|
|
SEMASA di bangku sekolah dulu, Ery Zulkhairi aktif dalam persatuan silat. Apabila ada seorang penerbit menonton salah satu persembahannya dan rakan-rakan, mereka akhirnya dibawa ke pentas teater.
Pada masa itu pengarah Datuk Ahmad Tamimi Siregar mahu mencari pesilat untuk satu pementasan yang mengisahkan watak utamanya yang bijak dalam ilmu silat. Ery salah seorang yang dibawa berlakon teater Kabar Kasih Menanti yang dipentaskan pada tahun 1994.
“Daripada situlah minat saya dalam bidang seni mula bercambah. Tapi saya tidak ke mana-mana kerana saya meneruskan pengajian di Universiti Teknologi Malaysia di Johor,” kata pemilih ijazah bidang kejuruteraan itu kepada Pancaindera.
Sepanjang lima tahun belajar, Ery menyertai kumpulan teater dan aktif berteater di peringkat kampus. Hanya baru-baru ini dia memulakan langkah sebagai pelakon dengan lebih serius.
Dia kembali berlakon apabila ditawarkan watak pembantu dalam filem Momok Jangan Ganggu Aku. Filem itu akan ditayangkan tak lama lagi. Selepas itu dapat pula peluang berlakon iklan dan diikuti filem Karipap Karipap Cinta.
Dia juga diberi kepercayaan memegang watak utama dalam filem terbitan Metrowealth International Group (MIG), Flat 3A yang bakal ditayangkan hujung tahun ini.
Selepas berlakon Flat 3A, Ery mengikat kontrak bersama MIG Talents. Belum pun banyak projek bersama syarikat pengurusan artis di bawah MIG itu, dia terpaksa mengambil jalan sendiri.
“Bukanlah kerana bergaduh atau ada apa-apa masalah dengan syarikat pengurusan, tapi pada masa itu saya dapat banyak tawaran dari pihak luar. Kalau terikat sudah tentu nanti ada projek yang saya tak boleh buat. Kebetulan pula MIG ada banyak artis yang mahu diuruskan.
“Saya minta pelepasan secara baik dan mereka melepaskan saya secara sah,” kata Ery pasal jodohnya yang tak panjang dengan syarikat pengeluar filem paling aktif itu.
Ery mempunyai misi jauh dalam bidang seni malah meletakkan sasaran menjadi pengarah dalam masa terdekat. Apatah lagi melihat banyak muka baru yang diberi peluang mengarah filem dan drama.
“Sekarang saya masih bekerja, saya tiada masalah untuk berhenti kerja sekiranya penglibatan saya dalam lakonan menjadi semakin kukuh. Setakat ini saya masih baru dan belum sedia memperjudikan kerjaya utama saya.
“Kalau saya rasa bidang lakonan sudah boleh menjamin saya, saya akan menjadi pelakon sepenuh masa,” kata Ery yang bertugas sebagai jurutera di sebuah kilang di Kuala Lumpur.
Dengan kelulusan dan pengalamannya dalam bidang kerjaya, dia yakin akan dapat tempat sekiranya mahu kembali bekerja, tapi peluang dalam bidang seni tak akan datang dua kali kalau tidak direbut semasa ia datang.
Ery juga mula berjinak-jinak dalam penulisan skrip. Dia sudah mula menghantar skrip ke beberapa produksi serta bekerjasama dengan penulis lain. Minatnya yang tinggi dalam membaca apa sahaja jenis buku membantu menambahkan idea apabila mula menulis.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: