Wednesday, May 25, 2011

Muniff Isa tidak kejar populariti



Nama Muniff Isa mungkin tidak sepopular aktor seperti Kamal Adli, Shahz Jaszle, Shafie Naswip mahupun Zahiril Adzim.

Ironinya jejaka berusia 29 tahun ini sudah enam tahun berkecimpung di dalam dunia lakonan, baik dari drama mahupun filem.

“Saya tidak salahkan keadaan sekeliling kerana kurangnya populariti. Ia sedikit sebanyak memberi saya peluang untuk timba lebih banyak lagi pengalaman dalam bidang ini sebelum saya benar-benar dikenali.

“Lagipun saya tidak kejarkan populariti. Apa yang penting saya benar-benar serius dalam bidang lakonan dan mahu orang nampak bakat lakonan saya,” katanya kepada Zass.

Mendapat peluang untuk mempamerkan bakatnya dalam filem Nur Kasih The Movie (NKTM) merupakan satu peluang keemasan yang sangat berharga buatnya.

Malah Muniff berharap NKTM akan membawa rezeki yang lebih baik kepadanya.

“Menjadi salah seorang pelakon dan berganding dengan nama-nama besar seperti Remy Ishak, Fizz Fairuz dan Tizz Zaqyah memang menjadi satu pengalaman yang manis buat saya.

“Malah, saya teruja kerana dapat bekerja dalam sebuah naskhah yang bagus dan dramanya pernah mencetus fenomena.

“Kebanyakan peminat NKTM memberi respons yang positif terhadap watak yang saya bawakan di dalam filem itu,” katanya yang pernah menjadi teraju utama filem Di larang Masuk.

Tambah anak kelahiran Kangar, Perlis yang bakatnya mula mencipta nama menerusi drama Suatu Ketika...Tangkai Besi di Astro Citra ini, dia menantikan tawaran watak seperti Sindrom Down dan watak-watak yang lebih mencabar serta matang.



Pernah ditipu

Bertapak di dalam industri sebagai pelakon tambahan meninggalkan kenangan pahit dan manis yang digunakan sebagai pengalaman untuk masa depan.

Jelas Muniff, pernah satu ketika dahulu dia dijanjikan bayaran RM200 sebagai pelakon tambahan.

“Tetapi apabila sudah selesai penggambaran saya hanya dibayar RM15 sahaja. Namun perkara itu tidak pernah buat saya putus asa untuk terus berada dalam landasan seni ini.

“Saya anggap kejadian tersebut sebagai pengalaman dan pendorong karier seni saya untuk terus berkembang,” katanya yang menjadikan Johny Depp dan Rosyam Nor sebagai idolanya.



Fasih berbahasa Cina

Siapa sangka kefasihannya berbahasa Cina, memberi kelebihan buat Muniff yang mula mendapat pendedahan tentang bahasa itu seawal usia lima tahun.

“Ibu bapa hantar saya ke tadika Cina dan seterusnya mendapat pendidikan di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina,” jelasnya yang mahir dialek Kantonis dan Mandarin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: