Farawahida
DIA pernah berdepan dugaan yang bukan calang-calang insan mampu menghadapinya. Apatah lagi rantaian cerita sudah ditokok tambah hingga menyentuh soal maruah. Namun, Farawahida masih mampu tersenyum kerana yakin di luar sana ramai yang mengetahui perihal sebenar.Dua tahun berlalu, gadis berjiwa kental itu semakin tabah melayari arus kehidupan. Akuinya, pengalaman perit mengajarnya untuk lebih berhati batu, sekali gus terus kekar melangkah. Walau dalam hidup mahupun kerjaya, dirinya kini semakin berdikari.
“Syukur saya berjaya mengharungi semua kedukaan dengan bertawakal kepada-Nya. Perjalanan seni saya juga semakin dipermudahkan. Boleh dikatakan hari ini saya bertambah matang dan ‘masak’ dengan persekitaran,” katanya yang baru menginjak usia 26 tahun.
Berdepan dengan penyanyi ini, terserlah keyakinan, malah sesekali tawanya memecah kesunyian bagai tiada gelora bersarang di hatinya. Benar bagai dikata, gadis ini sedang melalui fasa bahagia baik dalam kerjaya, kehidupan mahupun dunia percintaan.
Akui pemilik nama Farawahida Razali itu lagi, siapa yang mahu terus diulit sengsara semetelah selepas mendepani badai dunia yang cukup menusuk rasa, malah kala ini mulutnya bagai mahu menjerit kepada seluruh isi alam betapa kini dirinya tenang.
Manakan tidak, single berjudul Jangan Tanya Aku Lagi gubahan Manusia Putih yang dihasilkan selepas dua tahun, sepi tanpa sebarang produk mula memancing perhatian pendengar, ditambah populariti lagu berkenaan yang turut dijadikan lagu tema drama bersiri Mata Ayer di slot Legenda TV3.
Penerimaan itu melegakannya, malah ia akan disusuli rakaman single seterusnya kerana sebagai penyanyi, lagu baru cukup penting sebagai sandaran dalam setiap persembahan pentas.
“Memang saya banyak membawakan lagu orang terutama artis seberang. Namun peminat menyukainya, cuma mereka masih bertanyakan dendangan terbaru. Kebetulan ketika saya berjumpa Manusia Putih, dia bertanyakan apa judul yang mahu saya berikan dan secara kebetulan saya jawab ‘Jangan Tanya Aku Lagi’.
“Seminggu kemudian dia memperdengarkan keseluruhan lagu itu. Memang tepat sekali dengan selera saya. Ketika rakaman, saya diberi kebebasan mencorakkan melodi dan seni katanya semula. Boleh dikatakan, dari awal pencarian bahan hingga proses rakaman, ia berdasarkan usaha sendiri,” katanya yang menggunakan wang saku untuk menyiapkan lagu itu.
Tidak hairan pengalaman itu membawa makna mendalam buat Farawahida, malah menguji kesabarannya yang sanggup mengumpul duit berdikit-dikit hasil persembahan demi merealisasikan impian, sekali gus tidak bergantung kepada album terdahulu.
Kekasih beri dorongan
Katanya, semangat jitu yang meresap ke dalam diri adalah hasil sokongan insan sekeliling terutama keluarga, peminat dan tidak ketinggalan insan tersayang, yang awalnya cuba dirahsiakan, kerana berasakan perhubungan mereka masih terlalu awal untuk diperkatakan.
Akuinya, perkenalan ketika zaman sekolah kemudian membibitkan rasa tatkala mereka bertemu semula, bahkan hubungan yang mendapat restu seisi keluarga mula mekar sejak setahun lalu dan semakin dibaja supaya terus segar mengharum.
“Biasalah dalam hubungan, ada pasang surutnya. Sifatnya yang begitu memahami dan menghormati orang tua cukup saya kagumi. Dia tidak mudah melatah apabila membaca desas-desus mengenai diri saya. Malah dialah sebenarnya antara penguat semangat untuk terus melangkah.
“Soal jodoh saya serahkan kepada Yang Maha Esa. Siapa kita untuk menentukan masa depan. Kalau saatnya tiba nanti, ia akan datang juga. Sebagai gadis, tidak manis jika saya pula yang beriya-iya bercerita soal jodoh,” katanya penuh bermakna.
Berkongsi lebih lanjut berkaitan kerjaya seni, katanya, debaran di hati semakin berganda apabila hujung tahun ini lakonan sulung, menerusi filem Baik Giler! dijadualkan menemui khalayak. Filem itu diterbitkan Layar Dimensi Sdn Bhd.
Membawakan watak utama, Suraya, penyanyi yang pernah tampil dalam pementasan Sinbad pada 2009 bergandingan dengan Zizan Raja Lawak itu berharap percubaan pertamanya mampu meninggalkan impak kepada khalayak.
“Dalam filem itu saya menjadi teman wanita Zizan (watak Afik). Agak kekok apatah lagi saya sukar menahan ketawa melihat aksinya. Apa pun dia dan ramai lagi pelakon senior memberikan tunjuk ajar termasuk Esma Daniel, Awie dan Kenchana Dewi,” ulasnya mengenai filem yang menggunakan Melaka sebagai lokasi utama itu.
Begitupun, katanya nyanyian tetap berada di tangga teratas. Selepas ini, sama ada dia akan melangkah lagi ke arena lakonan tetap bergantung kepada maklum balas khalayak, sekali gus menjadikan Baik Giler sebagai penentu keputusan itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: