Saturday, May 28, 2011

Buru udang di Sungai Sarawak


KARTINA Ahmad (kanan) bersama rakannya memancing udang galah pada waktu malam di Jambatan Tun Salahuddin di Kuching, Sarawak.




KETIKA melalui Jambatan Tun Salahuddin yang merentangi Sungai Sarawak terutama pada malam hujung minggu, kelihatan deretan kaki pancing 'bertapa' di kiri dan kanan jambatan itu. Suasana semakin meriah apabila jarum jam menghampiri detik 12 malam.

Pemandangan sedemikian mungkin asing di Sungai Gombak dan Sungai Klang di Kuala Lumpur, namun di tengah bandar raya Kuching, aktiviti memancing udang galah pada waktu malam adalah perkara biasa.

Dengan aliran trafik yang semakin berkurangan, suasananya cukup mendamaikan, apatah lagi angin bertiup sepoi-sepoi bahasa mengelus badan kaki pancing yang gian memburu udang galah.

Selain nikmat melayan daya 'tarikan halus' udang galah yang tersangkut di mata kail, aktiviti berkenaan umpama satu terapi mencari kedamaian selepas seharian sibuk di tempat kerja.

Walaupun masih ramai menganggap aktiviti memancing sebagai hobi yang membuang masa dan melalaikan kerana tidak semestinya mendapat pulangan yang setimpal, namun kaki pancing ada pandangan berbeza.

Bagi mereka, 'belum cuba belum tahu' dan pandangan sedemikian bukannya sesuatu yang merencatkan semangat, lebih-lebih lagi ia diluahkan oleh golongan yang tidak tahu menikmati aktiviti berkenaan.

Seorang kaki pancing udang galah, Jamil Akil, 38, berkata, mungkin pada pandangan masyarakat lain, aktiviti memancing membuang masa.

Namun, katanya, perlu diingatkan bahawa kegiatan tersebut tidak menganggu ketenteraman awam, malah jauh sekali terpalit dengan aktiviti yang tidak senonoh.

Menurutnya, beliau akan memancing di jambatan itu untuk menghilangkan rasa bosan, di samping mengeratkan silaturahim bersama rakan pemancing yang lain.

Jamil berkata, kebiasaannya kaki pancing akan memenuhi Jambatan Tun Salahuddin seawal pukul 7 petang untuk mengambil tempat masing-masing sebelum mula memancing sehingga tengah malam.

"Tidak hairan jika ada pemancing yang sanggup bertahan sehingga waktu subuh apabila tangkapan mula 'menjadi'. Saya juga pernah melakukan sedemikian dengan jumlah tangkapan hampir sekilogram," katanya kepada S2.

Bagi Ismandi Borhan, 35, pula, Jambatan Tun Salahuddin menjadi tumpuan kaki pancing kerana ia umpama lubuk udang galah.

Selain itu katanya, memancing pada waktu malam di kawasan ini juga sesuai sebab cuacanya tidak begitu panas.

"Suhu dingin di tengah malam dan keadaan sunyi sepi mengundang kedamaian.

"Memang tidak dinafikan bahawa memancing pada waktu malam bersama rakan-rakan membolehkan kita menghilangkan tekanan dan boleh melupakan segala masalah harian.

"Disebabkan itu, saya tidak kisah untuk turun memancing pada waktu malam di jambatan ini sambil bertemu rakan-rakan," katanya yang berasal dari Jalan Astana.

Bagi Kartina Ahmad, 28, menjadi kaki pancing mempunyai kebaikan tersendiri apabila mereka diuji dengan kesabaran yang tinggi sepanjang menanti joran mengena.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: