Saturday, May 28, 2011

Iluminasi warna Citrawarna 2011




CIRI autentik dan seri pelbagai warna sekali lagi menemui pengunjung yang membanjiri Dataran Merdeka. Buat kali ke-12, penganjuran festival tahunan sejak tahun 1999 itu sering dinanti-nanti warga tempatan dan pelancong asing lantaran ia sangat signifikan dalam takwim pelancongan negara ini.

Menawan pancaindera warga metropolis Kuala Lumpur dan pelosok tanah air dengan paparan simbolik tujuh warna dalam rupa bentuk seakan-akan burung merak, perarakan Citrawarna tahun ini menyaksikan sedikit transformasi.

Sebagai kelainan kepada khalayaknya, penganjuran kali ini lebih mempromosikan produk-produk pelancongan berbanding seni dan budaya tempatan.

Namun, acara ini sememangnya tidak boleh dipisahkan dengan pesona gerak tari, lantunan muzik dan kostum yang bermacam ragam, tema serta warna.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Industri, Kementerian Pelancongan Malaysia yang juga merangkap Pengarah Projek Citrawarna 2011, Hussain Moh berkata, konsep tarian masih digunakan untuk menonjolkan aspek pelancongan.

“Kita tidak khususkan kebudayaan dalam persembahan Citrawarna, sebaliknya hanya mengambil beberapa tarian utama daripada komuniti di Malaysia untuk dipersembahkan,” jelasnya yang tidak memfokuskan tarian etnik setiap negeri sepertimana siri terdahulu.

Sama seperti poster promosi Citrawarna atau Colours of 1Malaysia yang menggunakan lambang burung merak dalam adunan pelbagai warna, begitu juga persembahan yang ditampilkan pada 21 Mei lalu. Ia merangkumi enam segmen utama yang menyajikan persembahan tarian budaya kaum-kaum utama Malaysia.

Tema 1Malaysia Tourism Festival dipilih tahun ini untuk memberi gambaran lebih jelas tentang keunikan masyarakat Malaysia dalam konteks pelancongan domestik.

Dimulakan dengan persembahan pembukaan yang menonjolkan paluan rebana ubi dan gendang, irama 1Malaysia ditampilkan dalam versi lebih segar hasil cetusan idea komposer irama tradisional terkenal, Datuk Suhaimi Mohd. Zain.

Variasi segmen pelancongan


PERARAKAN tahunan pelbagai komuniti Malaysia ini menjadi signatur dalam usaha mempromosi produk pelancongan domestik.


Dalam perarakan mempromosi destinasi taman bunga dan taman rekreasi termasuk taman rama-rama dan taman burung, persembahan berjudul Parks & Garden mengambil tempat.

Dibarisi kumpulan peserta dari Sekolah Menengah Cochrane, Sekolah Menengah Perempuan Pudu dan penari cilik Swatari, nyata persembahan lincah penuh simbolik dengan keindahan flora dan fauna Malaysia itu mencuri perhatian.

Turut dipertontonkan sebagai persembahan selingan adalah masyarakat Orang Asli melalui segmen Orang Kita. Kumpulan penari itu bergerak senada dalam rentak dan gerakan Sewang.

Selain meriah dengan vokal yang bertaut dengan irama mistikal, kostum bertema belantara dan penggunaan buluh sebagai elemen asas, perarakan itu memperkenalkan penonton kepada ukiran topeng Mah Meri yang digunakan dalam beberapa acara ritual.

Segmen pelancongan sukan pula menyaksikan perarakan kumpulan peserta bersama go-kart, motosikal mini, basikal, perahu layar dan golf. Kemeriahan tersebut nyata mengujakan lebih 100,000 pengunjung yang hadir memeriahkan Dataran Merdeka.

Segmen itu dipersembahkan dengan penuh kreatif oleh Comma Motorsport, Jurai Diner Resources, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Samad dan SMK Taman Medan.

Menghiasi perarakan, persembahan tarian singa, tarian naga dan wusyu oleh 200 peserta daripada Xuan Wu Dragon & Lion Dance, Persatuan Wushu Chin Woo dan SMK Seksyen 4 Bandar Kinrara.

Persembahan yang mewakili masyarakat Cina di Malaysia itu turut mempromosi acara Festival Tanglung yang bakal berlangsung pada bulan September nanti.

Kemeriahan bidang seni kontemporari tempatan turut diangkat dalam segmen persembahan utama Citrawarna kali ini.

Persembahan yang menekankan seni lukisan dan ukiran tersebut disertai para pelajar dari SMK Seri Bintang Selatan dan SMK Seri Mulia.

Selitan budaya


WARNA-WARNA terang menjadi konsep asas kostum dan prop perarakan.


Kaum utama di Malaysia antara lainnya diwarnai masyarakat India. Selain kaya dengan nilai seni penuh abstrak, keindahan warna dalam ciri pemakaian kaum itu menggamit lebih banyak perhatian mata.

Lenggok para penari di samping perarakan bunga-bunga teratai gergasi yang mencerminkan lima aspek utama kehidupan iaitu air, tanah, api, udara dan langit menghangatkan suasana.

Jelas sekali aura peserta daripada Kumpulan Kesenian Asthana dan Akademi Kesenian Sebastian itu mencuri tumpuan umum.

Dingin malam dihangatkan dengan persembahan tarian kreatif yang menonjolkan karnival beli-belah, makanan dan buah-buahan tempatan oleh pelajar SMK Taman Selayang dan SMK Sri Selayang.

Sementara itu, komuniti Siam yang mendiami sesetengah lokasi di Kelantan, Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor turut diketengahkan melalui persembahan daripada Persatuan Siam Malaysia dan SMK Raja Ali. Persembahan Ram Vong yang ringkas namun mengasyikkan daripada mereka sememangnya berhak mendapat pujian.

Kekayaan flora dan fauna serta konsep ekopelancongan pula ditampilkan dalam gerak tari etnik dari Sabah dan Sarawak. Ia dijayakan oleh 200 orang penari daripada Istana Budaya, SMK Padang Tembak dan SMK Seri Ampang.

Tidak lengkap kiranya persembahan budaya Melayu tidak dihidangkan sebagai santapan mata dan halwa telinga.

Tarian Samrah pula yang dipersembahkan ibarat strategi serampang dua mata iaitu salah satunya adalah untuk mencuri minat pelancong negara Timur Tengah.

Sempena mesej kesedaran kebersihan alam sekitar yang ingin disampaikan kepada khalayak, persembahan khas 1Malaysia Bersih, 1Malaysia Indah turut diselitkan.

Malam penuh warna-warni itu menutup tirai dengan acara persembahan Zapin Mega yang berjaya menghimpunkan semua penari berjumlah lebih 5,000 peserta.

Pengalaman berharga


YEN YEN (kiri) tidak melepaskan peluang turun padang untuk merasai bahang prestij Citrawarna 2011.


Mengulas tentang cabaran menjayakan acara gilang-gemilang itu, Pengarah Tari Citrawarna, Mohd Zulfarqar Awaluddin memberitahu, beliau menghadapi kesukaran untuk menterjemahkan konsep permainan visual ketika semua penari dikumpulkan.

“Walaupun seramai 13 orang koreografer dibekalkan kepada semua sekolah yang mengambil bahagian, ia bukan tugas mudah.

“Jika di sekolah, mereka berlatih menggunakan prop palsu tetapi apabila latihan dan raptai bermula, ada antara gerakan perlu diubah untuk diselarikan dengan kehendak pertunjukan,” ujarnya yang turut berdepan dengan faktor cuaca.

Menurut seorang penari, Alasyakila Sekding, 37, penglibatannya dalam Citrawarna sejak tahun 2003 memberi pelbagai pengalaman manis sepanjang berkecimpung dalam bidang tarian selama lebih 17 tahun.

“Di sinilah tempat pertemuan semua penggiat seni dan penari tanah air, saya andaikan Citrawarna adalah Hari Penari Malaysia,” katanya penuh teruja.

Di samping itu, pemenang program realiti Mari Menari tahun lalu, Raziff Abdul Rahman, 27, mengakui dapat merasai transformasi Citrawarna saban tahun.

“Pertama kali saya menari Citrawarna pada tahun 1999 dan setiap tahun pasti akan ada perubahan, saya akui pada awal-awal dulu amat sukar untuk menjadi sebahagian daripada kumpulan ini tapi kini tiada halangan untuk bergiat aktif,” bicaranya berkobar-kobar.

Bagi penari cilik, Wan Laili Fatin Mohd. Talib, 11, Citrawarna membuka lembaran baru dalam hidupnya untuk bergiat lebih proaktif dalam bidang seni.

“Saya gembira apabila dapat menari bersama kawan-kawan lain di sini dan saya harap akan dapat terus terlibat pada masa akan datang,” nyatanya yang mula menari berlandaskan minat sejak berusia 7 tahun.

1 comment:

  1. macam mana nak masuk citrawarna untuk tarian ? dan untuk 2012 ni citrawarna ada ?

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: