Saturday, May 28, 2011

Bisikan alam Sumatera Utara


SALAH sebuah kediaman orang Batak di Pulau Samosir yang masih tersergam megah.


LIMA hari menjelajah kota Medan, Indonesia bagai tidak terasa. Waktu yang dihabiskan di wilayah pelancongan Negara Garuda itu begitu pantas berlalu ibarat bayu yang menerpa ke pipi.

Keterujaan saya untuk menjejakkan kaki ke sana disimpan erat sejak usia belasan tahun dan kali ini hajat saya terkabul apabila berpeluang mengikuti rombongan kelolaan universiti tempat saya belajar.

Lembut saja sapaan mentari senja menyambut kedatangan kami di Lapangan Terbang Polonia, Medan.

Mata melilau mencari Pak Husnan, individu yang sepatutnya menyambut ketibaan kami di sana. Wakil Universitas Sumatera Utara (USU) itu rupa-rupanya sudah sedia menanti kami sepanjang sesi rombongan itu.

Hadiah pertama kami - penangan Ayam Penyet Surabaya! Memang tidak terduga bahang cili yang membakar esofagus kami.

Bagi tekak orang Asia yang jarang merasai nikmat masakan ‘berapi’, inilah peluang terbaik. Malam menjelang dan lokasi penginapan sulung kami di Hotel Saudagar Syariah di Ring Road Setia Budi.

Diari hari kedua di Medan membuka lembaran dengan perjalanan lebih 30 kilometer ke Danau Toba. Dibakar hangat mentari yang menjulang di atas garisan khatulistiwa sama seperti Malaysia, kenderaan yang membawa kami pula ditakdirkan rosak di pertengahan jalan.

Namun, pengalaman lebih unik saya tempuh apabila sempat merasai sensasi hirupan kopi asli dari biji kopi buatan tempatan. Segar dan menyamankan, itu yang mampu diucapkan.

Perjalanan diteruskan ke Parapat, Danau Toba dengan menaiki bas. Tempoh empat jam meredah jalan berlompang dalam laluan sejauh 150 kilometer untuk ke lokasi tersebut bagai menguji kelasakan dan kesabaran peserta rombongan.

Kami disajikan dengan pemandangan menghijau Danau Toba yang pernah menjadi lokasi penggambaran filem My Heart lakonan selebriti pujaan saya, Irwansyah dan Acha Septriasa.

Seperkara yang merawat jiwa saya yang sering bergelumang dengan kekalutan di Pulau Pinang sebagai seorang mahasiswa adalah suhu dingin sekeliling tasik yang semakin nyaman.

Pantulan rembulan kala lewat malam di muka tasik seolah-olah menyemat aura untuk saya terus bermalasan di sana. Inilah keajaiban alam ciptaan Ilahi. Penuh mempesonakan dan indah sempurna.

Sesungguhnya, suasana malam di pekan Parapat jauh bezanya ketika siang hari. Sunyi dan jarang sekali dapat dilihat kelibat penduduk di sana mundar-mandir.

Hotel Cenderawasih menjadi persinggahan malam kedua kami di negara bekas jajahan Belanda ini sebelum berangkat ke Pulau Samosir keesokan harinya.

Pulau di tengah tasik


BERLEPAS dengan feri untuk ke Pulau Samosir di tengah Danau Toba.


Pukul 9 pagi di Parapat sudah bertukar wajah, rata-rata penduduknya berniaga dan berjual-beli sana-sini. Namun, Parapat terpaksa kami lepaskan untuk ke destinasi seterusnya.

Perjalanan dengan feri ke Pulau Samosir di tengah-tengah Danau Toba mengambil masa selama 45 minit.

Pemandangan di sekitar Danau Toba amat menakjubkan. Gunung-ganang tersergam indah dilitupi awan-gemawan dan tiupan anginnya pula masih dingin dan sangat menenangkan.

Kejernihan air tasik tidak tergambar dek kata-kata. Kadangkala dari kejauhan dapat dilihat penghuni dasar tasik bermain-main di gigi air.

Ketibaan kami di Pangkalan Tomok, Pulau Samosir disambut mesra oleh keramahan penduduk. Walau tidak semua percakapan mereka dapat saya fahami, memang diakui mereka menerima kehadiran pelawat dengan hati terbuka dengan hanya kuntuman senyum di bibir.

Pulau yang terkenal dengan sejarah dan peninggalan orang Batak ini kaya dengan nostalgia dan khazanah tersendiri.

Pelbagai arca dan ukiran masih utuh bersemadi di bumi itu. Saya juga menemui patung-patung yang dijual di sepanjang pinggir jalan mirip arca peninggalan silam.

Tidak hairanlah jika muzium Batak dibina di sini sedia dijadikan tempat rujukan setiap tetamu yang bertandang.

Melepaskan lelah seketika, kami sempat merasa hidangan tempatan yang tersohor dengan jolokan Somay dan Mie Sop.

Menjengah petang sekepas kembali ke Parapat, perjalanan kami diteruskan ke Berastagi. Kami menyusuri semula laluan di lereng tasik yang dahulunya merupakan kawah gunung berapi itu.

Bercakap mengenai gunung berapi, isi ceritanya pasti tidak lari daripada khasiat tanah lahar yang subur dan sesuai dengan sebarang aktiviti pertanian.

Penduduk di sekitar kawasan tasik ini mengusahakan pelbagai bentuk pertanian antaranya sayur-sayuran, kopi, jagung dan banyak lagi jenis tanaman iklim sederhana.

Sipiso-piso

Persinggahan kami seterusnya di lokasi air terjun keempat tertinggi di Indonesia iaitu Air Terjun Sipiso-Piso.

Bohong jika saya katakan tidak terpegun dengan keindahan pancuran air terjun setinggi 110 meter itu. Pastinya, kenangan perlu diabadikan melalui bidikan lensa kamera.

Perjalanan ke Berastagi mengambil masa selama lebih sejam dan setibanya di sana, suhu alam juga semakin menurun selari dengan perjalanan masa yang juga menjengah senja.

Uniknya lokasi ini adalah kemeriahan tanaman lobak merah di merata-rata tempat. Turut kelihatan adalah tanaman buah-buahan tempatan lain seperti buah markisa, kuini, salak dan terung belanda yang juga dikenali sebagai buah cinta.


DENGAN latar Air Terjun Sipiso-piso, peserta rombongan tidak melepaskan peluang mengabadikan kenangan lawatan ke Sumatera Utara.


Sisa malam di Berastagi dihabiskan dalam kedinginan suhu rendah. Sekali lagi saya ibarat terpaku, terpana dan takjub dengan kesempurnaan alam semula jadi.

Hari keempat melewati catatan perjalanan kami. Sekembalinya ke ibu kota Medan di tanah Indonesia, rancangan siri lawatan lebih bersifat persahabatan.

Ibarat orang berbudi kita berbahasa, tugas kami pula mengunjungi tempat Pak Hasnan mencurahkan khidmatnya.

Kunjungan ke USU dan Universitas Dharma Agung (UDA) disambut baik penghuninya. Selain itu, kami juga sempat meluangkan sedikit masa untuk ke pejabat Jurnal Medan iaitu sebuah akhbar arus perdana di Indonesia yang terletak di kompleks beli-belah The Crown untuk sedikit sesi bertukar pandangan bersama ketua redaksinya, Pak Waristo.

Kek lapis popular

Tidak lengkap percutian kami di Medan sekiranya tidak meluangkan masa melawat kilang pembuatan bika ambon (kuih bingka) dan kek lapis terkemuka Indonesia, Bika Ambon Zulaikhadi di Jalan Mojopahit.

Tidak lengkap kunjungan ke Medan jika tidak menjadikan bika ambon, kek lapis, jus buah, kerepek dan asam sebagai buah tangan kepada keluarga dan rakan-raman di Malaysia.

Malam terakhir kami pula diisi dengan kunjungan ke Merdeka Walk dan Sun Plaza yang menghidangkan lebih banyak senario hiruk-pikuk warga kota Medan.

Sisa pagi hari terakhir diluangkan di Pajak Ikan Lama. Pajak yang bermaksud pasar pastinya tidak lari daripada jualan pelbagai barangan tekstil antaranya tudung, telekung dan kain sarung termasuk barangan cenderamata untuk dibawa pulang tanda kenang-kenangan.

Misi mendapatkan pakaian dengan harga berpatutan sudah saya nantikan sejak hari pertama menjejakkan kaki di Medan kerana sebelum ini, saya sering dimomokkan dengan kehebatan Medan sebagai syurga barangan tekstil.

Senja menjemput kami pada hari pertama dan begitu jua detik-detik terakhir kami di ibu kota Medan. Walau hati masih berat untuk melepaskan rindu bisikan alam yang memukau ritma hati, perjalanan lima hari ini akhirnya terpaksa diakhiri dengan juraian air mata.

Benarlah kata orang, kalau sayang lepaskan kalau rindu tinggalkan. Semoga bertemu lagi wahai damai alam Sumatera Utara!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: