Wednesday, May 18, 2011

Cinta pandang pertama

pix_gal0
Pernah jatuh longkang, kini Linda kembali aktif tunggang motosikal besar

SEGALA-GALANYA bermula ketika dia sedang membelek-belek sebuah majalah. Iklan mengenai motosikal berkuasa tinggi yang tertera dalam majalah terbabit cukup menarik perhatiannya. Entah mengapa, tiba-tiba perasaannya berubah selepas melihat iklan itu. Tanpa disedari, tangannya pantas mencapai telefon bimbit dan mendail nombor syarikat pemotoran berkenaan.Sejak itu, bermulalah fasa baru dalam kehidupan penyampai Suria FM, Linda Onn. Jika dulu, ke sana ke mari dia memandu kereta mewahnya, kini perhatian beralih kepada motosikal berkuasa tinggi jenama Ducati yang sudah setahun menjadi hak miliknya. Pantang ada masa terluang, ada saja aktiviti yang dilakukan bersama cinta barunya.
“Linda mula menceburkan diri dalam hobi baru ini sejak setahun lalu. Memang seronok kerana perasaan menunggang motosikal berkuasa tinggi ini jelas berbeza. Adrenalin kita terasa mengepam dengan laju. Linda memang selalu juga menyertai kumpulan motosikal, jika mereka ada program menjelajah ke mana-mana destinasi.

“Selain menunggang beramai-ramai atas dasar untuk keseronokan dan kepuasan, ada juga aktiviti menunggang ini yang dilakukan dengan tujuan amal. Sebagai contoh, sebentar lagi, Linda bersama-sama geng motosikal lain akan bertolak ke Melaka untuk menyertai program jelajah 1Malaysia untuk kempen membanteras gejala pembuangan bayi.

“Konvoi ini disertai oleh 300 penunggang motosikal berkuasa tinggi. Untuk acara ini nanti, Linda juga akan mengembara ke beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Pahang dan Terengganu. Bukan saja sekadar hobi, tetapi aktiviti ini juga dapat mendekatkan diri kita kepada masyarakat, selain membantu pihak berwajib dalam menjayakan sesebuah kempen,” cerita Linda kepada Hip pada sesi fotografi bersama sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi di Restoran My Asam Pedas miliknya di Ampang, Selangor, pagi Sabtu lalu.

Walaupun cuaca agak terik, komitmen Linda dan rakan dalam merealisasikan sesi fotografi ini sewajarnya diberikan pujian.
Bagaimanapun, mungkin ramai yang tidak tahu di sebalik keberanian wanita tinggi lampai ini menceburkan diri dalam aktiviti lasak ini, rupa-rupanya Linda pernah fobia dengan motosikal. Semuanya gara-gara pernah ditimpa kemalangan sewaktu dia berusia 12 tahun.

“Ketika itu, Linda memang rapat dengan seorang lelaki berpangkat abang. Dia yang banyak menggalakkan Linda menunggang motosikal. Hendak dijadikan cerita, ketika asyik menunggang, tiba-tiba motosikal tidak dapat dikawal dan Linda terjatuh ke dalam longkang. Lebih malang, motosikal itu terus bergerak dan menjadikan suasana persekitaran agak kecoh.

“Sebaik saja mendengar cerita kemalangan itu, ibu yang kebetulan berniaga di kawasan berdekatan terus datang mendapatkan Linda. Bising jugalah dia. Sejak itu, Linda fobia dengan motosikal. Namun, entah kuasa dari mana yang datang, perasaan fobia itu semakin hilang dan dapatlah Linda melaksanakan hobi baru yang cukup mencabar ini," katanya.

Cerita Linda, mungkin ada yang melihat aktiviti ini sangat mudah, tetapi bagi Linda, ia tetap punya cabarannya tersendiri.

“Beratnya saja sudah mencabar Linda. Tapi Linda jadikan penyanyi Fauziah Latiff sebagai contoh terbaik. Dia lebih kecil dan rendah daripada Linda, tapi apabila di jalan raya, kemampuan dia menunggang motosikal sangat hebat. Sebagai wanita yang mempunyai ketinggian yang lebih daripada Kak Jee, serta tubuh yang sedikit besar daripadanya, mengapa Linda tidak boleh melakukan apa yang dia lakukan?
Linda jadikan Kak Jee sebagai sumber inspirasi,” katanya yang pernah beberapa kali menyertai siri kembara bermotosikal bersama-sama penyanyi yang cukup popular menerusi lagu Kau Merubah Segalanya itu.

Perancangan pada masa hadapan, Linda berkata dia berura-ura untuk mendapatkan motosikal ‘easy rider’ berjenama Harley Davidson.

Rindu bidang pengacaraan

KALI terakhir dia menjadi pengacara adalah sekitar 2008 iaitu menerusi program bual bicara, Tanya Linda dan Sehati Berdansa. Selepas program itu berakhir, suara lunaknya hanya kedengaran di Suria FM. Tertanya-tanya juga, tidakkah pemilik nama penuh Rozlindah Onn ini mahu kembali menghiasi kaca TV dengan tutur bicaranya yang keletah itu?

“Terus terang, memang Linda rindu sangat untuk mengacarakan program TV.
Malangnya, kebanyakan tawaran yang datang semuanya mahukan Linda menjadi tetamu undangan program mereka dan bukannya sebagai perantara. Linda dapat tahu, antara punca tawaran pengacaraan tidak dihulurkan kepada Linda kerana sebahagian penerbit menyangka Linda tidak lagi berminat melakukannya disebabkan terlalu sibuk dengan perniagaan serta kerjaya sebagai penyampai radio.

“Di sini Linda ingin menjelaskan, Linda masih berminat untuk menjadi pengacara TV. Memandangkan hobi baru Linda adalah menunggang motosikal, mungkin selepas ini adalah tawaran untuk Linda mengacarakan sebuah program berkaitan dunia pemotoran. Selain bercerita mengenai motosikal, dapat juga Linda mengembara,” kata wanita berusia 34 tahun ini.

Beralih kepada bidang perniagaan, Linda memberitahu, jika tiada aral melintang, restoran My Mom’s Chicken Rice akan membuka dua lagi cawangan iaitu di sekitar Cheras dan Johor Bharu. Semuanya akan berlaku dalam masa terdekat ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: