Wednesday, May 11, 2011

JCorp cari jalan atasi hutang

 KFC antara perniagaan teras JCorp yang tidak akan dijual kepada mana-mana pihak.
KFC antara perniagaan teras JCorp yang tidak akan dijual kepada mana-mana pihak.
Kumpulan pertimbang beberapa pilihan termasuk jual tanah

JOHOR Corporation Bhd (JCorp) sedang menimbang beberapa pilihan termasuk menjual beberapa bidang tanahnya di dalam dan di luar negara bagi menyelesaikan beban hutangnya.Sumber berkata, selain penjualan tanah, kumpulan itu turut merancang melupus atau mengurangkan pegangan ekuiti dalam beberapa anak syarikat yang tidak tergolong dalam perniagaan terasnya.
Katanya, menerusi kombinasi dua cara itu, ia akan membantu meringankan beban kumpulan menyelesaikan hutangnya berjumlah RM3.6 bilion yang akan matang pada Julai tahun depan.

“Beberapa opsyen sudah dikenal pasti JCorp dalam melupuskan aset bukan terasnya, yang turut merangkumi penjualan tanah serta pelupusan atau pengurangan pegangan ekuiti dalam anak syarikat bukan teras.

“Bagi pelupusan tanah, ia sudah mengenal pasti beberapa tanah ladang, tanah komersial dan tanah yang memiliki projek hartanah untuk dijual, yang sebahagian besarnya berada di sekitar kawasan Johor, khususnya di kawasan tengah Johor Bahru,” katanya.

Difahamkan, ketika ini tanah komersial milik JCorp bernilai sekitar RM2.5 bilion, manakala nilai hartanah industrinya RM1.3 bilion.
Kumpulan itu juga memiliki beberapa bidang tanah di kawasan pusat bandar Johor Bahru yang dikatakan bernilai RM1.8 bilion.

Selain penjualan tanah, sumber itu berkata, JCorp juga turut dikatakan menimbang menstruktur semula anak syarikat perladangan milik 53 peratusnya, iaitu Kulim (M) Bhd.

“Antara pilihan yang akan diambil (dalam penstrukturan Kulim) termasuk mengurangkan pegangan Kulim dalam anak syarikat perladangannya di Papua New Guinea, iaitu New Britain Palm Oil Ltd (NBPO),” katanya.

Jurucakap JCorp enggan mengulas ketika dihubungi semalam.

Pada Januari lalu, Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Kamaruzzaman Abu Kassim, berkata kumpulan itu akan mengurangkan jumlah hutang kumpulan itu sehingga 72 peratus kepada RM1 bilion menjelang akhir tahun ini.

Beliau menegaskan, strategi pengurang hutang itu tidak membabitkan penjualan Kulim.

Kulim menjadi perhatian susulan statusnya sebagai pemegang saham utama dalam QSR Brands Bhd menerusi kepentingan 57.77 peratus.

QSR Brands pula mempunyai 50.64 peratus kepentingan dalam KFC Holdings (Malaysia) Bhd (KFCH), iaitu pemilik KFC, rangkaian makanan segera terbesar di Asia Tenggara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: