|
|
ENTAH apa ‘sihir’ yang digunakan, sampai nama Neelofa Mohd Nor disebut-sebut, diingat-ingat oleh banyak pihak hari ini. Ada yang memuji bakat yang ada dalam dirinya sementara ramai juga yang tertawan dengan seraut wajah mulus yang menjadi igauan kebanyakan lelaki.
Padahal ini merupakan tahun permulaan bagi dirinya. Itulah yang dinamakan takdir. Takdir yang membawa Neelofa terbang ke awan tinggi walaupun belum sampai ke kemuncak segala-galanya.
Tiada sihir atau amalan ‘jampi serapah’, bertemu dukun atau bomoh untuk mencari pelaris, sebaliknya populariti datang dengan sendiri.
Mungkin masih ramai yang sangsi kepada anak muda yang satu ini. Siapakah dia dan apakah penyebab dia harus angkat ke tempat sebegini tinggi?
Tidak pernah terniat untuk membangga-banggakan wanita yang seorang ini hanya kerana kontroversi yang terpalit tatkala mula mendaftar nama sebagai anak seni. Mungkin juga natijah baik yang Neelofa dapat setiap kali terheret dalam kancah kontroversi- menaikkan lagi populariti dirinya.
Ya, bukan sengaja untuk mengungkit apa yang sudah berlaku. Memandangkan semua itu kini sudah boleh dianggap sebagai sejarah, dia akur orang tetap akan mengungkit apa yang telah berlaku sampai bila-bila.
Suka atau tidak dia terpaksa menerima apa sahaja kritikan dan kata-kata kurang senang sesetengah pihak yang cukup iri pada dirinya. Dalam kerendahan hati, dia tidak kisah dengan apa juga tafsiran orang.
Bukan besar kepala ataupun tidak peduli, apa yang paling penting kata pelakon utama filem Azura 2011 ini dia mahu mendiamkan diri dari menjawab apa yang tak perlu dibahaskan.
“Orang selalu memberikan kata-kata kurang elok pada saya. Tuduh itu, tuduh ini sedangkan apa yang dikhabarkan itu langsung tak benar. Saya tak mahu terus terlibat dalam kancah yang mereka ciptakan.
“Lebih baik saya diam dari terus melawan apa sahaja cakap mereka. Lagi banyak saya cakap lagi tak manis. Bila saya tak jawab akhirnya semua orang dan setidak-tidaknya meredakan isu yang tengah panas itu.
“Bila saya diam jangan ingat saya lari. Kalau ada yang bertanya saya akan jawab dengan baik. Rasanya itu jalan yang terbaik buat saya,” jelasnya kepada Pancaindera.
Popular kerana kontroversi
BENAR, tidak pernah sekalipun terdetik dalam hatinya untuk terus mengecap populariti di sebalik cerita-cerita panas yang melanda. Kalau ada yang mengikuti perkembangan gadis yang baru sahaja mencecah usia 22 tahun, pasti tahu segala-galanya.
Dia yang dicungkil bakat melalui sebuah pertandingan pencarian bakat baru tahun lalu cukup panas dengan kejian orang. Dituduh membeli undi untuk menang, bersikap diva dengan kebanyakan peserta yang bertanding sehingga ada yang sanggup menjaja cerita tersebut keluar kepada umum.
Dari riak wajahnya, dia tidak mempedulikan apa juga kata-kata orang. Namun, tidak ada siapa yang dapat meneka apa yang tersirat dalam hati kecilnya itu.
Nama Neelofa terus terpalit apabila dikatakan menjadi punca perpisahan pelakon baru Shahz Jaszle dan Maria Farida. Dituduh menjadi punca perpisahan itu, dilabel sebagai perampas dan pelbagai kata-kata sinis yang cukup mengguris sanubari.
Siapa yang mahu dituduh begitu? Selagi masih waras, artis yang kini mengacarakan rancangan Paparazi milik KRU TV ini masih terasa sakit itu.
Semakin deras langkah kakinya, namanya sekali lagi terjerat apabila menjadi punca kepada penarikan diri Gambit Saifullah pada awal tahun lalu untuk membintangi filem arahan Aziz M Osman itu.
Cukup panas apabila isu bayaran Gambit diketahui umum, nama Neelofa juga ada terheret sama sehingga memaksa Aziz dan Gambit berbalas kenyataan yang dikatakan berpunca daripada dirinya.
Lantas ramai yang mula mengadakan cerita kononnya Neelofa memang bermasalah? Benarkah dakwaan tersebut?
“Bukan soal siapa yang mencipta kontroversi yang perlu diutamakan. Saya pun tidak tahu mengapa terlalu banyak kontroversi yang melanda membabitkan nama saya.
“Bila orang bercakap itu dan ini memang saya diam. Itu mungkin jalan yang terbaik buat saya ketika ini dari terus menagih perhatian masyarakat untuk percaya pada saya.
“Memang saya bersyukur kerana apa yang dah berlaku tak menjejaskan periuk nasi. Terima kasih kepada mereka sebab buat saya lebih kuat. Saya tahu saya tak bersalah dan peminat faham situasi saya.
“Jangan terus jaja cerita tak elok tanpa sebarang bukti. Mana bukti hitam putih yang kata saya buat itu dan ini? Inilah masalahnya bila cerita yang tak betul dijaja. Saya tak peduli semua itu.
“Kalau saya bersalah mungkin saya dah tak aktif dalam bidang seni. Cukuplah saya dan orang terdekat sahaja tahu apa yang dah berlaku sebelum ini.
“Bila keluar sahaja cerita yang kurang elok, memang saya terasa hati. Pedih dengan apa juga tanggapan orang yang berterusan menjatuh hukuman melulu.
“Saya bersyukur sebab kesedihan tu tak lama. Bila saya sibuk dengan penggambaran, akan terhakis sedikit demi sedikit. Inilah sebab saya mampu bertahan.
“Anda kena ingat satu perkara. Persepsi orang kepada kita boleh berubah bila-bila masa sahaja. Hari ini mungkin dia benci pada kita, tapi esok mungkin dia akan jadi peminat nombor satu, ” ujar pelakon drama Kasih Najihah ini.
Sudah dimiliki
“SEMUA orang kata saya menjalinkan hubungan dengan pelakon lelaki itu. Saya nak buat kenyataan yang saya dengan dia tak ada apa-apa hubungan istimewa jauh sekali untuk berkasih,” tegas Neelofa berhubung dakwaan tersebut.
Lalu jika bukan dengan Shahz Jaszle, dengan siapa? Atau sengaja menyorok kebenaran kerana tidak mampu berterus terang?
Akui Neelofa dia sedang menjalinkan hubungan istimewa dengan seseorang, itu saja. Puas dipujuk, dia enggan mendedahkan lelaki yang berjaya menakluk hati.
“Sebelum ini pun sudah ada cerita tentang cinta baru saya. Rasanya ramai dah tahu hati saya dah pun dimiliki seseorang. Jadi tak perlu untuk saya terus menyorok mahupun menipu peminat dengan pelbagai alasan.
“Tolong jangan tanya siapa dan apa-apa soalan tentang lelaki itu. Apa yang boleh saya katakan saya memang rapat dan mahu mengenali dia dengan lebih mendalam,” tegas Neelofa.
Tidak mahu terus memanjangkan cerita tentang hati dan perasaan, Neelofa mengakui bahawa hidupnya kini sudah tidak seperti dahulu. Ruang untuk dirinya semakin menipis sedangkan ada sesetengah perkara yang harus disimpan untuk dirinya.
Soal privasi sudah boleh dibuang jauh-jauh. Bukan kerana apa, setiap yang disorok akan terkeluar juga sehingga memaksa dia mengalah dengan jalan yang dipilih.
“Saya tak pernah menyesal walau terpaksa berkongsi segala-galanya dengan semua orang. Ini memang jalan yang saya mahu dan saya reda dengan takdirnya.
“Sejak mula nak aktif dalam bidang seni, saya sudah tahu asam garam menjadi orang yang dikenali. Mungkin dulu saya hanya tahu sebab memerhati tapi kini saya telah merasainya sendiri.
“Bila sampai pada tahap ini, saya nak orang pandang pada bakat saya. Jangan nilai perkara-perkara lain yang tak sepatutnya diambil kisah sehingga menenggelamkan bakat yang ada dalam diri ini.
“Ini adalah tahun permulaan untuk saya. Bila kita masih baru dalam dunia yang cukup banyak sepak terajang ini, apa yang saya cari hanyalah kepuasan untuk menjadi anak seni.
“Tolong nilai bakat dan jangan sesekali ukur melalui kontroversi!,” kata Neelofa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: