Wednesday, May 18, 2011

Tak pernah ragui Fauzi

FAUZI bertukar-tukar dokumen bersama Abdul Wahab sambil diperhatikan Lisdawati.
FAUZI bertukar-tukar dokumen bersama Abdul Wahab sambil diperhatikan Lisdawati.
Lisdawati anggap gosip timbul kerana ada pihak tidak puas hati

SEJAK mengambil keputusan untuk berkahwin sehinggalah menimang dua cahaya mata, pasangan suami isteri terkenal, Lisdawati dan Fauzi Nawawi tak habis-habis dilanda gosip. Paling kerap ditimbulkan adalah kisah kenakalan si lelaki. Khabarnya, walaupun sudah bergelar suami, Fauzi belum dapat meninggalkan tabiat hidung belangnya.Ada saja cerita kurang enak mengenai Fauzi singgah di telinga media sehingga menimbulkan tanda tanya, apakah pasangan ini sedang menghadapi krisis peribadi? Tidak cukupkah apa yang dikurniakan kepadanya sehingga lelaki ini sanggup berfoya-foya dan mahu menduakan isterinya. Ataupun cerita kenakalan Fauzi itu hanyalah sekadar gosip yang disebarkan semata-mata kerana ada yang tidak senang dengan kejayaan dan kebahagiaan mereka.

Bertemu pasangan ini pada majlis pelantikan mereka sebagai jurucakap produk keluaran Vianco Natura di Restoran Puteri, Kuala Lumpur, Sabtu lalu, persoalan itu turut diajukan kepada mereka.

Mahu juga mendengar sendiri apakah komen Lisdawati dan Fauzi mengenai gosip yang jika terbukti kebenarannya, tidak mustahil mampu menggoyahkan kebahagiaan rumah tangga. Bagaimanapun, tiada sebarang reaksi negatif yang ditunjukkan pasangan ini sebaik saja soalan panas itu dikemukakan.

Berpegang kepada prinsip berani kerana benar, kedua-duanya mengakui mereka saling percaya- mempercayai antara satu sama lain. Tegas Lisdawati atau lebih akrab disapa Lisda, sedikit pun dia tidak pernah meragui kesetiaan suaminya.
"Memang sebelum ini saya pernah mendengar tuduhan yang sama dilemparkan kepada suami saya yang kononnya dia bersikap nakal apabila tidak bersama saya. Terus terang, saya tidak pernah meragui dirinya kerana bagi saya, Fauzi seorang suami yang baik, penyayang dan bertanggungjawab kepada keluarga.

"Saya tidak tahu gosip apa pula kali ini yang melanda rumah tangga kami, tapi apa yang boleh saya katakan, semua cerita seperti ini timbul disebabkan ada pihak tidak senang dengan kejayaan suami saya. Saya bukan bercakap kosong, sebaliknya apa yang saya katakan ini saya memang nampak sendiri dengan mata dan kepala saya," luah Lisdawati.

Katanya, sepanjang mendirikan rumah tangga, Fauzi baginya masih sama seperti dulu dan tidak pernah berubah walau sekelumit pun.

"Dia tidak pernah mengabaikan rumah tangga dan anak-anak. Sehingga kini kami sebenarnya masih menikmati zaman bulan madu, sama seperti zaman awal pernikahan. Saya tahu, ramai yang menganggap Fauzi nakal berdasarkan karakternya dalam setiap drama atau filem lakonannya, walhal di luar, dia sama seperti lelaki lain yang penyayang terhadap isteri dan anak," puji Lisda.

Tidak persiakan kepercayaan isteri

LELAKI ini hanya tertawa apabila kisah ‘kenakalannya’ itu menjadi bahan bualan ramai. Begitupun, jauh di sudut hatinya terselit juga rasa terkilan apabila masyarakat begitu mudah membuat penilaian tanpa cuba mengetahui duduk bangun perkara sebenar.

Tegas Fauzi, walaupun ramai yang melihat dirinya lebih kepada sisi negatif, hanya dia yang mengetahui siapa dirinya yang sebenar. Kebebasan yang diberikan si isteri tidak pernah disalahgunakan.

"Orang melihat saya berdasarkan watak yang saya lakonkan di layar kaca ataupun di layar perak. Saya sedar, watak antagonis itu sebenarnya banyak mempengaruhi pandangan orang terhadap saya sehingga ada yang menyangka, bagaimana saya dalam TV, begitulah juga saya di luar.

"Jangan mudah memberi tanggapan melulu. Sejak berkahwin, saya tidak pernah mensia-siakan kepercayaan yang diberikan isteri, selama ini. Orang boleh berkata apa saja terhadap saya, asalkan isteri saya tahu apa yang saya lakukan dan tidak pernah mempersoalkan kejujuran saya itu, sudah memadai," katanya.
Beralih kepada perkembangan kerjaya lakonannya, Fauzi berkata, dia kini berjinak-jinak dalam drama genre komedi.

"Sejak awal tahun sehinggalah sekarang, saya sering ditawarkan watak komedi. Ia bagaikan perkembangan baru dalam kerjaya lakonan saya. Mungkin ada yang melihat mudah sebenarnya untuk membawakan watak komedi ini. Tapi bagi saya, nak bawa watak komedi sebenarnya lebih susah daripada watak antagonis. Nak buat orang benci memang mudah, tapi sukar untuk membuat orang ketawa," kata Fauzi yang baru saja selesai menjalani penggambaran drama komedi berjudul Mat Latah.

Mengulas tanggungjawab sebagai duta produk Vianco Natura pula Lisda berkata, tugas mereka adalah untuk memberi penerangan mengenai keistimewaan produk keluaran Bumiputera itu.

"Kami akan terbabit dalam beberapa siri jelajah promosi yang sudah diatur penganjur. Dalam siri promosi ini, kami akan bercerita mengenai pengalaman menggunakan produk keluaran jenama itu. Macam saya, saya lebih kepada penggunaan produk pencuci bio detergent dan juga minuman kolagen, manakala suami adalah untuk produk Coffee Premix dan Teh Jus Lemon.

"Sebelum bersetuju untuk menjadi duta, kami menggunakan produk berkenaan selama dua bulan dan ternyata produk ini memang banyak keistimewaan," katanya yang mengikat kontrak selama setahun bersama LS Associates (SEA) Sdn Bhd (LSA), pengeluar produk Vianco Natura.

Terdahulu, Lisdawati dan Fauzi menandatangani perjanjian sebagai duta produk itu. Hadir sama, Ketua pegawai Operasi LSA, Datuk Abdul Wahab Abdul Hamid.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: