Thursday, May 26, 2011

Serius boleh, komedi boleh

BEA...mahu jadi pelakon serba boleh.
BEA...mahu jadi pelakon serba boleh.

AURA manisnya ketara. Mewarisi kecantikan ‘Cik Siti Wan Kembang’, dia mula dipancing.

Bukan pancingan orang kenamaan atau VIP, tetapi pancingan pengarah dan produser tempatan.

  • Foto

    JELITA...Bea jadi sandaran dalam sitkom Moh Ke Kafe Kita arahan Hafsham.

  • Foto

    BERGELAR ARTIS...program Pilih Kasih musim pertama menjadi platform kepada Bea mengasah bakat.

Sekali pandang, ada yang berpendapat wajah dan tutur kata Bea Rameshan atau nama sebenarnya, Rabiatul Balqis Rameshan, 23, iras-iras Intan Ladyana.

Tidak kurang juga menyamakan wajahnya seperti Raja Ema dan Mazuin Hamzah - artis popular era 1980-an.


Apa yan nyata, gadis kelahiran Machang, Kelantan ini yang mula mengukir nama selepas menyertai program realiti, Pilih Kasih musim pertama semakin mendapat tempat dalam dunia seni tanah air.


Lakonan sebagai Sahara dalam telefilem Dosa Siapa terbitan Enuja Production Sdn Bhd untuk TV3, baru-baru ini turut menguji kemampuannya.

Bea mengakui ia satu pengalaman yang cukup menarik apabila pertama kali bekerja di bawah bimbingan pengarah terkenal, Murali Abdullah dan produksi Enuja.

Watak Sahara yang bertugas sebagai wartawan dalam telefilem itu menguji kemampuan sebagai pelakon kerana banyak bermain emosi.

“Seronok dapat bekerjasama dengan Murali kerana dia banyak membantu. Selain memberi tunjuk ajar dia juga tahu ‘mood’ yang diperlukan ketika menjalani penggambaran itu. Cerita itu agak berat kerana banyak bermain emosi.

“Ini pertama kali saya membawa watak wartawan. Sebelum ini, saya hanya mengenali wartawan ketika ditemu bual sejak terbabit dalam bidang seni. Saya tidak tahu imej dan penampilan sebenar wartawan, jadi saya banyak bertanya kepada orang.

“Pada mulanya saya agak gementar dan risau untuk menerima watak berkenaan. Namun saya memberanikan diri untuk menyahut cabaran. Kebetulan pula ketika hari pertama memulakan penggambaran ada beberapa wartawan hadir di lokasi untuk membuat liputan. Saya memerhatikan serta bertanya mengenai gaya dan penampilan wartawan berkenaan,” katanya.

Pengalaman berlakon bersama barisan pelakon hebat seperti Rozita Che Wan, Sabrina Ali, Zamarul Hisyam, Rabiatul Balqis dan Bell Ngasri serta kerjasama baik daripada kru produksi yang terbabit memastikan penggambaran berjalan dengan lancar.

Selain watak serius Bea turut membuktikan kemampuan menjayakan watak komedi ketika membintangi beberapa siri komedi antaranya Tan Tun, Biar Betul Bendul dan Pangkin Atuk.

Terbaru Bea dijangka terus menerajui sitkom komedi, Moh Ke Kafe Kita arahan Othman Hafsham yang kini memasuki musim kedua.

Bea membawa watak Melati gadis berbahasa loghat negeri asalnya, Kelantan.
Siri komedi ala Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu turut menampilkan barisan pelakon terkenal tanah air antaranya Sheila Mambo, Maya, Yus Raja Lawak, Pak Lah Cecupak, Lan Zailan, Munir dan Julia Hana.

Tambahnya, pertama kali terbabit dalam penggambaran sitkom yang menjalani penggambaran di Universiti Multimedia, Cyberjaya turut memberi satu pengalaman baru buatnya.

“Sejak akhir-akhir ini memang banyak tawaran membabitkan cerita komedi. Sebenarnya saya tidak kisah di bayang watak komedi sekali pun.

“Memang saya mahu mencuba pelbagai watak. Buat masa ini saya tidak begitu kisah soal watak yang diberikan. Apa yang lebih penting menceduk pengalaman sebanyak mungkin,” katanya.

Jika ada segelintir pelakon yang mengintai peluang dalam bidang nyanyian dengan menerbitkan lagu single selain pengacaraan. Bea pula menolak untuk membabitkan diri dalam salah cabang seni itu.

Sebaliknya memaklumkan dirinya masih belum bersedia dan mahu memantapkan kerjaya lakonan terlebih dulu.

“Sekadar menyanyi secara suka-suka di pusat karaoke bersama rakan-rakan dan menyanyi di rumah itu adalah, tapi kalau hendak menghasilkan album saya rasa tidak layak. Saya memang suka menyanyi tapi secara suka-suka saja.

“Begitu juga pengacaraan, saya pernah menyertai beberapa uji bakat dapat belum bersedia sepenuhnya. Banyak perkara yang perlu saya pelajari lagi dalam bidang seni. Bukan hanya membabitkan pengacaraan malah bidang lakonan itu sendiri,” katanya.



PROFIL

NAMA KOMERSIAL: Bea Rameshan
NAMA PENUH: Rabiatul Balqis Rameshan
TARIKH LAHIR: 25 Mei 1988
TEMPAT LAHIR: Machang, Kelantan
ADIK-BERADIK: Anak sulung daripada empat beradik
PENDIDIKAN: Diploma Kejuruteraan Sains Geometrik, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam
KARIER: Pelakon dan model
KOMERSIAL: Nokia
DRAMA/TELEMOVIE: antaranya Tok Ketua, Tan Tun, Biar Betul Bendul, Pangkin Atuk, Surat Cinta, Sutera Sebalik Wajah, Pusaka dan Unjul Nak Jadi Orang, Angelina O Angelina, Moh Ke Kafe Kita (sitkom), Dosa Siapa

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: