Wednesday, May 4, 2011

Anuar penuntut terbaik Politeknik Kuala Terengganu pada usia 28 tahun


TENGKU Putera Tengku Awang menyampaikan Anugerah Pengarah Politeknik kepada Anuar Ismail (dua dari kanan) sambil diperhatikan Mohd. Pauzi Ibrahim (kiri) dan bapa Anuar, Ismail Ahmad di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU 3 Mei - Ketika kebanyakan rakan seusia sudah memiliki kerjaya dan berkeluarga, Anuar Ismail, 28, masih dengan buku-buku dan sibuk memenuhi rutin harian seorang pelajar.

Bagaimanapun, dengan tekad dan kesungguhan, anak jati Pokok Sena, Kedah itu akhirnya dinobatkan selaku penuntut terbaik keseluruhan pada Majlis Konvokesyen ke-10 Politeknik Kuala Terengganu (PKT) di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini hari ini.

Penuntut jurusan Sijil Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik itu merangkul dua anugerah iaitu Anugerah Pengarah Politeknik selaku penuntut terbaik dan Anugerah Kecemerlangan Akademik & Ko-kurikulum Jabatan.

Ketika ditemui pemberita, Anuar yang juga bekas Pengerusi Persatuan Pelajar PKT berkata, dia tidak pernah menjadikan faktor usia sebagai penghalang untuk terus belajar kerana baginya 'di mana ada kemahuan, di situ ada kejayaan.'

"Malah saya kini sedang menyambung pengajian di Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (Polimas), Jitra pada peringkat diploma dalam bidang yang sama," katanya yang bercita-cita untuk terus maju dalam bidang yang digemarinya itu.

Anak kelima daripada sembilan beradik itu sebelum ini menuntut di Institut Latihan Perindustrian (ILP), Jitra selama tiga tahun sehingga memperoleh Sijil Pendawaian Elektrik Tahap 4.

Dia juga berpengalaman menjalankan kerja-kerja pendawaian elektrik selama lima tahun di antara tempoh tersebut yang dilakukan secara sambilan.

Anuar adalah antara 292 graduan PKT yang diraikan dalam majlis tersebut dan mereka menerima sijil yang disampaikan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Daripada jumlah itu, 182 orang merupakan graduan bagi Sijil Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik manakala selebihnya pula dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Pengarah PKT, Mohd. Pauzi Ibrahim berkata, jumlah itu merupakan sebahagian daripada 2,869 graduan yang dilahirkan PKT sejak ditubuhkan kira-kira 12 tahun yang lalu.

"Kejayaan melahirkan 2,869 graduan secara tidak langsung menguatkan lagi usaha institusi ini untuk menjadi salah satu pusat pembelajaran teknikal yang cemerlang pada masa depan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: