|
|
REPUBLIK Seychelles yang terletak di Lautan Hindi berhampiran Madagaskar, Pulau Mauritius, Somalia, Maldives dan negara-negara lain di Afrika menjadi akrab dengan sejarah orang Melayu khususnya di Perak. Ini kerana kepulauan itu menjadi tempat penjajah Inggeris membuang Sultan Abdullah (Perak), Tengku Menteri Ngah Ibrahim, Laksamana Muhammad Amin, Syahbandar Uda Maamor serta 47 pembesar Perak lain pada tahun 1877.
Semua pembesar Perak itu dituduh terlibat dalam pembunuhan J.W.W Birch iaitu Residen Pertama Inggeris di Pasir Salak, Perak pada tahun 1875.
Mengikut sejarah, mereka dibuang dan diasingkan dengan menggunakan kapal Carherstone dari pelabuhan Singapura dengan mengambil masa lebih sebulan untuk tiba ke Pulau Seychelles.
Pembuangan itu dilakukan kerana pihak penjajah Inggeris bimbang, takut dan gerun dengan cara berfikir Ngah Ibrahim yang jauh ke depan dalam pelbagai aspek berbanding pembesar Perak yang lain. Walaupun dibuang di pulau itu, hampir setiap tahun beliau mengutus surat kepada pemerintah lnggeris (Queen Victoria).
Ngah Ibrahim telah meninggal dunia di Singapura pada 4 Februari 1895. Jenazahnya selamat dipindahkan Singapura ke Muzium Matang, Taiping, Perak pada 9 September 2006.
Selepas tempoh buangan, Sultan Abdullah dan keluarganya dibenarkan pulang ke Perak dan meninggal dunia di Perak pada tahun 1922. Jenazahnya disemadikan di makam diraja Bukit Chandan, Kuala Kangsar.
Republik Seychelles pernah dijajah oleh Portugis, Perancis dan Inggeris dan kesan penjajahan itu ketara pada penggunaan nama tempat, jalan , sungai, hotel dan bangunan. Republik Seychelles atau dahulunya disebut Pulau Seychelles mengandungi 116 buah pulau kecil. Pulau-pulau besar dan utama yang menjadi tumpuan penduduk ialah Pulau Mahe, Pulau Praslin, Pulau La Digue dan Pulau Facilite yang boleh dijelajahi dengan menaiki feri besar, helikopter dan bot laju.
Ibu kota Republik Seychelles iaitu Victoria adalah bandar pelabuhan dan mempunyai lapangan terbang antarabangsa yang menjadi tumpuan pelancong bermain skuba, memancing dan berkelah.
Penyair-penyair Barat menganggap Pulau Seychelles sebagai syurga yang hilang kerana keindahan pulau ini yang airnya berwarna biru, dikelilingi landskap alam semula jadi yang memukau dan hebat.
Iklim di Republik Seychelles hampir sama dengan negara ini. Mungkin inilah yang menyebabkan penjajah Inggeris membuang Sultan Abdullah dan para pembesar Perak ke Pulau Seychelles kerana iklimnya sama dengan Tanah Melayu.
Mata wang yang digunakan ialah Seychelles Rupee. Bagaimanapun mata wang US Dollar dan Pound Sterling juga diterima dalam urus niaga di samping kad kredit.
Warga Seychelles menggunakan bahasa Seychelles sebagai bahasa pertuturan dan perhubungan di samping bahasa Croele, Perancis dan Inggeris. Sumber utama ekonomi Republik Seychelles ialah sektor pelancongan dan perikanan.
Warga asal Pulau Seychelles terdiri daripada koloni Perancis dan hamba-hamba abdi penjajah yang datang pada kurun ke-19 dan ada yang datang lebih awal dari itu iaitu sekitar kurun ke-17. Rakyat Republik Syechelles berjumlah sekitar 80,000 orang dan tertumpu di Pulau Mahe, Praslin, La Digue dan Facilette. Penganut Islam hanya sekitar 1,000 orang sahaja dan kebanyakannya bertumpu Pulau Mahe dan Praslin yang mempunyai kawasan pantai dan perairan yang indah.
Masjid terbesar di Pulau Mahe berada di bandar Victoria didirikan oleh masyarakat lndia Muslim , Republik Seychelles. Di Pulau Praslin hanya terdapat sebuah surau yang dibiayai oleh tokoh-tokoh lslam dari Dubai. Agama lslam semakin mendapat perhatian di Republik Seycheless di tengah-tengah masyarakat Kristian Protestan.
Pelbagai
Rakyat Seychelles terdiri daripada pelbagai bangsa termasuklah orang Afrika, China, India, Perancis dan orang-orang Asia lainnya. Keluasan Pulau Mahe yang menjadi pulau terbesar di Republik Seychelles hanya hampir sepertiga Pulau Pinang memang merupakan pulau pelancongan yang popular.
Nama bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad sangat dikenali di kalangan rakyat Seychelles kerana kelantangannya mengkritik negara Barat dan sebagai jurucakap negara dunia ketiga. Begitu juga nama Sultan Abdullah (Perak) yang dibuang ke situ pada abad ke-19 yang terkenal hingga sekarang. Malah Seychelles Broadcasting pernah menyiarkan program mengenai Sultan Abdullah yang merupakan Sultan beragama lslam pertama dibuang ke Pulau Seychelles.
Pulau Seychelles juga menjadi tempat buangan raja-raja Afrika yang menentang penjajah Inggeris, Perancis dan sebagainya. Begitu juga raja-raja negara lain yang menentang penjajah kesemuanya dibuang di pulau ini. Meskipun Sultan Abdullah dan pembesar Perak dibuang oleh penjajah Inggeris dahulu, mereka diberi elaun dan boleh bergerak ke sekitar Pulau Seychelles. Cuma tidak boleh pulang ke Perak sehingga lebih berpuluh tahun.
Pulau Seychelles terkenal sebagai pengeluar vanila yang terbesar di dunia suatu ketika dulu tetapi kini telah merosot. Saya sempat berkunjung ke rumah yang pernah didiami Sultan Abdullah dan pengikutnya. Rumah itu sekarang sudah dibeli oleh pegawai jabatan pertanian Republik Seychelles yang pernah menuntut di UPM, Serdang.
Dengan bantuan masyarakat lslam Seychelles saya berjaya menemui dua kubur lslam iaitu pengikut Sultan Abdullah bernama Aliah dan Auliah. Kedua-duanya merupakan dayang dua beradik yang meninggal dunia akibat demam malaria yang mengganas di Pulau Seychelles dan Madagascar pada akhir abad ke-19.
Kubur dua beradik ini yang menggunakan batu nisan Aceh terletak di kawasan perkuburan antarabangsa di Pulau Mahe.
Saya mengandaikan para pembesar Perak dan pengikutnya membawa sekali batu nisan sewaktu mereka dibuang ke Pulau Seychelles dan sekiranya mati mereka sudah ada batu nisan sendiri sebagai petanda kewujudan bangsa Melayu di pulau itu.
Saya sempat mewawancara beberapa orang pegawai Arkib Negara Seychelles dan Jabatan Penerangan Seychelles. Mereka memberitahu Sultan Abdullah (Perak) adalah orang yang memperkenalkan makanan nasi lemak kepada masyarakat Pulau Seychelles. Baginda dan pengikutnya ada menanam pokok mempelam dan buah-buahan lain yang biasa terdapat di Tanah Melayu.
Sultan Abdullah juga sewaktu tinggal di Pulau Seychelles ada mendengar lagu rakyat pulau itu yang dipanggil "La Rosses". Baginda sangat menyukai lagu ini dan mencadangkannya menjadi lagu rasmi negeri Perak.
Almarhum Sultan ldris Shah berkenan menjadikan lagu ini sebagai lagu rasmi negeri Perak berjudul "Allah Selamatkan Negeri" yang telah diubahsuaikan yang kemudiannya mencetuskan ilham dan rentak penciptaan lagu "Negaraku" sekarang.
Bagi mereka yang berhasrat mengunjungi Republik Seychelles, bolehlah menggunakan pesawat MAS atau Emriates Airline dari KLIA dan terus ke Dubai selama lebih kurang lapan jam dan perlu bermalam semalam di Dubai. Mereka kemudian boleh meneruskan perjalanan ke Victoria, Republik Seychelles dengan menggunakan pesawat Emirates Airline selama empat jam lagi untuk sampai ke pulau terindah di Lautan Hindi itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: