Sunday, May 15, 2011

Bukan pilihan kedua


Arja Lee berbangga terpilih membintangi muzikal Kenangan Mengusik Jiwa.


TIDAK kisah dilabel sebagai pilihan kedua, Arja Lee cukup gembira apabila terpilih membintangi teater muzikal Kenangan Mengusik Jiwa menggantikan Gambit Saifullah yang digugurkan oleh pihak produksi.

Tidak tahu di mana silapnya, pengguguran Gambit daripada membintangi teater berkenaan cukup mengejutkan ramai pihak memandangkan teater berkenaan tinggal dua minggu lagi sahaja untuk dipentaskan.

Tidak mahu turut campur tangan dalam hal tersebut, Arja tahu rezekinya dalam bidang ini cukup luas biarpun pada awalnya nama dia langsung tidak tersenarai untuk membintangi produksi yang akan dipentaskan di Istana Budaya bermula 27 Mei hingga 5 Jun akan datang.

“Saya tahu orang akan berkata saya pilihan kedua. Itu bukan soal utama kerana apa yang lebih penting saya bersyukur kerana berpeluang terlibat dalam teater yang berskala besar begini.

“Soal siapa ganti siapa tak perlu nak diungkitkan. Bila sudah ada peluang, saya kena buktikan yang saya juga mampu menjayakan Kenangan Mengusik Jiwa bersama dengan pelakon yang lain.

“Cabaran yang lagi besar sebab saya bukan pilihan pertama. Jadi saya melihat ini satu penghormatan kepada orang baru seperti saya untuk sama-sama menabur bakti dalam teater muzikal itu. Cuma saya berharap agar dapat memberikan yang terbaik memandangkan saya hanya ada masa dua minggu untuk berlatih,” luah lelaki yang berusia 28 tahun ini.

Lelaki yang pernah terlibat dalam kancah kontroversi filem ... Dalam Botol ini cukup yakin dapat memberikan yang terbaik memandangkan dia sebelum ini dia pernah terlibat dalam dua teater besar yang cukup mendapat sambutan hangat.

Teater Puteri Gunung Ledang dan Mahsuri yang cukup memberikan kesan mendalam ke dalam dirinya memandangkan dengan produk tersebut namanya mula dikenali oleh khalayak.

“Memang orang akan cakap berlakon teater itu sama sahaja. Tapi kena ingat apabila cabarannya cukup berbeza antara satu teater dengan teater yang lain.

“Seperti juga Kenangan Mengusik Jiwa ini. Ia mengenai era 60-an dan pastinya saya tidak wujud lagi dalam era itu. Jadi saya kena tahu apa latar masa tersebut dan mendengar semula lagu-lagu yang hits pada era tersebut.

“Ada sesetengah lagu yang saya langsung tidak pernah dengar. Jadi banyak perkara yang saya perlu ‘tangkap’ dengan cepat supaya tak tertinggal jauh. Dalam Kenangan Mengusik Jiwa, saya akan membawakan watak Munir sebagai lelaki yang sedikit nakal. Insyaallah saya akan memberikan yang terbaik untuk semua nanti,” luah Arja lagi.

Selain Arja, Kenangan Mengusik Jiwa juga dibarisi artis-artis popular tanah air seperti Dafi, Ana Rafali, Iqbal Mazlan, Siti Saida, Halil Chik, Radhi Khalid, Anne Ngasri, Azmi Melodi! dan ramai lagi.

Makanala penyanyi yang akan membuat penampilan istimewa termasuklah Ahmad Jais, A.Rahman Onn, L Ramlee, J Sham, A Halim, Hussein Ismail, A Rozaimie, Fatimah M Amin, kumpulan The Rhythm 60’s dan kumpulan The Wanderers.

Cerita mahasiswa Universiti Sains Malaysia ini lagi, dia cukup puas apabila terlibat dalam pementasan teater memandangkan persembahan tersebut dijayakan secara langsung berbanding dengan filem.

Namun, tidak bermakna dia mengetepikan terus filem sebagai pilihan kedua sebaliknya kedua-dua bidang tersebut mempunyai kelebihan tersendiri.

“Rasanya semua tahu yang berlakon teater memang memberikan kepuasan. Bila melihatkan reaksi peminat selepas persembahan, ia menghilangkan terus lelah sebetulnya.

“Macam filem pula, saya lebih selektif menerima tawaran. Saya belajar dan kekangan masa itu membuatkan saya terpaksa memilih yang terbaik. Namun tak dinafikan yang saya mengharapkan sesuatu yang ‘ajaib’ bila terlibat sama.

“Selepas kontroversi ... Dalam Botol, memang ada dua tawaran berlakon yang lebih kurang sama dengan filem tersebut. Saya terus tolak mentah-mentah!

“Cukup satu filem mengisahkan tentang dunia songsang yang saya lakonkan dan tidak akan jadi dua. Saya tak mahu orang label muka Arja Lee sebagai lelaki begitu dan sebagai orang baru saya mahu cari genre yang lain. Mungkin itu lebih baik dalam menentukan perjalanan seni saya nanti,” katanya.

Bagi peminat yang mahu menyaksikan KMJ, tiket-tiket boleh didapati bermula dengan harga RM60 hingga RM360. Anda juga boleh menghubungi 03-4026 558, 03-4147 8600 atau layar www.ticket2u.biz untuk maklumat lanjut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: