Wednesday, May 25, 2011

110 sertai cabaran ekspedisi berbasikal


SEBAHAGIAN peserta menjalani latihan bagi persiapan menjayakan Ekspedisi Berbasikal 1Malaysia Pekan-Putrajaya di Kuantan, baru-baru ini.


KUANTAN 24 Mei - Seramai 110 peserta daripada Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Abdullah, Pekan gigih menjalani latihan bagi menyahut cabaran Ekspedisi Berbasikal 1Malaysia Pekan-Putrajaya yang bermula Ahad ini.

Pengarah Pusat Kokurikulum UMP, Ramle Abid berkata, peserta program selama empat hari itu akan memulakan kayuhan mereka dari UMP di Pekan dan dijangka menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya pada bulan depan.

Menurutnya, ekspedisi yang akan dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri, Ibrahim Awang Ismail itu akan berhenti di beberapa lokasi iaitu di SMK Mat Kilau, UMP Gambang dan akan bermalam di Kompleks Belia Maran.

''Pada hari kedua, peserta akan singgah di Sekolah Kebangsaan (SK) Gau, SK Rantau Panjang, SMK Karak Setia dan bermalam di Sekolah Menengah Vokasional (SMV) Tengku Ampuan Afzan.

''Seterusnya menuju ke SMK Bukit Tinggi, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak dan bermalam di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang sebelum ke destinasi akhir di Putrajaya," katanya.

Menurut Ramle, ekspedisi tersebut diadakan bertujuan mewujudkan kerjasama erat di antara UMP dan pihak sekolah selain merealisasikan konsep 1Malaysia dan memasyarakatkan kampus.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: