Wednesday, May 4, 2011

Keunikan fesyen rekaan pelajar UMK


NADWAH Abdul Rahman (dua dari kiri), Mohd. Ruzaini Abdullah (tengah) dan Nur Atiqah Mohamed (dua dari kanan) bersama model masing-masing di Majlis Finale 11, Kota Bharu, baru-baru ini.


KOTA BHARU 3 Mei - Seramai 15 pelajar jurusan Tekstil dan Fesyen Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menampilkan rekaan masing-masing dalam satu majlis gilang-gemilang yang diadakan di sebuah resort terkemuka di sini, baru-baru ini.

Majlis Finale 11 iaitu peragaan fesyen dan karya siswa tahun akhir itu menyaksikan setiap pelajar menyediakan tiga pasang baju dan lima produk berasaskan kraf tekstil untuk diadili para juri termasuk pereka terkenal negara, Datin Sharifah Kirana Syed Ghazali selaku Ketua Hakim.

Dengan barisan model terdiri daripada siswa universiti itu sendiri, dewan resort bertukar seperti pentas peragaan model fesyen antarabangsa lengkap dengan simbahan cahaya lampu dan bunyi muzik.

Pada majlis itu, tiga hadiah utama yang disediakan iaitu kategori Koordinasi Terbaik dimenangi oleh Nur Atiqah Mohamed, 24; Persembahan Terbaik, Nadwah Abdul Rahman, 24, dan Pereka Fesyen Berpotensi, Mohd. Ruzaini Abdullah, 24.

Mereka menerima sebuah mesin jahit tajaan sebuah syarikat swasta yang disampaikan Pengarah Pusat Pembangunan dan Pengurusan Akademik UMK, Prof. Rosdi Abd. Rahman. Turut hadir, Dekan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Prof. Madya Ab. Aziz Shuaib.

Nur Atiqah ketika ditemui berkata, dia mengambil bunga teratai sebagai asas dan motif dalam rekaannya sebagai simbol kesatuan dalam masyarakat Melayu dan memfokuskan kepada warna ungu, kuning dan hijau lumut.

Katanya, lebih 25 meter fabrik telah digunakan untuk menyiapkan rekaan dan kesemuanya dilakukan sendiri dari awal sehingga akhir termasuk proses mencanting batik dan menjahit.

Sebelum ini, siswi yang berasal dari Temerloh, Pahang itu telah terpilih sebagai Pereka Terbaik bagi Jabatan Tekstil dan Fesyen dalam satu majlis anugerah berasingan untuk pelajar di bawah Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan.

"Saya menghabiskan lebih 25 meter kain untuk menyiapkan baju dan kerja tangan lain dan berpuas hati kerana dapat menyempurnakan juga tugasan pada saat akhir," katanya.

Mohd. Ruzaini pula mengaplikasikan kesenian binaan Arab sebagai motif dan menggunakan lebih 15 meter kain sutera, satin, crepe dan jacquard untuk rekaannya dengan kos keseluruhan mencecah RM4,000.

"Saya bercita-cita menjadi pereka fesyen terkenal satu hari nanti dan keputusan memilih belajar di UMK sejak empat tahun lalu adalah tindakan tepat kerana di sini kami bukan sahaja belajar tentang fesyen tetapi kami diajar menukar tekstil 'kosong' untuk dijadikan fabrik anggun sehingga menjadi adibusana yang menawan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: