Friday, May 27, 2011

Ke manakah duit zakat dibelanja?


Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Dr. Muhammad Yamin Ismail diiringi Pengetua IKB Affendey Yaakub (kiri) memotong kek sempena sambutan 20 tahun Baitulmal di Kompleks Darul Puteri Jalan Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.


KITA tentunya tidak pernah menyangka bahawa duit kutipan wang zakat khususnya zakat fitrah mahupun zakat perniagaan, harta dan pendapatan mampu melahirkan usahawan-usahawan berjaya.

Sebabnya, kita sering disempitkan dengan tanggapan wang zakat digunakan semata-mata untuk menghapuskan kelaparan mereka yang miskin atau sedikit sebanyak membantu menghapuskan hutang.

Namun semasa liputan Hari Terbuka dan Penganugerahan Sijil Kali Ke-18, Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) Wilayah Persekutuan baru-baru ini, tanpa disangka ia turut mendedahkan kejayaan para alumni IKB yang mampu meletakkan diri mereka untuk bersaing hebat dalam dunia keusahawanan di negara ini.

IKB, institusi pendidikan milik Majlis Agama Wilayah Persekutuan (MAWP) bertanggungjawab dalam membelanjakan sebahagian daripada kutipan wang zakat untuk tujuan pendidikan dan seterusnya melahirkan usahawan berjaya..

Contohnya, tiga alumni IKB ini telah menempa nama dalam bidang kerjaya yang sangat mencabar iaitu rekaan fesyen, industri bakeri dan kejuruteraan elektrik. Modal asas kejayaan mereka adalah hasil wang zakat.

Salah seorang anak muda tersebut boleh menjadi pencetus inspirasi dan membangkitkan motivasi, khususnya kepada anak muda yang jarum kompas hidupnya masih tercari-cari arah mana hendak dituju.

Bukannya bermaksud supaya masing-masing menjadi seorang pereka fesyen sekali gus pengusaha sebuah butik seperti yang berjaya dilakukan oleh Azirun Ramly, 35, tetapi, cukup sekadar mengambil intipati dari liku-liku perjalanan kejayaan tuan punya butik Qaseh Aswana itu.

Mungkin namanya tidak sebaris dan sehebat ramai lagi pereka-pereka fesyen ternama negara pada hari ini. Tetapi padanya ada sebuah kisah perjuangan yang cukup murni.

Walaupun merupakan anak bongsu dari lapan adik beradik yang berasal dari Bandar Baru Sentul Kuala Lumpur, Azirun cukup matang pada fikiran dan tindakan bagi membantu keluarganya yang bukan dari kalangan orang senang.

Selepas puas dicampur, tolak, darab dan bahagi, dia melanjutkan pelajaran ke IKB (sesi 1995/1996) bagi mencari asas dalam usaha untuk menjadi seorang pereka fesyen.

"Saya bermula dengan suka melukis baju yang cantik-cantik. Tetapi hendak belajar melakar dan mereka fesyen serta menjahit tentu memerlukan pembiayaan yang agak tinggi. Saya tidak mampu ketika itu.

"Mujurlah di IKB, impian saya sedikit demi sedikit mula dapat direalisasikan. Saya dapat belajar yang ditanggung sepenuhnya oleh Baitulmal, Alhamdulillah..." katanya.

Begitu pun dia hanya dibenarkan untuk belajar menjahit baju lelaki sahaja, khusunya kemeja dan baju kurung Melayu.

"Jika diikutkan, saya sebenarnya tidak pernah sentuh jarum dan mesin jahit sebelum ini apatah lagi menjahit sendiri.

"Tetapi di IKB saya mahirkan diri menjahit walaupun sangat kekok bagi seorang lelaki untuk melakukan satu bidang yang lazimnya dilakukan oleh wanita.

"Tetapi saya kuatkan semangat untuk terus belajar tanpa menghiraukan apa jua pandangan orang. Saya juga tetap belajar secara curi-curi dengan pelatih wanita yang telah mahir bagaimana untuk menjahit pakaian wanita terutama dari aspek memotong kain dan sebagainya," katanya.

Setelah berjaya di IKB, pihak Baitulmal terus membantu lepasan pelatihnya dalam pelbagai bentuk. Ia termasuk bantuan mesin jahit dan lain-lain kelengkapan untuk menjahit bernilai hampir RM5,000 bagi Azirun meneruskan minat dan usaha dalam bidang yang telah dipelajari.

Dari situ dengan hanya menjadikan rumah sebagai premis, Azirun mula menerima tempahan demi tempahan menjahit pakaian sehingga membolehkan dia mengumpulkan modal untuk membuka butik sendiri.

"Hampir lima tahun lamanya selepas saya keluar dari IKB saya tidak menang tangan menerima tempahan pakaian dari pelanggan tanpa mengira umur dan jantina.

"Mungkin mereka sangat berpuas hati dengan mutu jahitan saya yang halus, kemas dan berkualiti walaupun ia merupakan kerja tangan seorang lelaki," katanya.

Pada tahun 2007, Azirun sedar akan keperluan untuk menyambung lagi pelajaran dalam rekaan fesyen bagi membolehkannya menguasai dari pelbagai aspek.

"Jangan ingat apabila sudah banyak menerima tempahan bermakna segala-galanya sudah cukup dan memadai. Sedangkan saya ghairah untuk mempelajari pelbagai aspek terutama untuk mereka fesyen pakaian khususnya golongan muslimah.

"Saya tidak mahu kaum Muslimah kita terperangkap dalam rekaan fesyen yang sebenarnya tidak ditujukan untuk mereka pun.

"Fesyen itu mungkin sesuai untuk warga Barat kerana direka khusus untuk mereka. Jadi mengapa kita mesti memerangkap diri dalam rekaan yang sebenarnya milik orang lain," katanya.

Lalu Azirun mendaftarkan diri untuk belajar di International Fesyen Training Centre (IFTC) di Bukit Bintang Kuala Lumpur yang sangat terkenal kerana berjaya melahirkan ramai pereka fesyen terkemuka seperti Datuk Bernard Chandran.

"Tidak dinafikan saya dikejutkan dengan pelbagai rekaan yang tumpuannya jika hendak bergaya dengan gah semestinya bercirikan avant garde atau haute couture. Tetapi saya sendiri hendak mempertahankan rekaan yang bercirikan Muslimah," katanya.

Tetapi adalah penting untuk Azirun belajar banyak perkara lain terutama kesesuaian jenis-jenis fabrik, rona atau warna, corak dan bentuk potongan pakaian yang sesuai untuk semua lapisan pelanggan.

Namun IFTC membuka minda Azirun untuk lebih berjaya dalam bidang rekaan dan kini lebih tahu caranya bagi memikat penggemar-penggemar fesyen Islam supaya mereka kekal berbusana Muslimah.

Lalu pada tahun 2009, Butik Qaseh Awana milik Azirun dibuka dengan bermodalkan lebihi RM50,000, hasil simpanan beliau selama ini.

Sudahlah berasaskan dari wang kutipan zakat yang membolehkan Azirun mula mengorak langkah, kini dengan modal sendiri dia menjadi usahawan gigih dalam usaha melebarkan dakwah melalui fesyen busana Muslim.

"Bersama dengan seorang rakan yang juga bekas pelatih IKB, Said Tajul Hakma Said Mustapa dengan dibantu tujuh pekerja, Butik Qaseh Aswana benar-benar menjadi satu lambang kejayaan dari agihan wang zakat.

"Itulah simbol di sebalik kejayaan butik ini kerana segala-galanya bermodalkan bantuan dari Baitulmal. Segala budi ini perlu saya balas dengan bertanggungjawab mereka fesyen yang sesuai untuk kalangan Muslim dan Muslimah kita," katanya.

Seperkara yang menarik, dalam usaha memperkenalkan rekaannya Azirun mengambil inspirasi dari baju puteri kesayangan Rasulullah, Fatimah Az Zahra.

"Sewaktu singgah di Turki dalam perjalanan saya menunaikan umrah di Tanah Suci Mekah dan Madinah, saya sempat mendapatkan ilham rekaan fesyen dari koleksi baju puteri Rasulullah yang dipamerkan di sebuah muzium di Istanbul.

"Saya amat-amati dan mendapatkan lakaran dan akhirnya alhamdulillah, satu rekaan dapat dihasilkan yang berasaskan dari baju milik Fatimah itu," katanya.

Ia mempunyai potongan seperti kurung Pahang atau Riau dengan bahagian depannya mirip baju Melayu.

Kolar Mandarin dengan potongan tangan yang agak besar dan begitu juga dengan pesak gantungnya. Terdapat tulang baju di bahagian bawah leher dan butang panjang yang menghiasi bahagian leher baju itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: