Tuesday, May 10, 2011

Ronda-Ronda berstrategi


FEE Lin Chew (berdiri lima dari kiri) bersama barisan penyampai muzik fm ketika pelancaran program ronda-ronda muzik fm di wisma radio angkasapuri, Kuala Lumpur baru-baru ini.


PERSAINGAN sengit di kalangan stesen radio tempatan mendesak setiap saluran tampil dengan pelbagai idea demi menarik minat pendengar agar memilih saluran radio tertentu.

Bermacam-macam strategi dilakukan untuk merebut perhatian pendengar radio sehinggakan memaksa para penyampai sesebuah stesen radio itu turun padang bagi mendekati kelompok pendengarnya.

Terbaru, stesen radio kerajaan, Muzik FM muncul dengan pendekatan menarik apabila melancarkan program Ronda-Ronda Muzik FM bagai merapatkan ukhuwah antara penyampai radio berkenaan dengan pengikut setia segmen Pilihan Bersama yang ke udara setiap hari bermula pukul 9 malam hingga 12 tengah malam.

Menurut Pengurus Stesen Radio Muzik FM, Fee Lin Chew, program berkenaan akan menampilkan deejay popularnya, Odey Petra yang menjelajah ke beberapa lokasi Semenanjung Malaysia selama tiga bulan bermula 1 April lalu.

"Setiap lokasi yang dilawati skuad Ronda-Ronda Muzik FM, pelbagai aktiviti yang dikendalikan oleh Odey akan dianjurkan dan bermacam-macam hadiah ditawarkan kepada pendengar yang bertuah.

"Selain itu, beberapa artis tanah air turut di bawa bersama skuad terbabit mengikuti siri jelajah berkenaan untuk menghiburkan peminat.

"Itulah kelainan yang ditampilkan Muzik FM berbanding skuad promosi yang dilakukan oleh stesen-stesen radio tempatan lain," katanya pada majlis pelancaran program berkenaan di Wisma Radio Angkasapuri, baru-baru ini.

Dalam pada itu, deejay Odey yang berasal dari Sandakan, Sabah menjelaskan, skuad yang diterajuinya akan mengadakan lintas langsung dari lokasi pilihan untuk berkongsi corat-coret yang berlaku di setiap destinasi.

Tambahnya, sejak program berkenaan dijalankan, segmen Pilihan Bersama yang dikendalikannya mendapat respons positif pendengar sekali gus dia percaya ia mampu menaikkan rating stesen radio berkenaan.

"Skuad program ini akan singgah di tiga lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai sehari bagi setiap negeri.

"Antara lokasi yang sudah dilawati ialah Batu Pahat, Johor Bahru (Johor), Seremban, Port Dickson (Negeri Sembilan), Lembah Klang dan Melaka.

"Saya teruja dengan adanya program sebegini. Selain mengenali kelompok pendengar Muzik FM dengan lebih dekat, saya juga melakukan kajian untuk menaiktarafkan kualiti penyampaian kami yang bertugas di bawah stesen radio ini," jelas jejaka berusia 27 tahun itu.

Program tajaan Digi dan Maxi Peel itu menghimpunkan artis-artis baru seperti Azizi Zakaria, Dior Shaari, Lokman OIAM, Farith Taib, Iqbal Mazlan dan pemenang Biggest Loser Asia at Home, Zenny Salihuddin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: