Friday, May 27, 2011

Rizahiwi kenang jasa IKB


Rizahiwi Ab Razak dan isteri, Wan Zainab Wan Mohamed berkongsi kegembiraan selepas menerima Anugerah Tokoh Usahawan di Majlis Penganugerahan Sijil IKB. Ke-18.


SELEPAS kematian ayah yang tercinta ketika di tingkatan empat dengan adik-beradik yang agak ramai iaitu tujuh orang, Rizahiwi Ab Razak, 36, merasa sangat bertanggungjawab untuk membantu ibunya.

Ketika itu ibu yang menjadi tunggak untuk kelangsungan kehidupan mereka sekeluarga.

Beliau ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi dengan mengharapkan segulung ijazah dapat membantu dan membalas jasa si ibu. Namun soal pembiayaan pelajaran hampir-hampir menyebabkan Rizahiwi putus asa.

Mujurlah segala-galanya ditanggung beres apabila Rizahiwi berjaya dalam permohonan untuk belajar di Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) sesi 1997/1998.

Dia mengambil kursus Kejuruteraan Elektrik berdasarkan minat dan galakan dari banyak pihak terutama ibunya sendiri.

Setelah tamat menjalani kursus di IKB itu, Rizahiwi mula bertugas sebagai pendawai elektrik dengan sebuah syarikat selama dua tahun. Cukup dua tahun sudah membolehkan anak muda ini meningkatkan kerjaya sebagai sub-kontraktor elektrik dengan pengalaman selama tiga tahun.

Beliau kemudian menubuhkan syarikatnya sendiri, iaitu Pancaran Elektrik Enterprise pada Oktober 2003 dengan bermodalkan pembiayaan sebanyak RM20,000.

Syarikat hak milik beliau sepenuhnya itu kini umpamakan sedang berlari kencang apabila beroleh pelbagai perniagaan terutama di sekitar Perak Utara.

Ia melibatkan tugas-tugas pendawaian, membaik pulih kerosakan, membekalkan kelengkapan elektrik dan pendawaian telefon dengan mendapat projek-projek Jabatan Kerja Raya Eletrik Perak, TNB dan lain-lain agensi kerajaan dan swasta.

Beliau juga menjadi salah satu vendor kepada Telekom Malaysia Berhad dan Tenaga Nasional Berhad.

Sempena Majlis Penganugerahan Sijil Kali IKB Ke-18 yang berlangsung di Dewan Toh Puan Norasyikin, Kompleks Darul Puteri Pergerakan Puteri Islam, Kuala Lumpur, baru-baru ini, Rizahiwi dinobatkan sebagai menerima Anugerah Tokoh Usahawan (Kategori Lelaki) IKB 2011.

"Saya sama sekali tidak menyangka usaha dan kejayaan saya begitu dihargai oleh pihak IKB.

"Namun semua ini tidak akan menjadi satu kenangan yang paling indah dalam hidup saya, jika tidak kerana bantuan dan galakan dari IKB juga," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: