|
|
BAGAIKAN tidak lengkap kunjungan seseorang ke Pulau Langkawi jika tidak menaiki kereta kabel Langkawi yang terletak di Oriental Village, Gunung Mat Chincang yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan kenderaan dari Pekan Kuah.
Tarikan tersendiri yang ada pada kereta kabel Langkawi terutama keindahan alam semula jadi yang boleh dinikmati sepanjang perjalanan kira-kira 919.5 meter dengan gondola itu, sekali gus meletakkan ia sebagai salah sebuah lokasi pelancongan utama pulau bebas cukai itu.
Sumbangan kereta kabel Langkawi dalam pembangunan industri pelancongan turut dibuktikan apabila kereta kabel Langkawi yang kini dikendalikan Panorama Langkawi Sdn Bhd (PLSB), telah menerima beberapa pengiktirafan.
Ini termasuklah Anugerah Produk Pelancongan Cemerlang Terbaik menerusi Anugerah Industri Pelancongan Langkawi 2010/2011 oleh Kementerian Pelancongan, baru-baru ini.
Malah idea PLSB, yang juga subsidiari kepada Syarikat Prasarana Negara Bhd (SPNB), memperkenalkan perkhidmatan kereta kabel pada waktu malam sejak 28 Januari lalu dilihat sebagai salah satu usaha untuk terus menarik lebih ramai pelancong ke pulau bebas cukai itu.
Berbanding sebelum ini waktu operasi sehingga 6 petang dari Isnin hingga Khamis, manakala Jumaat hingga Ahad sehingga 7 malam. Kini waktu operasi dilanjutkan sehingga 10 malam sepanjang hujung minggu iaitu bermula Jumaat, Sabtu dan Ahad serta cuti umun serta cuti persekolahan.
Ketua Pegawai Operasi PLSB, Ebi Azly Abdullah berkata, ada banyak sebab kenapa pengunjung tidak harus melepaskan peluang menaiki kereta kabel pada sebelah malam kerana pengalaman yang dirasai cukup berbeza.
Menurutnya, pengunjung bukan sahaja menikmati panorama dan menyedut udara segar di sebelah malam, tetapi lebih daripada itu.
‘‘Selain merasai perbezaan suhu, kelajuan angin, titisan hujan, kabus dari setiap ketinggian, pengunjung juga disajikan dengan pelbagai persembahan hiburan yang menggambarkan keunikan dan kehebatan budaya masyarakat Malaysia,” ujarnya.
Menurut Ebi Azly, dengan pengenalan perkhidmatan ini, jumlah pengunjung disasarkan akan bertambah kira-kira 800,000 orang.
Tahun lalu sahaja katanya, sejumlah 689,867 pengunjung menggunakan kereta kabel termasuk pelancong asing kira-kira 291,196 orang. Ini merupakan peningkatan yang agak membanggakan berbanding 642,943 orang pada 2009.
‘‘Selepas hampir tiga bulan diperkenalkan, sambutan cukup menggalakkan diterima terutama pada hujung minggu. Kami secara agresif akan terus mempromosikan kereta kabel Langkawi kepada para pengunjung,’’ ujarnya.
Bagi yang merancang ke Langkawi pada waktu terdekat ini, jangan lepaskan peluang menaiki kereta kabel ini terutama pada waktu malam. Pengunjung juga boleh mengikuti perkembangan terkini kereta kabel Langkawi dengan melayari Twitter@LGKCableCar; Facebook (LGKcablecar), atau laman web www.langkawicablecar.com.my.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: