|
|
SIAPA kata Pop Shuvit tak popular? Tempoh 11 tahun perjalanan yang dikecapi mereka cukup untuk membawa kumpulan ini ke puncak kejayaan. Paling membanggakan apabila mereka masih utuh di atas setelah melalui ranjau yang tidak bertepi.
Ramai yang tahu kumpulan yang cukup gemar dengan muzik hip hop rock ini bukan calang-calang orang. Apa sahaja yang terhasil daripada mereka pasti menjadi ikutan peminat dek idea yang segar, lain dari yang lain.
Berlandaskan itu mereka meniti populariti. Lagu-lagu yang terhasil melalui empat album yang lalu cukup hangat mendapat sambutan bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di pasaran antarabangsa.
Bagi yang mengikuti perkembangan band ini, pasti tahu Pop Shuvit cukup terkenal di pasaran luar terutama negara Jepun. Melalui persembahan jelajah inilah nama mereka terus mekar berkembang sehingga membawa nama Pop Shuvit ke seluruh Asia.
Selain negara tersebut Pop Shuvit juga pernah membuat persembahan di Hong Kong, Taiwan, Macau, Filipina dan Bali, Indonesia. Paling tidak dapat dilupakan apabila berpeluang berkongsi pentas yang sama dengan kumpulan My Chemical Romance di Filipina dan Hong Kong.
Kumpulan yang dianggotai oleh Moots!, JD, Rudy, AJ dan Uno ini cukup optimis dengan kehadiran single Nebula 11 yang sudahpun diperdengarkan kepada umum baru-baru ini.
Sambil menyifatkan Nebula 11 sebagai permulaan baik untuk tahun 2011, JD yang berkesempatan berkongsi cerita dengan Pancaindera cukup teruja dengan apa yang telah berlaku sepanjang penglibatan mereka sebagai sebuah band.
“Sebelas tahun kami bergabung dan bersatu membentuk rangkaian muzik dengan cara sendiri. Akhirnya anda semua dapat lihat apa yang telah dibawakan oleh Pop Shuvit hari ini. Sudah pasti dalam usia 11 tahun itu banyak mematangkan kami. Setidak-tidaknya kami sudah ada pengikut tersendiri yang sentiasa menyokong kejayaan kami.
“Industri kita sudah memperlihatkan banyak peningkatan jika nak dibandingkan dengan dulu. Pemuzik-pemuzik sekarang tahu apa yang terbaik untuk mereka sehingga mampu memberikan kesegaran kepada apa juga hasil seni.
“Paling tidak, Pop Shuvit juga berterima kasih kepada seluruh masyarakat Malaysia yang telah membuka pintu kepada kami untuk sampai ke tahap ini,” jelas JD lagi.
Biarpun nama mereka kini cukup mekar di luar negara berbanding dengan negara sendiri, tidak pernah timbul isu double standard dalam diri setiap anggota kumpulan.
Jelas JD sejauh mana mereka pergi sekalipun, mereka tetap akan mengutamakan persembahan di Malaysia sehingga hari ini. Mungkin kurangnya publisiti yang diberikan oleh media massa telah membuatkan mereka seperti tenggelam.
“Persembahan kecil atau besar bukan masalah memandangkan kami tetap akan menghiburkan orang. Bila peminat suka dengan lagu kami, itu sudah cukup membuatkan kami puas.
“Dalam industri kita ini, Pop Shuvit tidak berniat untuk menyaingi sesiapa. Setiap band mempunyai kualiti yang berbeza tetapi semuanya bagus. Mungkin kerana keunikan orang kita membuatkan muzik kita berada pada kelas tersendiri.
“Pop Shuvit juga tidak perlu nak membuktikan apa-apa lagi pada orang tempatan. bukan sebab kami sombong atau bongkak tetapi band-band luar yang jauh lebih besar pandang tinggi pada muzik kami.
“Apa yang kami buat hanyalah terus berjalan dan mengikut apa yang telah direncanakan,” kata JD yang kini sibuk membuat proses terakhir sebelum album kelima mereka keluar sedikit masa lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: