|
|
FARID Kamil, Shaheizy Sam, Remy Ishak, Aaron Aziz mahupun Iqram Dinzly, nama-nama ini sememangnya sudah cukup sinonim dengan paparan karakter di layar perak sebagai hero Malaya.
Tetapi entah dari mana, tiba-tiba nama Along Eyzendy pula muncul memeriahkan industri perfileman tanah air ketika ini.
Pernah hadir sebagai orang-orang di belakang tabir dan kemudiannya mengembangkan kariernya sebagai pelakon pembantu, pemuda berusia 32 tahun ini langsung melebarkan sayapnya kepada skop yang lebih komersial.
Rezeki memegang watak hero atau pelakon utama sesebuah drama atau filem ternyata membuka mata umum mengenai kehadiran Along dalam industri.
Namun, jika hendak dibandingkan dengan nama-nama bintang lelaki yang disebut di atas, timbul pula andaian yang mengatakan Along masih belum selayak mereka untuk bergelar hero.
Puncanya cuma satu. Along tidak mempunyai rupa paras yang menarik untuk melengkapkan pakej sebagai hero Malaya.
Menjawab pertikaian berhubung isu, kata Along dalam emosi bersahaja, dia tidak berkecil hati jika ada yang mempertikaikan soal rupa paras kerana sedar siapa dirinya.
Menurut pelakon drama Bio-Nik ini, dia sememangnya sudah menjangkakan perkara ini sejak dari awal pembabitan seriusnya dalam bidang lakonan.
Namun, bagi Along, keyakinannya cukup tinggi untuk bersandar pada bakat yang dimiliki meski punya kelemahan dari aspek rupa paras.
“Orang Malaysia ini memang suka tengok hero yang kacak dan gagah. Pada mereka karakter beginilah baru boleh dipanggil hero.
“Sebab itu bila orang kata saya tak layak jadi hero saya tak kecil hati. Sebab saya sedar saya memang tak kacak.
“Tetapi bagi saya itu semua tak penting. Persepsi ini harus ditukar. Kalau boleh biarlah kita menilai seseorang pelakon itu berdasarkan bakat yang ada padanya dan bukan sekadar luaran,” katanya.
Melanjutkan cerita berhubung isu, kata hero filem Karak terbitan KRU Studios ini lagi, demi mengejar hasratnya untuk menjadi pelakon utama, dia juga berusaha menurunkan berat badannya.
Kata anak kelahiran Ipoh, Perak ini, selain demi kepuasan sendiri, usaha itu juga dibuat bagi memastikan kesihatannya berada dalam keadaan terbaik.
“Sebelum ini badan saya agak berisi dan ketika itu berat badan saya mencecah 120 kilogram. Saya mula sedar yang saya tak berapa sihat selepas asyik penat.
“Perkara ini berlaku semasa saya terlibat dalam penggambaran drama CID 3278 sekitar tahun 2008. Drama tersebut memerlukan saya untuk lincah dan tangkas menangani musuh jadi saya banyak berlari.
“Dari situ baru saya tahu yang badan saya sebenarnya belum cukup ‘kuat’ dan ia mungkin disebabkan berat badan saya.
“Sebab itu saya buat keputusan untuk menurunkan berat badan dan Alhamdulillah, saya selesa dengan berat badan saya sekarang yang dah turun sebanyak 45 kilogram.
“Yang penting, saya mahu mengekalkan stamina agar tak lagi sering kepenatan, ” katanya dalam tawa.
Selesa watak komedi
Jika ada yang tidak tahu, sebenarnya, Along bukanlah terlalu asing dalam bidang seni.
Pembabitannya dalam bidang teater sejak tahun 1998 sebenarnya banyak membantu Along untuk menghayati watak yang diberikan dengan baik sekalipun watak itu kecil.
Bagaimanapun akui Along, meski gemar mempelbagaikan watak, dia tidak dapat lari daripada realiti yang mendekatkan dirinya dengan dunia komedi.
Kata Along, dia melihat watak komedi cukup melekat dengan karakternya yang bersahaja.
Malah, cerita Along tanpa segan, sebelum ini dia juga banyak menerima tawaran watak komedi kerana rupa dan fizikalnya yang dikatakan sesuai untuk watak-watak begitu.
“Saya pun tak tahu, ramai di antara kawan-kawan dan pengarah kata saya sesuai watak komedi. Mungkin ketika itu disebabkan fizikal saya.
“Kalau ikutkan memang saya suka bawa watak komedi apatah lagi memang kena dengan jiwa saya. Tetapi bila saya fikir-fikir balik, saya perlu juga kembangkan watak supaya saya sendiri boleh tengok variasi karakter dan sejauh mana kemampuan saya untuk berlakon.
“Bila berat badan saya menurun, ada juga beberapa pengarah yang menegur dan mereka nampak macam kurang bersetuju.
“Nak tahu apa saya jawab? Saya cakap pada mereka semua ini saya lakukan sebab saya mahu jadi hero!” candanya lagi.
Dalam pada itu, kata Along, dia bagaimanapun tidak menolak sekiranya diberi kepercayaan oleh mana-mana pengarah untuk membawakan watak serius dan sebagainya.
Prinsip Along, meski apa pun watak yang ditawarkan, dia harus menjaga kualiti lakonan dan menggalas tugas dan amanah yang diberikan dengan baik.
“Pada saya tak kisahlah pelakon lama atau baru, selagi kita menjaga kualiti lakonan, maka kita akan terus diberi kepercayaan oleh pengarah.
“Lagipun macam saya cakap tadi, saya nak jadi hero macam Farid Kamil, jadi saya perlulah tunjukkan bakat dan kualiti lakonan yang baik.
“Biarlah tak kacak pun, itu semua tak penting,” katanya dengan jujur.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: