Sunday, May 15, 2011

Ratu Kebaya Pulau Pinang ‘meletup’!


Peserta-peserta Bengkel Sihat Cantik Pancaindera enggan lepaskan peluang bergambar bersama pengasas Jamu Mak Dara, Ibu Halimah serta juri jemputan, Nanu Baharuddin.


HOTEL Hard Rock yang di Batu Feringghi, Pulau Pinang riuh rendah apabila diserbu puluhan wanita baru-baru ini.

Anggun menggenakan persalinan kebaya, kelompok wanita seramai 43 orang itu hadir sebagai peserta Pertandingan Ratu Kebaya Pancaindera Mak Dara anjuran akhbar Mingguan Malaysia dan pengeluar produk Jamu Mak Dara.

Merupakan lokasi kedua selepas Shah Alam, Selangor, pertandingan yang mengutamakan pemakaian kebaya dalam misi pencarian ini menerima sambutan hangat daripada wanita-wanita di utara tanah air.

Ini sekali gus menggambarkan bahawa wanita-wanita Pulau Pinang ini memang cukup sporting.

Ada yang datang bersendirian, ada yang datang dengan keluarga dan ada juga datang sambil mengendong anak di tangan.

Lebih menarik, mereka juga kreatif dalam bab bergaya.

Bayangkan, ada yang tampil dengan cucuk sanggul di kepala, kebaya dipenuhi perincian manik dan menyelitkan bunga di telinga.

Malah, jangan tak tahu, mereka juga berani bergaya dengan kebaya berwarna garang seperti merah dan jingga.

Semuanya demi menyahut cabaran Pancaindera dan Jamu Mak Dara yang sememangnya teruja untuk mencari siapa peserta yang layak merangkul gelaran Ratu Kebaya di peringkat saringan kedua ini.

Untuk itu, terima kasih Pancaindera ucapkan kepada Forest Secret kerana telah bertungkus lumus mencantikkan para peserta menggunakan rangkaian kosmetik dan alat solek produk tajaan mereka. Lokasi kedua kali ini menyaksikan kehadiran pelakon terkenal tanah air, Nanu Baharuddin sebagai juri jemputan untuk pertandingan.

Selain wakil Mingguan Malaysia, pertandingan juga tak akan meriah tanpa kehadiran juri tetap iaitu ibu Halimah Shuib, pengasas dan juga orang kuat Jamu Mak Dara. Sebagaimana yang dimaklumkan, pertandingan terbahagi kepada dua kategori.

Untuk kategori A (59 kg ke bawah), seramai 28 peserta telah mengambil bahagian.

Bagaimanapun, tuah nampaknya menyebelahi Siti Norhasnida Masri, 25. Gelaran Juara membolehkan Siti Norhasnida membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM500, hamper tajaan Forest Secret bernilai RM500 termasuk cenderahati eksklusif Mingguan Malaysia.

Menariknya, kali ini, juri juga sebulat suara memilih pemenang tempat kedua, Nurul Surya Muhammad, 25, untuk menemani Siti Norhasnida mewakili Pulau Pinang ke pertandingan Ratu Kebaya peringkat akhir yang akan diadakan di Kuala Lumpur Disember ini.

Sementara itu, untuk kategori B (60kg ke atas), kemenangan berpihak kepada Norehan Shafiee, 48, yang dirasakan menepati cita rasa ketiga-tiga juri.

Norehan juga membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM500, hamper tajaan Forest Secret bernilai RM500 termasuk cenderahati eksklusif Mingguan Malaysia.

Sebagaimana yang disebut Ibu Halimah, keputusan sememangnya sukar dibuat memandangkan kesemua peserta cukup hebat dan pandai bergaya.

Namun, bukan soal cantik semata-mata yang dicari, tetapi kata ibu, pencarian lebih banyak difokuskan kepada peserta yang bijak membawa diri sebagai Ratu Kebaya.

“Cantik sahaja bukanlah satu tiket untuk peserta kita nobatkan sebagai pemenang pertandingan.

“Ini kerana, bagi ibu, cantik itu harus seiring dengan bagaimana dia membawa diri dia sebagai seorang ratu, cara dia bercakap, melontarkan pendapat dan sebagainya.

“Tetapi, setakat ini, ibu puas hati dengan pemilihan pemenang untuk kedua-dua kategori. Yang penting, jangan malu untuk menampilkan keyakinan diri. Itu ramuan utamanya,” katanya.

Peringkat akhir pertandingan Ratu Kebaya Pancaindera Mak Dara bakal menyaksikan peserta bertanding bagi merebut hadiah berupa wang tunai RM5,000, hamper serta pakej pelancongan ke Bali, Indonesia selama tiga hari dua malam, selain berpeluang menjadi model Jamu Mak Dara dan Forest’s Secret.

Dalam pada itu, sebelum berlangsungnya pertandingan Ratu Kebaya, ruang dewan Hotel Hard Rock itu juga telah dipenuhi hampir 80 peserta yang menyertai bengkel Cantik Sihat

Pancaindera.

Jelas tertera riak ceria di wajah peserta apabila mereka berpeluang berkongsi pelbagai tips-tips penjagaan awet muda daripada Ibu Halimah.

Bukan itu sahaja, Ibu Halimah juga turut memberi tunjuk ajar kepada peserta langkah-langkah senaman yang betul khas bagi mereka yang mahu mengekalkan bentuk tubuh badan.

Paling dinantikan, semestinya sesi berkongsi petua mengekalkan keharmonian rumahtangga.

Sesi bersama Forest Secret pula menyaksikan peserta berpeluang mempelajari teknik dan asas solekan yang betul untuk acara siang dan acara malam yang dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Forest Secret, Intan Hyriatee Mohd Zawai.

Selepas Pulau Pinang, bengkel dan pertandingan akan menyusul pula ke Pantai Timur. Lokasi ketiga akan diadakan di Hotel Primula Beach, Kuala Terengganu, Terengganu pada 21 Mei ini.

Jadi, wanita-wanita di pantai timur, bersiap sedialah! Jumpa anda di sana.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: