Sunday, May 1, 2011

Cinta kami semakin kuat disebabkan 'itu'


Menunggu sehingga sang penyebar gambar melutut minta maaf atas perbuatannya.


BENARLAH kata orang tua, orang bertunang banyak dugaan. Macam-macam cabaran sepanjang tempoh berdarah manis. Meski pun baru sebulan setengah diikat, dugaan tetap bertamu.

Pelakon Danny XFactor yang baru melangsung pertunangan pada 20 Mac lalu pun turut terkena tempiasnya. Apabila ada pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan gambar tunangnya, Zaidatul Norfazlin Zakaria. Dipeluk dari belakang oleh seorang lelaki dengan aksi agak mengghairahkan.

Memeritkan apabila foto berkenaan antara gambar yang terkandung di laman web sosial, Facebook. Pemilik akaun berkenaan menggunakan nama ‘Tunang Danny Xfactor’.

Malah, dia juga menitipkan pesanan ‘Gambar mabuk tunang danny x-factor’ ke Facebook Pancaindera MM.

Lantaran itu, Pancaindera merangka pertemuan bersama Danny di Sungai Pansung, Hulu Langat Selangor pada petang Rabu lalu. Walaupun pada ketika itu Danny sibuk menjalani penggambaran drama bersiri berjudul Ahmad Albob Yang Punya.

‘‘Saya ada prinsip hidup sendiri. Tak kan bercerita atau mengulas tentang masa silam orang lain. Yang lepas itu biarlah lepas. Tak ada benda lagi yang perlu dicerita,’’ reaksi awal Danny tatkala diajukan persoalan tersebut.

Pemilik nama Mohd. Khardanie Anwa berkata, tidak adil buat dirinya untuk menilai luaran seseorang itu berdasarkan apa yang dilihat. Tambahan pula individu yang menjadi subjek utama itu adalah tunangan yang bakal dikahwininya.

‘‘Sebenarnya, saya dah dapat gambar berkenaan lebih awal lagi. Sebelum saya bertunang dengan Leen (panggilan tunang) 20 Mac lalu. Dikirim menerusi pengirim e-mel bukan menggunakan nama sebenar.

‘‘Saya pernah membalas e-mel tersebut dengan menanyakan apa motif dia berbuat demikian. Tetapi pengirim e-mel itu tidak membalasnya,’’ bongkar lelaki berusia 31 tahun ini.

Disebabkan rasa ingin tahu siapa ‘dajal’ di sebalik terbongkarnya perkara tersebut, Danny meminta tunangnya membuat laporan kepada pihak berkuasa. Bagaimanapun, siri siasatan tersebut hanya berjalan separuh jalan.

Danny tidak meneruskan langkah seterusnya. Ditanya mengapa Danny sengaja mendiamkan diri. Alasannya, dia malas memanjang perkara tersebut bila difikir-fikir kemudian.

‘‘Memang sebagai bakal tunang (ketika itu) saya cukup tercabar. Terutama Leen, dia lebih terasa sakit hati sebab perkara ini membabitkan gambarnya. Jadi saya perlu bertindak rasional.

‘‘Rakaman foto itu sekitar tahun 2009. Saya pula berkenalan dengan Leen pertengahan tahun 2010. Gambar itu diambil sewaktu dia mula-mula kerja pramugari.

‘‘Saya faham apa yang dialami Leen. Saya dah duduk berbincang dengan dia tentang perkara ini. Sebab saya pun pernah jadi pramugara satu ketika dulu,’’ jelasnya yang enggan mengungkit cerita lama.

Pada masa yang sama, Danny mengakui bahawa foto yang ditunjukkan tidak keterlaluan. Cuma kapsyen gambar saja agak kasar. Boleh mengundang spekulasi buruk mengenai peribadi tunangnya itu.

Apatah lagi tamparan buat kedua-dua belah keluarga. Namun begitu, salah faham tidak berlaku selepas perkara itu diperjelaskan satu persatu.

Ditanya berkemungkinan perkara itu dilakukan oleh bekas teman lelaki Leen, Danny segera menafikan. Katanya, dia tahu mereka berdua berkawan baik sehingga ke hari ini.

‘‘Saya tak boleh tuduh siapa penyebar foto itu. Terlalu rumit. Tapi saya tahu satu hari nanti, kebenaran pasti terbongkar. Orang itu pasti datang melutut minta maaf pada saya,’’ katanya lagi.

Jauh dari sudut hatinya, anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini mengatakan rasa sakit hati sudah lama hilang. Apa yang diharapkan adalah dapat bertemu dengan pengirim itu.

‘‘Selama 11 tahun saya dalam industri. Saya lalui macam-macam ragam manusia. Berkenalan dengan pelbagai wanita. Ada yang membuatkan saya sedih, sakit hati, sayang dan cinta. Tapi semua itu adalah kisah lampau saya.

‘‘Kini saya dah jumpa Leen. Dia adalah masa depan sebab saya bakal mengahwininya. Saya anggap semua itu dugaan. Peringatan kepada saya agar lebih bersedia sebelum menjadi ketua keluarga,’’ jelas pengacara Agro Eksplorasi ini.

Leen di mata Danny

Mengulas tentang keistimewaan Leen yang bakal menjadi isteri Danny selewat-lewatnya September ini, pelakon drama Fara ini menguntum senyum.

Katanya, dia tak pernah berjumpa dengan wanita begitu unik di matanya. Tiada lafaz cinta diungkap pada pertemuan pertama. Ia berlaku tanpa disedari sehingga 1 Januari 2011. Apabila Leen mengirimkan sistem pesanan ringkas (SMS) kepadanya. Ia terjadi selepas banyak SMS ditujukan tidak berbalas.

‘‘Awal-awal lagi saya beritahu yang saya tak perlukan kekasih. Tapi nak seseorang untuk jadi isteri. Jadi biarkan takdir saja yang menentukan. Tak sangka pula kami jadi serasi.

‘‘Dia cukup memahami kerja saya dan begitu juga dengan saya. Kami saling percaya mempercayai. Pendek kata, saya boleh tidur lena kalau dia bertugas ke luar negara.

‘‘Saya juga tak sangka dalam ramai-ramai wanita yang saya kenal di Malaysia, akhirnya jodoh saya datangnya dari Pasir Mas juga,’’ katanya membius bahagia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: