Wednesday, May 18, 2011

Suka 'sembunyi' di perpustakaan

pix_gal0
Ana Raffali kembali ke sekolah lama sambut Hari Guru

SAMBUTAN Hari Guru di Sekolah Kebangsaan Lembah Keramat tahun ini berbeza daripada biasa. Mana tidaknya, bekas murid pada sesi 1992-1997, Ana Raffali, yang kini bergelar penyanyi terkenal hadir meraikan acara istimewa itu.Selain barisan pelajar, insan paling gembira menerima kunjungan penyanyi Tolong Ingatkan Aku itu tentu saja gurunya, terutama bekas guru besar, Mohd Yatim Bolir, serta cikgu kelasnya ketika darjah 5, Mastura Mohd Mokhtar.
Keceriaan dan rasa bangga jelas terserlah pada wajah individu yang banyak berjasa buat dirinya itu, malah Ana atau nama sebenarnya, Ana Nur Hidayah Mohd Raffali meluahkan rasa bangga mendapat pendidikan awal di sekolah itu.

“Inilah tempat pertama saya menimba ilmu dan mengenali muzik. Sekolah ini terkenal sebagai juara pertandingan bercerita serta koir. Sejak darjah dua saya menjadi wakil sekolah dalam kedua-dua pertandingan ini.

“Rasanya kecenderungan terhadap muzik bercambah di sini. Menerusi hobi membaca, saya mendalami penulisan kreatif hingga mampu menulis lirik yang cantik,” katanya usai sesi lawatan sebaik acara sambutan Hari Guru.

Mengimbas semula nostalgia zaman kecilnya itu, akui anak jati Kuala Lumpur itu lagi perpustakaan menjadi lokasi ‘persembunyiannya’ malah dirinya ralit sebaik menjumpai buku kegemaran iaitu siri penyiasatan Enid Blyton.
Biarpun kini pemegang Ijazah Kelas Pertama itu lebih gemar membaca buku sastera, naskhah ketika zaman kanak-kanaknya tidak pernah dilupakan kerana menganggap bahan bacaan membawa dirinya ke dunia berbeza.

Dek minat terbabit, Ana turut berkongsi kecenderungan itu dengan murid SK Lembah Keramat apabila bekerjasama dengan Blue T dan Ana Muslim Publication menyumbangkan bahan bacaan.

“Sebenarnya kami sudah lama bekerjasama. Sebelum ini pun kami pernah mengunjungi beberapa sekolah di luar bandar termasuk di Banting untuk menyumbangkan buku. Sempena Hari Guru, lebih bermakna saya berbakti kepada sekolah sendiri,” katanya lagi.

Terdahulu, Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 itu turut menyumbangkan lagu popularnya, Kalau Berpacaran dan Tolong Ingatkan Aku.

Sorakan bergema sebaik saja gadis yang sinonim dengan imej berbaju kurung dan bergitar itu mengambil alih ruang pentas, sekali gus menunjukkan si kecil turut menghargai kehadiran senior mereka!

Jika bukan penyanyi, jadi guru

AKUI Ana lagi minatnya untuk bergelar pendidik tidak pernah padam sekalipun sudah meraih kemanisan berada kedudukan selesa dalam persada seni, apatah lagi guru antara cita-citanya sejak kecil.

Begitupun, luah anak seni yang bakal mencecah usia 26 tahun November ini, bidang nyanyian juga tidak jauh berbeza dengan arena pendidikan kerana ia antara medium menyalurkan harapan.

“Memang jika bukan menjadi penyanyi, sudah tentu saya bergelar guru. Apa pun saya tidak ralat sebaliknya yakin nyanyian juga boleh menjadi landasan untuk berkongsi maklumat terutama menerusi lirik.

“Sampai bila-bila pun saya kagum dengan tugas seorang pendidik. Cuma syukur keluarga terutama ibu begitu memahami situasi ini dan memberikan saya kebebasan memilih cabang kerjaya,” katanya penuh bermakna.

Sementara itu, bekas guru besarnya mengakui Ana sememangnya ulat buku dan suka menyendiri di dalam perpustakaan, namun kecenderungan dalam bidang muzik begitu terserlah apabila dilihat suka menyanyi.

“Saya boleh ingat Ana sebab dia aktif dalam pertandingan bercerita, sajak dan koir. Dia agak pendiam tetapi kalau bab menyanyi memang dia nombor satu. Apa pun saya tak sangka hari ini dia sudah menjadi penyanyi terkenal.

“Sebagai bekas gurunya saya berbangga dengan pencapaian anak didik saya ini. Saya harap Ana terus dengan imej bersih dan menjadi contoh kepada generasi muda khususnya murid sekolah ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: