Saturday, May 28, 2011

Kemesraan di kota Belanda


PEMANDANGAN kota yang dipenuhi penunggang basikal.


WALAUPUN kepenatan selepas seharian memandu, ketibaan di tapak perkhemahan yang cukup mendamaikan di pinggir kota Amsterdam, Belanda tidak membenarkan kami untuk terus berehat.

Selepas matahari terbenam kira-kira pukul 8.30 malam, penulis bersama tiga rakan mendapatkan perkhidmatan teksi untuk keluar mendapatkan bekalan makanan di pusat bandar.

Selepas 15 minit panggilan, sebuah teksi tiba dengan pemandu yang berpakaian segak dan kemas. Lelaki Belanda berusia awal 30-an itu memperkenalkan diri sebagai Martin sebelum mengejutkan kami dengan soalannya.

“Pertama kali di Amsterdam? Dari mana kamu dan ke mana mahu pergi malam ini,” katanya dalam loghat Bahasa Indonesia.

Kebolehannya berbahasa adalah ‘senjata’ yang digunakan untuk memikat hati pelancong-pelancong dari Indonesia yang ramai melancong di Amsterdam. Kami juga tidak terkecuali dan kemesraan terus terjalin antara kami.

Dalam tempoh perjalanan sejauh lima kilometer itu, Martin sebagai pemandu teksi sepenuh masa melaksanakan tugasnya dengan cukup profesional.

Perbualannya terkawal, panduannya mudah difahami dan pengetahuannya mengenai selok-belok kota yang menjadi punca rezekinya dihafal dengan cukup teliti. Ia mungkin kali pertama penulis berasa cukup kagum dengan seorang pemandu teksi.

Mengetahui kedatangan pertama kami di Amsterdam, Martin menawarkan diskaun istimewa untuk menunjukkan lokasi-lokasi yang menjadi tarikan utama di sekitar kota.

“Saya sangat berbesar hati untuk memperkenalkan Amsterdam kepada setiap pelancong yang menaiki teksi saya,” katanya yang memandu Mercedes E-Class, sekadar teksi biasa di Amsterdam.

Bagaimanapun ketika itu blok-blok bangunan kebanyakannya sudah pun bergelap kerana waktu perniagaan bagi kebanyakan premis sudah tamat. Dia terus memandu di lorong-lorong sempit sehingga tiba di satu kawasan yang masih lagi ‘hidup’.

Tanpa berselindung Martin memperkenalkan kami tarikan yang cukup popular di kalangan pelancong iaitu Red Light District (kawasan lampu merah).

Kawasan lampu merah di sekitar deWallen itu katanya adalah kawasan perniagaan tertua yang kini menempatkan deretan kedai-kedai erotik. Tarikannya adalah ‘kotak-kotak kaca’ berisi wanita yang memperagakan pelbagai persembahan dan perniagaan seks.

“Amsterdam adalah kota yang dipenuhi pesta dan banyak perkara yang tidak dibenarkan di mana-mana tempat di dunia ‘halal’ di sini,” katanya.

Bukan sekadar pelacuran dan perkahwinan gay, keterbukaan kerajaan Belanda sejak 1970-an juga membenarkan pengambilan dadah marijuana (di kawasan tertutup sahaja). Kebenaran menghisap barang terlarang itu kini tersedia di lebih 300 kedai kopi yang terdapat di seluruh Amsterdam.

Bagaimanapun, katanya, pengambilan dadah secara berleluasa itu saban hari telah menyumbang kepada peningkatan jenayah di kota yang suatu ketika dahulu cukup aman.

“Tapi tidak perlu risau kerana jenayah masih rendah di sini. Tiada bahaya selagi kamu tidak terlibat di dalam aktiviti tidak bermoral,’’ katanya.

Martin kemudian membantu kami mendapatkan bekalan daging halal di salah sebuah restoran Arab dan memberi segala maklumat yang kami perlukan mengenai bandar itu. Alangkah bagusnya jika semua pemandu teksi di Malaysia searifnya.

Namun kemesraan itu bukan hanya keistimewaan yang dimiliki oleh pemandu teksi malah sifat peramah dan hospitaliti yang tinggi adalah sesuatu yang pasti mengejutkan anda jika bertandang ke Amsterdam.

Kota di bawah paras laut

Peluang yang ada pada keesokan hari tidak dilepaskan untuk menaiki ‘canal bus’ dengan bayaran tambang kira-kira RM55. Persiaran di dalam bot berbumbung kaca itu membawa kami menyusuri sebahagian daripada terusan yang bersimpang-siur di tengah kota.

Petak-petak bandar yang dipisahkan oleh jaringan 165 terusan dan puluhan pintu air itu kini dihubungkan dengan lebih 1,200 buah jambatan melengkung yang menjadikan panorama di bandar itu cukup unik.

Semasa di atas bot, pelancong disajikan dengan keunikan seni bina rumah Belanda dan rumah-rumah bot yang berpengkalan di sepanjang terusan. Dianggarkan terdapat lebih daripada 2,000 rumah bot di sekitar bandar yang masih menerima bekalan air bersih, kiriman pos dan kemudahan awam lain.

Amsterdam yang mendapat nama daripada gabungan sungai Amstel dan empangan (dam) cukup dikenali dengan jolokan nama ‘Venice of the North’ namun satu fakta yang jarang diketahui adalah kedudukan kota itu yang berada di bawah paras laut.

Bermula dari sebuah perkampungan nelayan sekitar kurun ke-12, penempatan yang dikelilingi laut, sungai dan tasik itu bertapak di atas tanah paya.

Kini satu per empat daripada bandar itu sebenarnya berada di bawah paras laut sehingga ada yang mencecah kedalaman maksimum kira-kira enam meter.

Kehebatan itu datang daripada kepakaran teknologi dan pengurusan saliran air yang dimiliki oleh orang-orang Belanda melalui pembinaan benteng dan daik yang menghalang air laut daripada memasuki bandar.

Amsterdam sebagai kota penuh sejarah dan penuh glamor menjanjikan 1,001 kepuasan kepada pelancong. Kepelbagaian cita rasa percutian menjadikannya antara tarikan paling utama di dunia dengan kemasukan kira-kira lima juta pelancong setiap tahun.

Ia juga merupakan destinasi yang memiliki koleksi muzium terbesar di dunia (secara meter persegi). Malah daripada 70 muzium yang ada di Belanda, 40 terletak di kota Amsterdam.

Bagi yang meminati seni lukisan Eropah, Muzium Rijksmuseum adalah antara galeri yang mempamerkan sentuhan paling kreatif pelukis-pelukis Belanda.

Beberapa lagi muzium kesenian yang berbaloi untuk dilawati termasuk Muzium Stedelijk, Hermitage Amsterdam dan Rumah Anne Frank.

Muzium Seks di Damrak antara lain menawarkan paparan yang cukup berbeza. Walaupun tidak sebesar muzium biasa, muzium yang dibuka sejak 1985 itu merupakan satu daripada tarikan utama di Amsterdam dengan kunjungan setengah juta pelawat setiap tahun.

Selain menjelajahi tarikan metropolitannya, pelancong biasanya memilih untuk menikmati keindahan di pinggir kota. Kunjungan wajib termasuk lawatan ke kincir angin atau melihat bunga tulip yang berkembang mekar antara Mac hingga Mei.

Meskipun hanya berpeluang menghabiskan dua hari di Amsterdam, kota Belanda secara peribadi menjadi antara kota-kota terbaik yang pernah penulis lawati. Masih banyak rahsia yang belum sempat diterokai dalam tempoh sesingkat itu dan jika berpeluang penulis sememangnya ingin kembali.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: