Thursday, May 26, 2011

Kenangan Mengusik Jiwa Fokus Lagu 60-an

Latif Ibrahim dan Ana Raffali ketika menyampaikan lagu Kalau Berpacaran.

KUALA LUMPUR: Teater muzikal Kenangan Mengusik Jiwa…60-an lebih memfokuskan kepada muzik dan lagu berirama 60-an berbanding kisah cinta melibatkan Rey, Rose dan Azizan.

Lagu popular 60-an itu dinyanyikan oleh penyanyi Datuk Ahmad Jais, A. Halim, A. Rozainie, A. Rahman Onn, Fatimah M Amin, J Sham dan Hussein Ismail dengan iringan kugiran The Rhythm 60’s dan The Wanderers.

Teater lakonan Dafi, Ana Raffali, Latif Ibrahim, Saida AF, Halil Chik, Liza Abdullah, Radhi Khalid, Iqbal Mazlan, Arja Lee, Azrul (Raja Lawak) dan Baby Erin itu bakal dipentaskan di Istana Budaya mulai 27 Mei hingga 5 Jun ini.

A Rozainie yang merupakan anak angkat Allahyarham L.Ramli turut menyanyikan beberapa buah lagu.

Sebab itu, pengarahnya, Lokman Ghani memilih untuk mengolah semula skrip teater itu dengan memotong beberapa adegan daripada 2 jam 50 minit kepada 2 jam setelah pementasan media, Rabu.

“Kita sudah lama tidak menonton teater berdurasi panjang dan pertama kali saya lakukan secara ‘run through’. Bagaimanapun, saya berani tanggung risiko kerana saya tahu apa yang ingin disampaikan.

“Setelah pementasan malam ini (Rabu), saya sudah mengenalpasti beberapa perkara yang boleh diolah semula tanpa merosakkan jalan cerita. Jadi, sebab itu pementasan pertama dilakukan dua hari sebelum pementasan sebenar untuk melakukan pengubahsuaian,” katanya yang secara keseluruhannya berpuas hati dengan penyanyi dan pelakon yang terlibat dalam teater itu.

Bagaimanapun, Lokman berat hati untuk menyingkirkan kesemua penyanyi yang terlibat dalam teater itu memandangkan ada antara mereka yang menyanyikan sebuah lagu sahaja.

Dafi melakonkan watak Rey sewaktu muda di zaman 60-an.

“Saya mahu memfokuskan nyanyian kerana ingin membangkitkan suasana 60-an. Lagipun, lirik lagu membantu jalan cerita teater ini,” ujarnya lagi.

Sementara itu, penyanyi Ana Raffali menganggap lakonan pertamanya itu memberikan kenangan manis yang tidak boleh dilupakan kerana dia mempelajari perkara baru seperti menari dan berlakon.

Dalam pada itu, penyanyi dan pelakon Dafi yang turut pertama kali berlakon teater berpuas hati dengan persembahannya dan teringin berlakon teater lagi selepas ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: