Wednesday, May 25, 2011

Songkran gamit pelancong Malaysia


Pasar terapung di Klong Hae, Hatyai yang sebahagian besar peniaganya adalah komuniti Islam.


JANGAN terperanjat kalau dikatakan semua bilik hotel di Hatyai, selatan Thailand pada pertengahan April lalu habis ditempah tiga bulan lebih awal. Ia gara-gara sambutan Pesta Songkran dan sambutan tahun baru 2554 mengikut kalendar Thai.

Saban tahun tanpa promosi hebat di media Malaysia, Hatyai berjaya menggamit berpuluh ribu pelancong Malaysia bagi meraikan perayaan itu.

Ia turut menjadikan pintu masuk di sempadan Bukit Kayu Hitam sesak dengan kenderaan atau bas yang disewa khas yang datang dari seluruh pelosok Malaysia.

Walaupun baru dilanda banjir besar yang menenggelamkan sebahagian besar bandar itu dan sekali sekala digegarkan dengan letupan bom ia tetap tidak menghalang para pelancong Malaysia untuk meraikan Pesta Songkran di Hatyai.

Lagi pula, ia menjadi tumpuan para pelancong terutama dari utara Semenanjung Malaysia kerana hotelnya murah.

Biarpun kadar hotel meningkat sekali ganda ketika pesta itu, namun secara perbandingannya ia masih murah.

Kalau bukan pada Pesta Songkran, bandar ini tetap menjadi tumpuan pelancong Malaysia bercuti dan membeli belah atau menikmati makanan laut yang enak dan murah di Ko Yo.

Ko Yo ialah pasar terapung di Klong Hae yang terkenal dengan juadah kuih-muih dan makanan lain yang dijual dari atas sampan oleh masyarakat Islam di Hatyai.

Bab mencari makanan halal pula bukanlah satu perkara yang sukar. Banyak restoran-restoran menyediakan makanan halal yang diusahakan oleh masyarakat Islam. Ia boleh didapati dengan mudah.

Malah kalau ke pasar terapung di Klong Hae kebanyakan peniaganya adalah komuniti Islam. Jadi untuk mendapatkan makanan halal bukanlah satu perkara yang perlu dirunsingkan. Lagi pula ramai di kalangan mereka fasih berbahasa Melayu.

Begitu juga kalau kita ke pusat-pusat membeli belah seperti di Big C banyak papan-papan tanda di tulis dalam bahasa Melayu menggunakan tulisan Jawi sementara di Lotus-Tesco, surau turut disediakan di satu bangunan khas di kawasan meletak kenderaan.

Ini menunjukkan mereka memberi perhatian di atas keperluan bukan sahaja bagi keperluan masyarakat Islam di Selatan Thailand tetapi juga untuk pelancong-pelancong beragama Islam terutama dari Malaysia.

Bagi mereka yang menggunakan kenderaan sendiri ke Hatyai akan merasa sedikit perit kerana harga petrol RON 95 di sini bagi setiap liter ialah RM3.90 berbanding di Malaysia cuma RM 1.90 sen.

Songkran merupakan hari perayaan menyambut Tahun Baru mengikut kalendar Thai bagi. Ia bagi menyuci diri daripada dosa yang kebiasaannya disambut selama tiga hari pada setiap tahun mulai 13 hingga 15 April. Ia juga sebagai tanda bermulanya penggal baru persekolahan di seluruh Thailand.

Pertama kali diadakan pada tahun 1888 di akhir musim kemarau dan kini dianggapkan sebagai hari perayaan nasional yang disambut oleh seluruh rakyat di negara gajah putih itu.

Negara Asia lain yang turut sama merayakan pesta ini ialah Myanmar, Laos dan China.

Pesta ini dirayakan dengan cara menyimbah air ke atas orang ramai yang lalu lalang sehingga basah.

Sementara orang yang kena simbah tidak boleh marah dan perlu bersedia diperlakukan sedemikian sepanjang hari hingga tengah malam.

Simbahan dilakukan dengan pelbagai cara sama ada menggunakan pistol air yang dilengkapi pam atau hanya menggunakan timba dan baldi.

Apa yang penting ia dapat menyimbah air kepada sesiapa saja yang melintas.

Lebih lucu, ada yang sanggup mengangkut air yang diisi ketulan ais batu menggunakan pick-up dan bergerak di jalan-jalan raya untuk mencari mangsa.

Tidak cukup dengan itu, ada juga menggunakan motosikal sambil membawa baldi berisi air untuk disimbah pada sesiapa sahaja.

Sudah tentu orang luar yang menyertai pesta itu akan menjadi sasaran mereka.

Selain air, bedak putih juga diguna untuk menyampu muka mereka yang lalu lalang sehingga menimbulkan suasana yang penuh kelucuan dan kegembiraan kepada mereka yang terlibat.

Malah pelancong-pelancong Malaysia yang berada di negara itu sepanjang sambutan Pesta Songkran turut mengambil bahagian untuk sama-sama merasai kemeriahannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: