Wednesday, May 4, 2011

Sulam manik penyeri baju


Nora turut menganjurkan kelas sulaman manik bagi mereka yang berminat.


MENJAHIT sulam manik kerja remeh tetapi hasilnya cukup membanggakan sehingga baju lama pun boleh nampak baru.

Kilauan manik yang dijahit dengan penuh perincian pada leher atau hujung lengan mampu membuatkan baju yang dipakai nampak mewah dan eksklusif.

Itu juga yang membuatkan ramai wanita sanggup berhabis ratusan ringgit untuk menempah sulaman manik pada baju kurung mahupun kebaya mereka.

Apatah lagi pada hari ini sulaman manik bagai melalui era peralihan dengan pelbagai corak, teknik dan rekaan baru yang lebih kreatif.

Kalau dulu sekadar menggunakan butiran manik-manik kecil, kini digabungkan pula dengan batu-batu permata dan terbaru muncul sulaman manik 3D.

Seorang tenaga pengajar sulaman manik, Nora Abd Rahman, mengakui sulaman manik mempunyai keunikan yang tersendiri.

Ia bukan sekadar memberikan kelainan kepada sepasang baju, tetapi corak dan kombinasi warna di samping susunan labuci menyebabkan sesuatu rekaan nampak luar biasa.

"Penggunaan corak bermotif bunga-bungaan seperti mawar, kemboja dan kekwa berserta corak buah-buahan merupakan inspirasi yang digunakan untuk membentuk corak sulaman pada baju," katanya.

Menurut anak kelahiran Johor ini, masa untuk menyiapkan sulaman manik pada sepasang baju bergantung kepada corak yang disulam pada fabrik.

"Selalunya saya mengambil masa selama tiga hari ataupun lebih untuk menyiapkan sesuatu sulaman.

"Selain itu kadar kepantasan menjahit sulaman manik juga bergantung kepada jenis fabrik yang digunakan.

"Apa yang pasti baju yang disulam akan nampak menarik dan bersinar-sinar biarpun jenis kain yang digunakan biasa-biasa sahaja," katanya.

Sementara itu, sulaman 3D yang menggunakan manik sebagai bahan utamanya merupakan teknik sulaman terbaru yang semakin digilai ramai pada masa ini.

Tambahnya lagi, teknik sulaman manik beriring, sisik ikan yang menggunakan labuci sebagai bahan utamanya dan mutiara berantai merupakan teknik asas yang perlu dipelajari sebelum memahirkan diri dengan rekaan -rekaan sulaman yang lebih kreatif.

Beliau juga turut membuka kelas belajar sulaman manik setiap hujung minggu.

Sebarang maklumat lanjut ataupun berminat untuk mempelajari teknik sulaman manik bolehlah menghubungi 012-3654519.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: