Saturday, May 28, 2011

Panorama dari kanopi


MENIKMATI panorama di laluan kanopi antara tarikan yang wajib dicuba.


BAGI mereka yang pernah berkunjung ke Pulau Pinang, keindahan di negeri yang terkenal dengan jolokan nama Pulau Mutiara itu begitu istimewa.

Sama ada berlibur di pantai, menghayati seni bina klasik, menyelami budaya dan warisan masyarakat atau sekadar menikmati hidangan Asia yang menyelerakan, kunjungan ke Pulau Pinang boleh diumpamakan pakej percutian lengkap.

Di sebalik status gah Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), negeri ketiga terkecil di Malaysia itu juga hebat memanggil pelancong melalui tarikan alam semula jadinya.

Siapa sangka, pulau itu juga memiliki sebuah rizab taman negara yang diiktiraf antara yang terkecil di dunia.

Mula diwartakan pada tahun 2003, Taman Negara Pulau Pinang (TNPP) yang terletak di daerah Barat Laut negeri itu merupakan taman negara yang terkecil di Semenanjung Malaysia.

Dengan keluasan 2,562 hektar merangkumi 1,181 hektar kawasan hutan dan 1,381 hektar perairan, TNPP menyimpan lebih 417 spesies flora serta 143 spesies fauna, tidak termasuk lebih 150 spesies unggas yang hidup liar di sekelilingnya.

Terdapat dua pintu masuk untuk sampai ke destinasi tersebut. Jika pengunjung memilih laluan darat, mereka berpeluang melawat rumah api di Muka Head di Teluk Duyung. Struktur setinggi 227 meter dari paras laut itu dibina pada tahun 1883.

Sebagai satu-satunya rumah api di dunia yang terletak dalam hutan di dalam kawasan bandar, ia turut mempunyai ‘kembarnya’ iaitu rumah api Kubu Cornwallis di George Town.

Pintu kedua terletak di Kuala Sungai Pinang di daerah Balik Pulau. Melalui pintu kedua, pengunjung tidak mempunyai pilihan melainkan dengan menaiki bot pelancong yang disediakan.

Sesuai dengan statusnya sebagai taman negara, TNPP menawarkan pelbagai tarikan kepada pelancong dan penyelidik.

Terdapat lima denai utama dengan keunikan tersendiri yang bakal menemukan pengunjung dengan pelbagai tarikan simbiosis hidupan rimba.

Fenomena aneh


MENGHIRUP udara segar laut berhampiran kawasan jeti nyata mendamaikan jiwa.


Anak sungai yang mengalir dari kawasan granit ke kawasan laut dan seterusnya mengalir ke Tasik Meromiktik di Pantai Kerachut. Di sini pengunjung bakal menyaksikan fenomena aneh yang berlaku akibat proses pasang surut air laut ketika peralihan musim Monsun Timur Laut dan angin Monsun Barat Daya.

Merasai sendiri air tasik yang mengandungi dua ‘lapisan’ air berbeza ketumpatan dan suhu menjadi satu pengalaman berharga. Di tasik itu, air sungai terkumpul di bahagian atas manakala air laut di lapisan bawah.

Mengunjur ke sebelah timur pula adalah kawasan hutan yang berfungsi sebagai kawasan tadahan air untuk Empangan Teluk Bahang.

Irama flora dan fauna mengalu-alukan kedatangan pengunjung di sepanjang denai-denai. Rasa teruja itu ditambah pula dengan kesuburan landskap hutan pantai dipterokarp, tumbuhan komersial dan pokok-pokok herba. Terdapat juga pakis, palma, periuk kera, tumbuhan meromiktik, tumbuhan menjalar, kulat dan kawasan paya bakau.

Di samping itu, pengunjung berpeluang memerhati dan mengambil gambar burung dan hidupan liar lain di dalam habitatnya. Jika bernasib baik, pengunjung mungkin dapat melihat beberapa spesies penyu yang mendarat dan bertelur di sekitar Pantai Kerachut dan Pantai Teluk Kampi.

Aktiviti lasak

Bagi yang menggemari aktiviti lasak dan mencabar, jangan lupa mencuba aktiviti meredah hutan mengikut pakej yang ditawarkan.

Di samping itu, pengunjung juga boleh mencuba Laluan Kanopi yang terdapat di sini. Menikmati panorama dari atas pokok pada ketinggian 250 meter pastinya mengujakan sesiapa sahaja.

Mata pasti terpesona melihat keindahan dan Teluk Duyung yang juga popular dengan nama Pantai Monyet selain menikmati keindahan hutan Teluk Ketapang dan keunikan Pantai Kerachut.

Namun, harap maaf, kemudahan penginapan tidak disediakan bagi mereka yang mahu menginap di sini. Hanya peserta yang menyertai program pendidikan alam sekitar dan pemuliharaan sahaja dibenarkan berkhemah.

Pengunjung masih boleh menginap di hotel-hotel berdekatan yang lebih selesa seperti di di George Town, Batu Feringghi dan Teluk Bahang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: