), Penolong Pengarah Filem, wartawan Mastika Filem, Filem Malaysia dan Berita Filem (1963-1970), Utusan Melayu (1970-1983), penulis skrip filem & drama dan pengarah drama.
  • DRAMA RADIO: Perkosaan, Suara Dari Radio dan Jalang
  • DRAMA PENTAS: Anak Yang Belum Lahir (1961) dan Debu Di Tepi Jalan (1962)
  • NOVEL: Anak Bongsu Kesayangan Mak (1960), Sepi Itu Indah (1986) dan Bintang Filem (1996) dan Penyanyi Pujaan
  • BUKU: P Ramlee Dari Kaca Mata Aimi Jarr (1984), P Ramlee Lagenda Yang Terus Hidup (1999) dan Yusuf Haslam - Tiada Yang Mudah
  • SKRIP FILEM DIHASILKAN: Menanti Hari Esok (1977), Tiada Esok Bagimu (1980), Kabus Tengahari (1982) dan Sepi Itu Indah (1992)
  • KEGIATAN: Presiden Gabungan Karyawan Filem Malaysia-GAFIM (1992) dan Presiden Persatuan Wartawan Hiburan Tanah Air-EJA (1993)
  • ISTERI: Noriah Ishak
  • ANAK: Norimy, Norlidza dan Romy
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: