![]() |
| JELAS Kavita, TANDA akan menyelitkan elemen CGI untuk babak-babak penting bagi menghidupkan lagi jalan cerita. |
MENGENALI sutradara wanita kreatif ini, beliau tidak pernah ketandusan idea untuk terus melahirkan karya-karya berkualiti demi memartabatkan industri perfileman tanah air.
Datuk Paduka Shuhaimi Baba atau lebih mesra disapa Shumi memang sudah diakui sebagai salah seorang pengarah filem terbaik negara.
Malah, dia juga telah membuktikan dengan kuasa wanita yang dimilikinya itu telah membolehkan dirinya berdiri setanding dengan barisan pengarah filem lelaki yang sedia ada di negara ini.
Siapa yang dapat lupa karya-karya hebatnya seperti Selubung (1992), Ringgit Kasorrga (1995), Layar Lara (1997), Pontianak Harum Sundal Malam (2004) dan 1957 Hati Malaya (2007) yang telah berjaya meletakkan nama Shumi di dalam liga tersendiri.
Selepas empat tahun menyepikan diri daripada dunia pengarahan filem tanah air, kini Shumi sudah bersedia untuk menggegarkan industri perfileman tempatan dengan filem terbarunya, TANDA Putera Negara (TANDA) yang akan menjalani penggambaran tidak lama lagi.
Pastinya berita ini akan membuatkan peminat setia karya Shumi tersenyum lebar selepas kali terakhir muncul dengan filem 1957 Hati Malaya.
Ramai yang menyangkakan Shumi jauh hati atau merajuk apabila filem kelapan arahannya itu tidak mencatatkan kutipan yang memberangsangkan di pawagam iaitu sebanyak RM480,000 sahaja (pembikinannya RM2.8 juta).
Bertemu dengan Shumi di pejabat Pesona Pictures di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur, baru-baru ini, beliau hanya tersenyum saat diajukan persoalan tersebut sambil memberitahu soal merajuk itu langsung tidak timbul.
“Biarpun saya tidak aktif mengarahkan dan menerbitkan filem dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini, hakikatnya saya masih sibuk dengan kerja-kerja seni seperti menghasilkan filem dokumentari dan drama bersiri.
“Kini, saya sudah bersedia untuk kembali ke dunia perfileman selepas membuat penyelidikan y onton tempatan,” ungkap Shumi memulakan bicaranya.
Hadir sama pada pertemuan itu adalah rakan kongsi dan penerbit eksekutif filem TANDA, Kavita Kaur Sidhu.
Terang Shumi, filem TANDA sebenarnya sudah lama berada di fikirannya sejak tahun 2009 apabila dia begitu tertarik untuk memaparkan kisah hidup bekas Perdana Menteri Malaysia kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak yang belum pernah dikupas serta diketahui ramai sebelum ini.
“Daripada penyelidikan yang telah saya lakukan bersama pasukan saya sejak dua tahun ini, memang banyak kisah beliau yang barangkali tidak pernah dipaparkan sebelum ini terutama sekali membabitkan penyakit leukemia yang beliau hadapi.
“Sedangkan ketika itu, beliau sedang memerintah negara dan menggalas tanggungjawab besar namun, demi rakyat, dia sanggup berkorban kerana tidak mahu sesiapa pun mengetahui tentang penyakitnya termasuklah keluarganya sendiri.
“Bahkan, cerita persahabatan antara beliau dan sahabat karibnya yang juga Timbalan Perdana Menteri ketika pemerintahannya, Allahyarham Tun Dr. Ismail memang jarang diceritakan oleh sesiapa pun.
“Namun, plot utamanya adalah untuk menceritakan tentang kepimpinan Tun Abdul Razak yang berdepan dengan peristiwa 13 Mei 1969 dan bagaimana beliau memulihkan keharmonian negara selepas insiden tersebut yang menyebabkan negara dalam keadaan darurat ketika itu,” cerita Shumi yang mula dikenali pencinta filem tempatan menerusi filem Selubung lakonan Deanna Yusoff dan M. Nasir.
Atas alasan itu jugalah, wanita kelahiran Negeri Sembilan ini memilih TANDA sebagai judulnya kerana ia akan menggambarkan pelbagai tanda yang akan dialami oleh Tun Abdul Razak sepanjang melayari kehidupannya sebagai seorang pemimpin dan individu.
Menyedari pasaran filem yang bercorak sedemikian agak sukar diterima di negara ini, Shumi akan cuba ‘melembutkan’ penceritaannya dengan memaparkan kisah dan semangat pelajar yang berlaku di universiti pada ketika itu.
Semuanya adalah demi untuk menarik perhatian generasi muda untuk menonton filem TANDA kelak kerana jelas Shumi, apa yang berlaku ketika ini sebenarnya pernah ditempuhi oleh generasi pada ketika pemerintahan Tun Abdul Razak.
“Bukan itu sahaja, saya mahu menghasilkan filem TANDA adalah untuk generasi muda hari ini melihat sendiri bagaimana pemimpin terdahulu berjuang untuk bangsa, agama dan negara sehingga kita mampu mencapai kemakmuran seperti hari ini,” kata Shumi yang pernah tiga kali dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia menerusi filem Layar Lara (1997), Pontianak Harum Sundal Malam 2 (2006) dan Waris Jari Hantu (2007) ini lagi.
Ketika ditanya tentang kos keseluruhan, Shumi tanpa selindung memberitahu TANDA akan menelan belanja sebanyak RM4 juta sekali gus menjadikan ia filem termahal yang pernah diterbitkan oleh Pesona Pictures.
Kata Shumi lagi, dia meneruskan hasrat untuk menerbitkan dan mengarahkan filem TANDA hanya selepas permohonan untuk mendapatkan geran daripada kerajaan menerusi Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) sebanyak RM2 juta.
Manakala selebihnya adalah pinjaman daripada Arab Malaysian Bank Berhad termasuk pembiyaan Pesona Pictures sendiri.
Jumlah itu juga merangkumi penyelidikan, rekaan set dan kostum serta penggunaan teknologi imej janaan komputer (CGI) khusus bagi babak-babak penting untuk filem ini kelak.
Untuk itu, kata Kavita, dia dan Shumi sendiri telah berjaya mendapatkan khidmat pakar CGI yang dari Bombay, India iaitu Madhu Sudhanan yang sebelum ini banyak terlibat dengan filem-filem hebat Hollywood seperti The Matrix, Gulliver's Travels dan filem terbaru Spider-Man iaitu The Amazing Spider-Man.
“Pakar CGI ini cukup tertarik dengan apa yang kami persembahkan kepadanya dan beliau akan menghasilkan kesan khas yang mampu memberikan dimensi baru kepada penghasilan filem tempatan.
“Semuanya adalah untuk menhidupkan babak-babak tertentu yang menjadi tunjang utama kepada penceritaan filem TANDA ini kelak,” jelas Kavita dalam nada teruja saat diminta mengulas tentang elemen CGI untuk filem TANDA.
Dalam masa yang sama juga, Shumi menjelaskan pihaknya masih lagi menjalankan penyelidikan untuk beberapa bahagian tertentu bagi memastikan semuanya berjalan lancar dan menepati segala apa yang telah dirancang.
Ini termasuklah lokasi, busana dan tata rias serta pemilihan pelakon yang tepat untuk beberapa watak penting dalam filem TANDA.
Disiplin dan komitmen
Untuk itu, kata Shumi, dia sudah menyenaraikan beberapa pelakon yang menjadi pilihan utamanya untuk membintangi filem itu nanti.
Jika mengikut perancangan Shumi, dua aktor hebat iaitu Rusdi Ramli dan Rosyam Nor merupakan pilihan utamanya untuk memegang watak Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Ismail.
“Rusdi memang berada dalam senarai teratas kami dan dia sendiri sudah menjalani uji bakat lengkap dengan busana dan tata rias bagi menjelmakan watak Tun Abdul Razak.
“Namun, Rosyam tidak dapat memenuhi permintaan saya untuk watak Tun Dr. Ismail kerana jadualnya yang cukup padat sehingga hujung tahun. Buat masa ini, saya sudah pun ada beberapa nama untuk menggantikan Rosyam dan pengumumannya akan dilakukan dalam sidang akhbar tidak lama lagi,” katanya lagi.
Selain watak Tun Dr. Ismail, Shumi juga kini sedang mencari pelakon yang sesuai untuk membawakan watak Zaman iaitu budak pejabat yang pernah berkhidmat dengan Tun Abdul Razak serta kakak kepada Zaman iaitu Zarah.
Katanya, berdasarkan daripada penyelidikan dan temu ramah yang dilakukan oleh pihaknya, Zaman mempunyai sudut pandang yang berbeza tentang majikannya dan plot itu jugalah yang akan menggerakkan jalan cerita TANDA kelak.
“Saya juga mahu pelakon yang berkebolehan bertutur bahasa Inggeris dengan baik termasuk watak doktor peribadi Tun Abdul Razak, Dr. McPherson.
“Jika tiada aral melintang, berkemungkinan besar saya akan ke London untuk bertemu dengan agen di sana bagi mencari pelakon yang sesuai seandainya tiada pelakon yang sesuai untuk membawakan watak berkenaan,” kata Shumi sambil memberitahu TANDA juga akan menjalani penggambaran di London selain Kuala Lumpur, Seremban, Melaka dan Perak.
Sengaja mengusik Shumi, apakah dia akan meneruskan formulanya untuk menggunakan khidmat pelakon yang sama seperti filem-filemnya terdahulu, Shumi menjelaskan dia tidak mampu mengelaknya.
“Dalam TANDA, ada beberapa pelakon yang sama akan membintanginya kerana mereka sudah berpengalaman dan tahu apa yang saya mahukan. Tetapi, itu tidak bermakna saya tidak memberi peluang kepada pelakon baru lain.
“Saya tidak pernah menyekat peluang malah, begitu teringin untuk bekerja dengan pelakon muda dan baru. Tetapi, mereka harus mempunyai disiplin dan komitmen yang tinggi untuk produksi saya.
“Seperti mana filem-filem sebelum ini, TANDA juga akan menjalani latihan intensif dan bengkel lakonan. Atas alasan itu, kami memerlukan pelakon yang serius bagi memastikan segala perancangan berjalan dengan lancar,” ujar Shumi yang akan menerbitkan dan mengarahkan drama epik bersiri, Panglima Agung sebanyak lapan episod tidak lama lagi.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: