Sunday, May 1, 2011

Mewah, canggih tapi mesra alam


Eco Slim sedia untuk belayar.


KATAMARAN atau perahu layar sememangnya popular di kalangan pelayar kerana kemampuannya untuk belayar menggunakan bantuan angin yang sudah tentu memberikan kenikmatan dan cabaran dalam pelayaran.

Bagaimanapun, kebanyakan bot atau katamaran masih memerlukan bantuan enjin diesel yang diperlukan apabila berada di kawasan tidak berangin atau apabila mendekati pelabuhan.

Katamaran bermaksud 'bot dengan dua badan' kebiasaannya digunakan untuk tujuan rekreasi atau sukan lumba kapal layar yang semakin popular pada masa kini.

Memandangkan bot ini masih menggunakan enjin diesel, maka ia tidak sepenuhnya mesra alam dan kini usaha membangunkan katamaran yang bergantung sepenuhnya kepada tenaga alam.

Terkini, sebuah katamaran ekologi terbesar di Eropah yang menggunakan kuasa elektrik

yang dijana melalui panel solar, turbin angin, bateri dan generator haba diesel-elektrik telah dibangunkan oleh sebuah syarikat pembina bot, Drassanes Dalmu.

Kapal Eco Slim yang mempunyai kapasiti 150 tempat duduk, 24 meter panjang dan 10 meter lebar itu dibangunkan untuk kegunaan pelancongan dan boleh melunjur di lautan sehingga lapan knot sejam.

Reka bentuk hidrodinamik dan berat yang 50 peratus lebih ringan daripada model konvensional menyebabkan ia menggunakan tenaga yang kurang ketika belayar.

Sekumpulan jurutera dari School of Industrial Engineering dan School of Nautical Studies di Universitat Politècnica de Catalunya (UPC-Barcelona Tech) telah membantu dalam merekabentuk katamaran itu.

Sistem kapal itu menggunakan dua motor elektrik yang dihubungkan kepada pelbagai sumber tenaga, termasuk generator diesel dan 90 buah bateri.

Bateri itu akan dicaj menggunakan generator atau dua turbin angin dan juga 40 panel solar yang terdapat pada dek kapal.

Jika mendapat caj sepenuhnya, Eco Slim boleh belayar selama empat jam secara berterusan dengan kelajuan purata antara enam dan tujuh knot. Bateri dan motor kemudiannya boleh dicaj semula dalam masa sejam setengah.

Bot ini telah siap dibina dan dilancarkan dengan rasminya pada 31 Mac lepas di sebuah limbungan kapal di Barcelona.

Boleh lipat

Sementara itu, sebuah lagi katamaran mesra alam yang juga boleh dilipat telah direka. Bot dikenali sebagai Foscat-32 itu menggunakan kuasa solar untuk membekalkan kuasa kepada bateri dan seterusnya menggerakkan enjin.

Reka bentuk bot yang menggunakan kuasa solar dan angin itu telah memenangi anugerah untuk kategori Reka Bentuk Pengangkutan dan Kenderaan Anugerah A'.

Reka bentuk uniknya yang mementingkan prestasi dan ketahanan membolehkan ia belayar dengan laju dalam pelbagai jenis cuaca.

Memandangkan ia boleh dilipat, Foscat-32 ini mudah dibawa dengan kenderaan dan juga sesuai digunakan di tepi pantai, sama ada yang berangin atau tidak.

Kapal ini juga mempunyai motor berkuasa elektrik yang tenaganya boleh diperoleh dari panel solar yang terdapat pada layarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: