Wednesday, May 25, 2011

Pesta Wau sempena 30 tahun MSU, PTPL


Seorang pelajar cuba menaikkan wau pada Pesta Wau dan Layang-Layang di Pantai Irama, Bachok, Kota Bharu, baru-baru ini.


KOTA BHARU 24 Mei - Kolej PTPL Kota Bharu telah menganjurkan Pesta Wau dan Layang-Layang di Pantai Irama, Bachok di sini sebagai salah satu acara untuk memeriahkan sambutan Ulang Tahun Ke-30, Management and Science University (MSU) dan Kumpulan Kolej PTPL pada 7 Mei lalu.

Pengarah program, Siti Roshafizawati Harun berkata, pihaknya memilih untuk menganjurkan pesta wau itu kerana ia adalah warisan negara yang sangat sinonim dengan negeri Kelantan.

Menurutnya, melalui penganjuran itu pihaknya berharap dapat menarik minat golongan muda dan pelajar kolej agar tidak melupakan permainan tradisi masyarakat Kelantan.

"Mungkin ada generasi muda hari ini tidak mengetahui bagaimanakah wau dan layang-layang dimainkan. Melalui program ini, kita dapat memupuk kembali minat bermain wau dan layang-layang yang merupakan kesenian warisan masyarakat tempatan.

"Selain itu, apa yang menarik mengenai penganjuran ini, setiap kumpulan perlu membuat sendiri wau yang paling kreatif dan mereka telah membuat persediaan dua minggu sebelum acara sebenar bermula," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Tambahnya, program itu secara tidak langsung merapatkan hubungan sesama warga kolej yang mana proses membuat wau itu sendiri memerlukan kerjasama jitu seperti menebang buluh, meraut, membuat rangka dan menerbangkannya.

Siti Roshafizawati memberitahu, program sehari itu telah dirasmikan oleh Pengetua Kolej PTPL Kota Bharu, Ahmad Masri Mokhtar dan disertai 240 pelajar dan kakitangan Kolej PTPL Kota Bharu.

"Seramai 30 pasukan telah mengambil bahagian dan kesemua wau dinaikkan secara serentak di udara selama 30 minit sebagai simbolik 30 tahun sejarah penubuhan Kumpulan Kolej PTPL," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: