Sunday, May 29, 2011

‘’Kongsi’’ persendakan kongsi gelap


Salah satu babak dalam filem Kongsi menunjukkan ketua-ketua kumpulan kongsi gelap sedang berbincang.


FILEM Kongsi terbitan MIG Production yang menemui penonton di seluruh negara pada hari pertama tayangannya 12 Mei lalu secara keseluruhannya dilihat satu medium yang diolah oleh pengarah untuk mempersendakan kumpulan kongsi gelap di Malaysia.

Seperti yang sedia maklum, kumpulan kongsi gelap pada asalnya dilihat satu kumpulan yang berwatakan ganas dan mempunyai tingkah laku yang bengis.

Tidak keterlaluan jika dikatakan filem ini sebenarnya tidak sesuai diklasifikasikan untuk tontonan penonton berusia 13 tahun ke atas.

Dengan bahasa-bahasa panggilannya seperti ‘Abang Long’ dan ‘Ayahanda’ yang melambangkan pangkat-pangkat bagi setiap kumpulan kongsi gelap di sini.

Secara tidak langsung dengan watak yang dipegang oleh Azad Jasmin sebagai Mikail melambangkan setiap ahli kongsi gelap di negara ini ganas dan menolak ketepi unsur-unsur budaya dan agama secara kasarnya dengan pendedahan tatu di badannya.

Jika kita melihat secara mendalam filem ini, sikap kurang ajar Mikail terhadap ibu mertuanya dalam salah satu babak terus melambangkan pangkat yang dipegangnya sebagai Abang Long adalah satu tabiat yang sangat teruk.

Selain itu juga, huru-hara yang di timbulkan oleh teraju utama Shaheizy Sam sebagai gengster dari Thailand yang bernama Temulak yang datang membunuh ahli-ahli kongsi gelap ini melambangkan kumpulan kongsi gelap di negara ini terlalu lemah.

Temulak yang hanya datang berseorangan berjaya menimbulkan huru-hara dan ketakutan kepada setiap kumpulan ini walaupun mereka mempunyai bilangan ahli yang ramai.

Tugasan pihak polis juga dilihat begitu lemah dalam filem genre aksi komedi ini, dengan peralatan dan kenderaan yang digunakan adalah canggih, namun tidak berjaya untuk menangkap dan membanteras tindakan yang ditimbulkan Temulak.

Jika diperhatikan secara menyeluruh, pihak polis sebenarnya tidak berjaya menangkap Temulak kerana babak terakhir filem ini dia hanya berjaya diberkas kerana tersangkut dalam lumpur di sebatang sungai.

Dalam pada itu, jika diperhatikan secara terperinci kepada babak pergaduhan yang ditimbulkan oleh pengarah, corak pergaduhan juga boleh dikatakan ibarat filem terkenal dari negara jiran Thailand, Ong Bak.

Ketangkasan pelakon menggunakan seni mempertahankan diri tomoi atau Muay Thai ini memperlihatkan kekeringan idea dari pengarah.

Selain itu, aksi-aksi stunt yang dipaparkan walaupun nampak kaku seolah-olah diikat dengan tali juga dilihat seperti beberapa filem aksi dari Hong Kong.

Plot yang kabur

Filem ini kononnya ingin diangkat sebagai filem aksi dengan diselitkan babak-babak pergaduhan antara Temulak dan ASP Syariff serta beberapa aksi stunt seperti terjun bangunan tetapi teramat kaku.

Awal-awal lagi telah menampilkan watak Temulak yang ganas tetapi mempunyai perwatakan yang lucu apabila dia yang sedang menunggang motor untuk mencari mangsanya yang pertama berlanggar dengan orang yang membawa troli.

Apa yang menjadi persoalan adalah tujuan sebenar Temulak yang menjadikan ahli kongsi gelap di Malaysia sebagai mangsa pembunuhannya.

Dalam satu babak, imbasan filem tersebut ada menunjukkan yang Temulak kalah dalam pertarungan tomoi bersama lawannya ASP Syariff, dan dari situ Temulak terpaksa bekerja di bawah Kimpedu lakonan Bront Palarae.

Siapa Kimpedu dan hubungannya dengan kumpulan-kumpulan kongsi gelap di negara ini terus menjadi tanda tanya.

Namun, tindakan berani yang dilakukan oleh pengarahnya mengenengahkan genre aksi komedi berlainan dari kebiasaan pengarah ketika ini yang sering membawa cerita-cerita mengenai hantu dan genre seram sepatutnya mendapat pujian yang meluas.

Lakonan pelakon utama, Shaheizy Sam sebagai gangster dari Thailand yang datang ke Malaysia untuk membunuh ahli-ahli kongsi gelap dilihat dapat membantu secara keseluruhan jalan cerita filem ini.

Melihat kepada latar belakang pengarahnya yang mempunyai pengetahuan dan pendidikan mengenai filem dan bahasa-bahasa filem, sepatutnya filem ini dapat diolah dengan lebih baik lagi.

Secara keseluruhannya filem ini boleh dikatakan mempertaruhkan populariti Shaheizy Sam dan bukan disebabkan jalan ceritanya yang kuat.

Shaheizy Sam yang menggalas watak pembunuh upahan yang bersahaja bernama Temulak itu berupaya menzahirkan gaya lakonan berkesan.

Malah, pesona Sam yang bijak memanipulasi karakter antagonis, serius dan lucu yang turut menyampaikan percakapannya dalam dialek Kelantan Siam itu adalah nadi filem ini.

Selain Sam, mungkin hanya aksi Azad Jasmin sebagai Mikail, Shafie Jaafar atau Pak Piee (Tok Maliki), Chew Kin Wah (Jimmy) dan Verasingam (Victor) saja yang dilihat meninggalkan kesan dalam filem tersebut.

Sebaliknya, kehadiran tiga pelakon pembantu iaitu Fizo Omar (ASP Shariff), Yana Samsudin (Inspektor Olla) dan Putri Mardiana (Inspektor Yati) sukar melekat di minda kerana kesederhanaan dalam corak lakonan mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: