Wednesday, May 18, 2011

The Flintstones versi baru akan kembali


Poster rancangan televisyen versi asal The Flintstones.


LOS ANGELES 17 Mei - Rancangan kartun popular, The Flintstones akan kembali ditayangkan di televisyen dengan versi animasi diolah oleh pencipta rancangan Family Guy, Seth MacFarlane.

Rangkaian televisyen Fox, semalam berkata, MacFarlane akan memberi latar belakang kurun-21 kepada siri kartun komedi yang popular sejak 1960-an itu mengenai Fred Flinstone, isterinya, Wilma dan jiran mereka, Barney dan Betty Rubble.

''Karakter pertama yang saya lukis pada umur dua tahun adalah Fred Flinstone.

''Kini, saya dibenarkan untuk menghasilkan versi baru satu francais yang hebat. Tambahan pula, saya rasa Amerika akhirnya sudah bersedia untuk satu sitcom mengenai seorang lelaki bodoh dan gemuk dan mempunyai isteri yang terlalu baik untuknya,'' kata MacFarlane dalam satu kenyataan.

Presiden Hiburan Fox, Kevin Reilly berkata, rangkaian televisyen itu berharap akan memperkenalkan karakter yang hidup pada zaman purba itu kepada satu generasi baru.

''Fox sudah lama menjadi rumah kepada keluarga ikonik seperti Simpsons dan Griffins, jadi saya yakin Flinstones dan Rubbles akan diterima ramai,'' ujarnya.

Fox berkata, produksi rancangan itu akan bermula pada musim luruh tahun ini dan dijangka disiarkan pada 2013.

The Flintstones muncul di televisyen Amerika Syarikat (AS) pada 1960-an dan menjadi inspirasi kepada pembikinan tiga filem Hollywood dan permainan video.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: