Wednesday, May 25, 2011

Pusat Kebudayaan UKM



Bermula dengan penubuhan sebuah kumpulan yang terdiri daripada tiga penari pada 1971, Unit Kebudayaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus berkembang.

Dari segi bilangan kakitangan, pertambahan kelas kokurikulum kesenian sehinggalah kepada kepelbagaian bidang yang diceburi.

Pada 2000, peranan unit ini yang menjadi tunjang kepada program lKokurikulum Kesenian di UKM membolehkannya dinaiktarafkan kepada Pusat Kebudayaan.

Kini, Pusat Kebudayaan UKM menjadi sebuah pusat perkembangan dan kemajuan kebudayaan dan kesenian untuk penuntut dan kakitangan universiti tersebut.

Kakitangan Pusat Kebudayaan telah mencecah 62 orang dengan penubuhan Kumpulan Orkestra UKM dan penambahan di bahagian pentadbiran bagi mengukuhkan lagi organisasi dalam menyediakan perkhidmatan yang lebih efisien dan efektif.

Pusat Kebudayaan bertanggungjawab mengendali dan merancang kegiatan kesenian pelajar dan warga kampus amnya.

Pusat ini juga berperanan untuk mengembang dan mewujudkan satu kebudayaan yang berasaskan kepada Dasar Kebudayaan rakyat rantau ini di samping menerapkan unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar.

Pusat Kebudayaan mempunyai kakitangan yang berpengalaman dalam bidang masing-masing, baik dari segi pengurusan persembahan, tarian, teater, muzik mahupun pameran. Perkhidmatan ini lebih terbuka kepada pelajar-pelajar UKM khususnya.

Urus setia Artisukma merupakan badan kesenian universiti yang menggabungkan semua kelab kesenian di bawah naungan Pusat Kebudayaan, Jabatan Perkhidmatan Pelajar dan Pusat Perkembangan Pelajar bagi merancang dan melaksanakan aktiviti kebudayaan dan kesenian sepanjang tahun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: