Wednesday, May 18, 2011

Masih ada cinta



Selepas drama Ustaz Amirul yang tamat pada akhir April lalu, kelibat Ashraf Muslim sudah lama tidak kelihatan di televisyen.

Dia hanya akan ditemui oleh mereka yang berkunjung ke pusat rawatan Al-Hidayah yang dibuka secara rasmi pada bulan lalu.

Lantaran itu, Ashraf Muslim hanya menumpukan sepenuh perhatian terhadap bidang barunya itu. Masanya dihabiskan membantu memulihkan pesakit melalui kaedah ayat al-Quran.

Ditanya adakah anak kelahiran Melaka ini sudah memberi titik noktah pada bidang seni ini atau ia hanya sementara.

“Saya masih ada lagi. Saya masih sayang dan cintakan bidang lakonan. Berlakon adalah minat saya. Cuma, buat masa ini, saya terlalu sibuk dengan jadual perubatan.

“Alhamdulillah, sejak dilancarkan, ia mendapat respons yang baik. Bukan niat saya untuk meraih populariti kerana niat saya hanya membantu sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.

Biarpun tidak muncul dalam drama, tetapi Ashraf masih aktif sebagai pengacara untuk segmen Syifa’ menerusi rancangan Nasi Lemak Kopi O setiap Jumaat bersama perantaranya Aziz Desa dan Farah Anuar.

“Menerusi rancangan itu, saya bersama Haji Lokman akan membantu pesakit dengan memberi ayat-ayat suci al-Quran.

“Jadi, kalau kata saya dah hilang tu tak adalah. Masih dalam industri lagi, Cuma pendekatan yang sedikit berbeza,” katanya.

Menurutnya, dia akan memberi sepenuh tumpuan terhadap pesakit sekitar dua tahun lagi, Ashraf yakin peminat akan terus memberi sokongan kepadanya.

“Buat masa ini tumpuan saya hanya kepada perubatan dahulu. Saya bukan bersara dan bukan juga berehat.

“Cuma waktu ini, saya memberi tumpuan pada perkara lain dahulu iaitu membantu pesakit dalam rawatan menggunakan aya-ayat al-Quran.

“Insya-Allah, apabila semuanya sudah stabil, saya akan kembali berlakon. Saya minat bidang lakonan. Rasa sayang nak tinggalkan,” katanya.



Seronok bantu orang



Berbicara mengenai kerjaya barunya, Ashraf bersyukur kerana pada usianya sekarang, dia sudah dapat membantu ramai orang yang menghidapi pelbagai penyakit.

“Saya sendiri tidak menyangka akan jadi seperti ini sekarang. Sebelum ini, saya mahu buat secara sampingan sahaja, tapi bila rasa seronok dapat bantu orang, saya nekad untuk membuatnya sepenuh masa.

“Dalam sehari, saya akan jumpa pelbagai pesakit dengan penyakit mereka. Alhamdulillah sekarang sudah ramai yang percaya pada rawatan yang menggunakan ayat al-Quran," katanya yang kini berusia 30 tahun.

Menurutnya, ditambah dengan beberapa pembantu, dia berasa lebih yakin dan bersemangat untuk meneruskannya.

“Penat memang penat kerana dari pagi hingga ke tengah malam saya membuat rawatan. Seperti yang saya katakan, saya berpuas hati dengan apa yang saya lakukan sekarang. Melihat orang yang datang kembali pulih adalah satu kepuasan untuk saya,” katanya.

“Saya bukan orang yang boleh buat dua benda dalam satu masa. Apatah lagi dengan pembukaan secara rasmi pusat perubatan Al-Hidayah ini,” katanya yang enggan bercerita mengenai persiapan majlis perkahwinannya pada Syawal nanti.



Buat rawatan di Langkawi



Tidak hanya tertumpu di pusat rawatannya, malah Ashraf turut menerima permintaan untuk mengubati di luar kawasan.

Terkini, Ashraf akan memberi khidmatnya kepada penduduk Pulau Langkawi di Kampung Bayas, Mukim Ulu Melaka, di sini, Sabtu ini.

Ashraf akan berada di sana selama sehari suntuk bagi merawat pelbagai penyakit termasuk gangguan makhluk halus seperti iblis dan jin.

“Insya-Allah saya dan rakan pembantu akan berada di Kampung Bayas, Pulau Langkawi dari awal pagi hingga ke malam.

“Setakat ini, saya difahamkan sudah 200 orang mendaftar untuk rawatan dan pemulihan,” katanya yang akan ke beberapa lokasi lain seperti Kuching, Labuan, Sabah dan Singapura di atas jemputan yang sama.

Kehadirannya ke Pulau Langkawi adalah di atas jemputan dan permintaan orang ramai yang turut terpanggil selepas menonton segmennya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: